Tak dapat sijil lahir

in Edisi Utara by


KUANTAN – Seorang ibu tunggal buntu apabila permohonan untuk memperoleh sijil kelahiran anak angkatnya gagal sejak 12 tahun lalu.


Noraini Ibrahim, 60, berkata, banyak pihak yang tampil membantunya namun masih menemui jalan buntu untuk mendapatkannya.


Katanya, disebabkan kegagalan tersebut kanak-kanak yang diberi nama, Noralia Syafira Abdullah tidak dapat bersekolah.


“Saya ambil dia jadikan anak angkat di Hospital Mentakab, Temerloh sejak dilahirkan dan dijanjikan untuk diberi sijil kelahiran tapi tak ada berita.


“Saya ada juga berusaha dapatkan sendiri tapi gagal. Permohonan saya sentiasa ditolak sampai jadi buntu.


“Tapi saya tetap berusaha dapatkan sijil kelahiran sebab sekarang dia dah 12 tahun dan dah sampai masa ada kad pengenalan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Deraka, Tanjung Lumpur, di sini, semalam.


Dalam pada itu, menurut ibu tunggal itu, disebabkan tiada sijil kelahiran, kanak-kanak terbabit tidak dapat bersekolah dan mengambil peperiksaan termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu.


“Saya hanya dapat tumpangkan dia di sekolah saja tapi dia tak boleh ambil sebarang peperiksaan.


“Sebelum ini, kami menetap di Kuala Lumpur sempat juga hantar dia ke sekolah agama. Sekarang semenjak tinggal di Kuantan selama dua tahun tak ada sekolah yang boleh terima Noralia jadi dia belajar sendiri di rumah,” katanya.


Sementara itu, katanya, kanak-kanak itu berhasrat untuk terus mendapat pendidikan yang sempurna memandangkan dia semakin meningkat usia.


“Kalau tak dapat sekolah pun, dapat masuk kelas kemahiran atau agama pun tak apa, yang penting dapat sijil kelahiran dulu,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]