Kesusahan hidup jadi motivasi

in Edisi by


MACHANG – Kesusahan hidup dan status Orang Asli menjadi penguat semangat kepada Marina Long Yon, untuk ke menara gading, seterusnya memberi suntikan semangat kepada anak-anak muda bangsanya.


Kesungguhan itu berbaloi apabila dia berjaya bersama-sama 1,619 graduan lain menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen ke-87 UiTM Kampus Kelantan, baru-baru ini.  


Marina, 25, berkata, walaupun sukar, namun dia berusaha bersungguh-sungguh dan menjadikan bapa saudaranya yang bergelar pensyarah sebagai idola serta sumber inspirasinya.


Katanya, kejayaan tersebut bukan sahaja mampu membanggakan keluarganya tetapi juga diharapkan menjadi penyuntik semangat kepada kaumnya untuk gigih menuntut ilmu dalam usaha mengubah tahap ekonomi keluarga.


Ujarnya, sebagai anak perempuan, dia  bertuah apabila keluarga sentiasa menyokong usahanya bagi menyambung pengajian ke peringkat menara gading.


“Kejayaan pakcik menjadi kekuatan untuk saya keluar daripada kampung, berjauhan dengan keluarga demi mencari ilmu.


“Majlis konvokesyen ini menjadi saat yang cukup menggembirakan apabila saya berjaya menamatkan pengajian, menggenggam diploma sekali gus membuka mata orang ramai tentang kebolehan Orang Asli.


“Saya berharap ibu bapa Orang Asli sentiasa menyokong hasrat anak-anak mereka untuk menyambung pengajian dan memberi dorongan kepada mereka untuk mengubah kehidupan keluarga dengan ilmu,” katanya.


Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, pelbagai peluang disediakan kepada Orang Asli dan mereka dilihat semakin berjaya dalam pelbagai bidang  termasuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]