Monthly archive

October 2017 - page 2

Penyokong Kedah berkampung seawal 8 malam

in Sukan by


PENYOKONG Kedah mula beratur di kaunter tiket Stadium Darul Aman seawal jam 8 malam tadi bagi memastikan mereka tidak terlepas untuk membeli tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2017.


Mereka sanggup beratur lebih awal walaupun tiket hanya akan dijual pada jam 9 pagi hari ini.


Seorang penyokong dari Sungai Petani, Shahrulhaizam Abd Rozak, 35 berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidur di depan kaunter kerana tidak sanggup untuk terlepas tiket final.


Menurutnya, beliau tidak terlepas untuk hadir memberikan sokongan kepada Kedah  di pentas akhir Piala Malaysia pada 2015 dan 2016.


“Setiba saya di kaunter ini pada jam 8 malam lebih mendapati sudah ada penyokong yang sudah mula beratur sekitar dalam 20 orang.


Ada yang sanggup balik dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan untuk membeli tiket kerana jualan atas talian sudah habis dijual,” katanya kepada Sinar Harian.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Pembangkang jangan politikkan PR1MA

in Nasional by


SHAH ALAM – Pembangkang dinasihatkan supaya tidak mempolitikkan PR1MA dan mengelirukan rakyat demi kepentingan politik masing-masing.  


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, program PR1MA telah diwujudkan untuk kebaikan rakyat, khususnya dalam membantu golongan M40 untuk memiliki rumah dan usaha sebegini patut disokong oleh semua pihak.


“Kenyataan yang dibuat kepada media oleh Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo, di adalah salah dan Adun tersebut sepatutnya mendapatkan fakta-fakta yang sahih sebelum membuat apa-apa kenyataan mengenai perkara itu.


“Jagdeep mengatakan BN menjanjikan sebanyak 625,000 unit rumah PR1MA sedangkan PR1MA sebenarnya hanya diberi mandat untuk membangunkan 500,000 unit rumah dalam masa lima tahun,” katanya.  


Beliau berkata, komitmen tersebut bukan bermaksud menyiapkan kesemua rumah dalam tempoh lima tahun kerana melibatkan pelbagai urusan berkaitan pemilikan tanah, kelulusan merancang dan seumpamanya sehingga menyebabkan perlaksanaan sesetengah projek memakan masa yang agak panjang sebelum dapat dimulakan.


“Jagdeep juga mengatakan kononnya PR1MA hanya menyiapkan sebanyak 1,332 unit rumah sedangkan secara keseluruhannya sebanyak 259,881 unit rumah PR1MA telah diluluskan di seluruh negara dan kini berada dalam pelbagai tahap dan proses pembinaan.


“Nilai pembangunan (GDV) bagi projek-projek tersebut mencecah RM35.4 bilion,” katanya.


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Ali Hamsa perlu siasat Dzulkifli

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa digesa tampil menyiasat dakwaan skandal membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berdasarkan Perintah Am Perkhidmatan Awam.


Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) mempersoalkan peranan Ketua Setiausaha dalam isu berkenaan dan mengapakah tiada penglibatan beliau.


“Saya nak tanya apakah peranan Ketua Setiausaha Negara. Saya masih ingat dalam Perintah Am, ketua pesuruhjaya SPRM ini hendaklah dipanggil untuk siasatan.


“Pernah seorang ketua setiausaha, pegawai PTD (Pegawai Tadbir Diplomatik) yang dituduh ada hubungan dengan isteri orang lain, akhirnya beliau dipecat daripada kerajaan,” kata ketika mencelah soalan Gobind Singh Deo (DAP- Puchong) di Dewan Rakyat, hari ini.


Sebelum ini, Dzulkifli didakwa terlibat dalam skandal dengan seorang wanita dan video berkaitan telah tersebar di media sosial.


Gobind ketika meneruskan soalannya meminta Dzulkifli tampil menjawab tuduhan berkenaan.


“Saya nak tanya SPRM adakah benar Dzulkifli orang dalam video itu. Adakah beliau dalam tugas rasmi ke Bali pada masa itu?


“Kalau lihat video, kita dapat lihat pegawai-pegawai lain, adakah mereka juga pegawai SPRM. Adakah SPRM tahu mengenainya?” soalnya.




 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Kerajaan pantau aktiviti Zakir Naik

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa memantau aktiviti dijalankan oleh penceramah terkenal, Zakir Naik di negara ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan akan diambil sekiranya Zakir didapati terlibat dengan terrorisme.


“Sepanjang berada di negara ini, beliau tidak pernah melanggar undang-undang dan peraturan,”


Menurutnya, kerajaan juga tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada India berhubung dakwaan terrorisme.


“Tiada alasan dari segi peruntukan undang-undang untuk menahan atau menangkap Zakir,” katanya.


Berhubung dengan isu kewarganegaraan, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, hasil semakan di Jabatan Pendaftaran Negara mendapati tiada rekod permohonan dikemukakan.


“Untuk makluman, tiada sebarang layanan istimewa diberikan warga India itu sebagaimana dilaporkan,” katanya.


Terdahulu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) meminta kerajaan menyatakan status kewarganegaraan dan rasionalnya layanan istimewa yang diberikan.


Zahid berkata, pengeluaran Kad Pengenalan Permastautin Tetap (MyPR) kepada Zakir dilakukan mengikut prosedur berdasarkan pemilikan Permit Masuk dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Minta maaf atau berdepan tindakan undang-undang

in Nasional by


PUTRAJAYA – Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata beliau akan memulakan tindakan undang-undang terhadap  Raja Petra Kamarudin jika penulis blog itu enggan memohon maaf berhubung satu artikel mengenai dakwaan rasuah.


Walaupun tidak menetapkan tempoh masa untuk penulis blog itu meminta maaf, Mohamed Apandi berkata beliau tidak akan memberi masa yang lama kepada Raja Petra untuk berbuat demikian memandangkan isyarat dan ingatan sudah disampaikan melalui media.


“Jika tiada permohonan maaf daripadanya, saya pasti akan saman dia. Bagaimana dia boleh cemarkan nama saya? Saya tidak kenal pun dia. Ini reputasi saya,” katanya pada sidang media di Pejabat Peguam Negara, di sini hari ini.


Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan wang tunai kepada waris 23 mangsa yang terkorban dalam kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara pada 14 September lalu.


Pada 22 Oktober lepas, Mohamed Apandi membuat laporan polis terhadap  Raja Petra atas dakwaan jenayah fitnah.


Raja Petra memuat naik dua artikel yang mendakwa Mohamed Apandi terlibat dalam aktiviti berkaitan rasuah. Dua artikel terbabit yang bertajuk  ‘Strong Rumours Surrounding the AG: Part 1 and Part 2’ diterbitkan menerusi blognya Malaysia Today pada 20 dan 21 Oktober lepas.


Mengulas perkembangan lain, Mohamed Apandi berkata pindaan terhadap  Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 akan dibentangkan di Dewan Rakyat  tidak lama lagi.


Apabila ditanya bila akta baharu itu akan berkuat kuasa, beliau berkata: “Dalam masa terdekat.”


Katanya beliau memberi taklimat kepada Kabinet mengenai pindaan itu selepas hakim menyatakan yang mereka terpaksa menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh memandangkan tiada hukuman lain yang diperuntukkan.


“Saya berbincang dengan kerajaan untuk menjadikan undang-undang (itu) lebih fleksibel. Ini akan membolehkan hakim mengenakan hukuman yang lebih sesuai berdasarkan budi bicara mereka.


“Kami sedang menggubal undang-undang yang membenarkan budi bicara hakim. Kami mahu mengenal pasti siapa yang patut digantung sampai mati dan siapa yang tidak.


“Ada kes keldai dadah, mereka lakukannya demi wang. Mereka tidak tahu apa yang mereka bawa, justeru mereka mungkin dimasukkan dalam kategori yang tidak akan dijatuhi hukuman mati manakala pengedah dadah memang layak dikenakan hukuman mati,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Mohon permit khas pembantu rumah dalam talian

in Semasa by


SEPANG – Mulai 1 Januari tahun depan, majikan boleh mendapatkan permit khas pembantu rumah asing daripada Jabatan Imigresen yang dibuat melalui sistem dalam talian, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.


“Permohonan boleh dibuat secara terus tanpa melalui ejen atau orang tengah dan ia dijangka mengambil tempoh tujuh hingga 16 hari,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Katanya langkah pengambilan secara terus pembantu rumah asing dari negara sumber dapat mengurangkan kos dan beban majikan, dengan majikan hanya perlu membayar sekitar RM3,600 hingga RM3,800 berbanding bayaran kepada ejen yang mencecah antara RM12,000 dan RM18,000


“Kos itu melibatkan bayaran untuk levi, pas lawatan (kerja sementara), visa dan proses yang ditetapkan mengikut negara serta kos penerbangan. Permohonan sistem dalam talian ini dapat mengekang kegiatan pemerdagangan dan perhambaan manusia daripada terus berleluasa,” katanya.


Dalam pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan kini memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.


Najib berkata majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.


Pada Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pengambilan terus pembantu rumah dapat menjimatkan kos sehingga 50 peratus.


Dalam pada itu, Mustafar menerangkan majikan perlu mengenal pasti mana-mana individu yang berada di Malaysia dan layak untuk diproses untuk dijadikan pembantu rumah sebelum membuat permohonan dalam  talian serta melengkapkan sembilan proses ditetapkan jabatan itu.


“Majikan juga boleh ke negara sumber dan mencari sendiri prospek pembantu rumah dan membawa masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebelum membuat permohonan itu.


“Permohonan yang melibatkan sembilan proses ialah pendaftaran dalam talian oleh majikan, log masuk dan pendaftaran pembantu rumah asing, saringan kesihatan, muat naik dokumen, semakan, kelulusan, notifikasi keputusan, bayaran dan cetakan pelekat permit lawatan (kerja sementara),” kata Mustafar.


Beliau berkata pihaknya juga tidak menghalang sekiranya majikan mahu menggunakan khidmat ejen dan bersedia untuk menanggung kos yang tinggi. –Bernama


 

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Hulu Selangor bebas aktiviti judi online

in Edisi Selangor KL by


HULU SELANGOR – Pihak polis mengesahkan bahawa daerah ini bebas dari aktiviti Judi Online (JOL) selepas melakukan serbuan ke atas 57 premis yang menjalankan kegiatan tersebut.


Serbuan yang dilakukan tahun ini membabitkan tangkapan 151 orang dengan merampas 2,396 set komputer dan wang tunai sebanyak RM7,459.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, anggaran nilai rampasan itu berjumlah RM1.25 juta dan seramai 138 orang dihadapkan ke mahkamah serta seorang dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).


Menurutnya, operasi bersepadu dilakukan bersama agensi lain termasuk Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang turut menyita premis berkenaan.


“Operasi turut melakukan pemotongan bekalan elektrik dan air dengan pemantauan yang dilakukan secara berterusan melalui risikan bagi memastikan aktiviti ini tidak tumbuh semula.


“Pihak polis memandang serius aktiviti perjudian ini dan memohon kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui mengenai kegiatan tersebut.


“Jika premis berkenaan kembali beroperasi, sila segera laporkan kepada pihak polis agar tindakan dapat diambil sekaligus mengekalkan daerah ini bebas dari judi atas talian,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengetuai operasi memotong bekalan elektrik di sebuah premis judi di Batang Kali, semalam.


Bak Phai berkata, serbuan pada tahun lepas turut membabitkan 57 premis namun jumlah rampasa barangan dan wang tunai serta individu yang ditahan lebih rendah berbanding tahun ini.


Menurutnya, orang ramai terutama penduduk setempat disaran menjadi rakan polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan mereka.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]

Wanita dakwa diri ‘puteri raja' dipenjara lagi

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Seorang wanita kerdil yang mendakwa dirinya ‘puteri Sultan Pahang’ dihukum penjara tiga tahun lagi oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2,841,690.


Hakim Mohamad Kamil Nizam menjatuhi hukuman itu ke atas Rohaida Yahil, 41, bekas eksekutif insurans, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding perbicaraan kes itu, semalam.


Pada Mac lalu  wanita itu dihukum penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas 53 pertuduhan menipu  pakar bedah kosmetik  Datuk Dr Abdul Jalil Jidon.


Mahkamah menjatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Rohaida dan memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak serta hukuman itu bermula  selepas dia  selesai menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi kes menipu.


Mengikut pertuduhan pertama, Rohaida didakwa memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad cawangan Ampang Point miliknya melalui transaksi berjumlah RM3,400 daripada akaun simpanan Maybank milik Khuzairiah Abdul Latiff, 40.


Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Mengikut pertuduhan kedua hingga kelapan, dia dituduh memperoleh wang ke dalam akaun simpanan CIMB Bank Berhad miliknya daripada Khuzairiah dan Mohd Ghazali Othman, 45, melalui 284 transaksi berasingan yang kesemuanya berjumlah RM2,838,290.


Tujuh pertuduhan itu dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(b) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.


Kesemua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank cawangan Ampang Point, No.23, Jalan Mamanda 7/1, Wisma Ampang Triangle, Jalan Ampang di sini antara 28 Ogos 2014 hingga 22 April 2016.


Ketika rayuan Rohaida yang diwakili peguam Shamsul Sulaiman memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan dengan alasan  anak guamnya  benar-benar insaf dengan perbuatannya dan memohon maaf kepada Dr Abdul Jalil yang menjadi mangsa dalam kes itu.


“Rohaida memohon berbanyak maaf kepada pakar bedah kosmetik, Datuk Dr Abdul Jalil Jidon atas perbuatannya, tak mungkin dia dapat membayar balik wang Datuk Jalil. Dia amat insaf dan meminta maaf pada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Puteri baginda, Tengku Aishah kerana telah menyalah guna nama-nama mereka (untuk mendapatkan wang daripada Dr Jalil),” katanya.


Peguam itu turut memberitahu ibu bapa Rohaida bercerai ketika dia masih bayi dan ekoran latar belakang keluarganya itu Rohaida merasa rendah  diri, kekurangan kasih sayang dan menagih simpati daripada  persahabatan dengan memberikan rakan-rakan wang hasil penipuannya yang akhirnya memakan diri.


Rohaida yang berada di kandang tertuduh tidak mampu menahan kesedihan dan dilihat menangis teresak-esak semasa peguamnya membuat rayuan. Anggota keluarga Rohaida juga tidak kelihatan di mahkamah hari ini.


Timbalan Pendakwa Raya Atiqah  Liyana  Shahrir memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh mengambil kira kes pengubahan wang haram yang semakin berleluasa dan tertuduh telah menyebabkan kerugian yang besar kepada mangsa selain telah menggunakan nama-nama besar termasuk Sultan Pahang.


Pada 14 Mac lalu, Rohaida dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini atas 53 pertuduhan menipu Dr Abdul Jalil, 60, untuk mempercayai dia adalah puteri Sultan Pahang bagi memperdaya mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM1.203 juta kepadanya.


Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 Mac lepas. –Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]

FAM didenda RM179,784 kerana tindakan penyokong

in Sukan by


KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebanyak AS$42,500 (RM179,784) berikutan kesalahan penyokong semasa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017,  Ogos lepas.


AFC dalam laman web rasminya, www.the-afc.com, berkata Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC membuat keputusan tersebut pada mesyuaratnya, 27 Oktober lepas.


Mengikut laporan, FAM dikenakan denda AS$15,000 (RM63,452) setiap satu ekoran kesalahan  penyokongnya semasa perlawanan Malaysia menentang Brunei pada 14 Ogos, dan aksi antara Malaysia dan Singapura pada 16 Ogos.


“Sekumpulan penyokong didapati melanggar Artikel 58.1 (Diskriminasi), dibacakan dengan Artikel 65.1 (Kelakuan Penonton) Kod Disiplin dan Etika AFC,” menurut laporan itu.


Dilaporkan bahawa penyokong Malaysia menyanyikan lagu yang tidak beretika terhadap pasukan lawan pada kedua-dua perlawanan tersebut.


“Denda tersebut hendaklah dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan tersebut diumumkan mengikut Artikel 11.3 kod berkenaan.


“Persatuan Bola Sepak Malaysia juga dimaklumkan sekiranya kesalahan sama berulang, hukuman lebih berat akan dikenakan,” kata laporan itu.


FAM juga didenda AS$7,500 (RM31,725) berikutan tindakan penyokong membakar mercun pada minit ke-87 semasa  aksi Malaysia menentang Indonesia pada 26 Ogos, dan didenda AS$5,000 (RM21,152) kerana melanggar Artikel 64.1 kod tersebut disebabkan tindakan penyokong membaling 50 hingga 60 botol minuman ke padang semasa perlawanan antara Indonesia dan Kemboja pada 24 Ogos.


Selain insiden semasa Sukan SEA 2017, FAM juga diarah membayar denda AS$7,500 (RM31,725) kerana kesalahan penyokong membaling 10 hingga 15 objek (botol dan bekas minuman) ke arah pengadil selepas aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 7 September.


Skuad kebangsaan juga  didenda, masing-masing AS$6,000 (RM25,380) dan AS$5,000 (RM21,152),  bagi kesalahan pasukan apabila beberapa pemain mengganggu pengadil, manakala jurulatih negara Eduardo Manuel Marthinho Vingada membuat komen dengan mengkritik pengadil semasa sidang akhbar selepas perlawanan tersebut.


Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC juga mendenda ketua pasukan kebangsaan, Safiq Rahim  kerana terjahan berbahaya ketika aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 10 Oktober.


Safiq digantung satu perlawanan, termasuk satu penggantungan automatik selepas diperintah keluar padang setelah dilayangkan kad merah ketika perlawanan berkenaan.


“Penggantungan satu perlawanan itu akan dikenakan pada aksi kelayakan Piala Asia 2019 antara  Malaysia berdepan Korea Utara pada 10 November ini.


“Safiq juga diarah membayar denda AS$1,000 (RM4,230) mengikut Artikel 48.2 Kod Disiplin dan Etika AFC,” menurut laporan itu. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Wanita mengandung, bawa anak kecil lakukan ragut

in Edisi Selangor KL by


SEPANG – ‘Wayang’ sekumpulan wanita mengandung selain membawa anak kecil untuk melakukan ragut dan curi barangan kosmetik di sebuah pusat di Putrajaya, akhirnya terbongkar.


Lebih berani lagi, kumpulan terdiri daripada empat wanita ini yang mana dua daripadanya sedang mengandung ini berjaya melakukan lima kes pada 18 Oktober lalu.


Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, suspek mensasarkan kanak-kanak yang memakai rantai leher sebelum mengekorinya.


Menurutnya, apabila menyedari ibu kanak-kanak terbabit leka, suspek akan mengambil kesempatan meragut rantai emas kanak-kanak itu.

Pemotong kuku dan gunting yang digunakan suspek untuk meragut rantai emas.


“Suspek dikesan menggunakan pemotong kuku bagi memutuskan rantai leher atau gelang kanak-kanak.


“Ibu mangsa hanya menyedari selepas melihat rantai yang dipakai anak mereka itu tiada sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.


Beliau berkata, bertindak hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya berjaya mengenal pasti suspek terbabit dan berjaya menahan kesemua mereka di tempat letak kenderaan di pusat beli-belah itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam.


Katanya, beberapa barang dipercayai hasil ragut dan curi dianggar berjumlah RM6,000 telah dirampas seperti lima utas rantai emas yang telah putus, tiga utas loket emas, gunting kecil, pemotong kuku serta pelbagai barangan kosmetik.


“Tertangkapnya empat wanita berusia lingkungan 18 hingga 47 tahun ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes di pusat beli-belah berkenaan.


“Kesemua suspek yang dipercayai telah aktif sejak 2010 telah direman bagi membantu siasatan,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]

Kembali UTAMA