Monthly archive

November 2017

Aplikasi urus kewangan

in Bisnes by


VISA dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melancarkan satu aplikasi baharu iaitu Financial Insight, membolehkan rakyat Malaysia merancang simpanan wang yang mencukupi untuk bersara.


Pengurus Negara Visa untuk Malaysia, KB Ng berkata, aplikasi mudah alih Financial Insight dicipta selepas satu pra-penilaian berkenaan literasi kewangan yang dijalankan oleh Visa dan AKPK terhadap 1,000 rakyat Malaysia.


“Kaji selidik itu menunjukkan bahawa lebih 55 peratus rakyat Malaysia tidak bersetuju bahawa mereka akan bersedia secara kewangan ketika sampai umur persaraan mereka.


“Kajian ini turut mendedahkan satu daripada lima rakyat Malaysia menyimpan kurang dari 10 peratus gaji bulanan mereka walaupun sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengetepikan wang untuk simpanan bulanan.


“Justeru, aplikasi mudah alih Financial Insight membolehkan rakyat Malaysia membuat pengiraan dan merancang simpanan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, pihaknya yakin aplikasi tersebut menjadi pemangkin bagi memperkasa orang ramai untuk mengurus kewangan dan merancang perjalanan hidup masing-masing.


Financial Insight boleh dimuat turun dari App Store untuk pengguna iOS dan Android bermula pertengahan Disember ini.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]

Polis hulur bantuan pasca banjir

in Edisi Terengganu by


KAMPUNG KUALA PING – Kedukaan mangsa banjir, di sini, sedikit terubat apabila warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu turun padang mengadakan gotong-royong membersihkan kediaman mereka, semalam.


Khidmat sosial sempena Program Tangan Bersalaman Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Pasca Banjir yang dijayakan 45 pegawai kanan dan anggota polis itu diketuai sendiri Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud.


Mohd Adli berkata, Kampung Kuala Ping merupakan lokasi pertama pihaknya mengadakan aktiviti pasca banjir dan sumbangan barangan keperluan dapur turut diagihkan kepada penduduk terlibat bagi meringankan beban mangsa setelah melalui bencana banjir yang melanda di daerah ini.


“Program ini juga antara aktiviti Kepolisian Komuniti bagi mengeratkan lagi hubungan antara pihak polis dengan masyarakat.


“Fokus utama hari ini (semalam), membersihkan empat rumah yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda kampung ini beberapa hari lalu,” katanya.


Menurutnya, gotong-royong melibatkan kerja-kerja membersihkan lantai yang dipenuhi lumpur serta mengalihkan barangan untuk dikeringkan.


“Melalui usaha dijalankan pihak polis ini kita juga harapkan sedikit sebanyak mengubat kesedihan mangsa banjir yang terlibat.


“Selain menjalankan operasi memindah mangsa banjir bersama agensi lain ketika bencana berlaku, PDRM j turut menghulurkan bantuan-bantuan pasca banjir seperti gotong-royong membersihkan kediaman mangsa sebagaimana yang diadakan ini,” katanya.


Katanya, bantuan berkenaan akan diteruskan untuk meringankan beban mangsa sekali gus merapatkan hubungan  polis dan masyarakat.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Pencuri tinggalkan RM1

in Edisi by


BANDARAYA MELAKA – Pencuri hanya tinggalkan wang RM1 sahaja pada setiap tabung yang dipecahkan menurut kata Pengerusi Masjid al-Ehsan, Kampung Limbongan, Kamarudin Mohd. Ali.


Ia selepas empat daripada lima buah tabung peti, termasuk sebuah tabung kutipan amal untuk Aman Palestin yang diletakkan di masjid itu dicuri awal pagi kelmarin dengan anggaran kerugian lebih RM2,000.


Menurut Kamarudin, kejadian itu disedari kira-kira jam 5.30 pagi oleh jemaah yang ingin menunaikan solat Subuh apabila mendapati tabung-tabung peti di dinding telah pecah manakala sebuah tabung peti besi berada di dalam keadaan terbalik.


“Saya percaya pencuri masuk ke dalam masjid dengan cara mengumpil jeriji besi yang dipasang di salah satu tingkap sebelum bertindak memecahkan tiga tabung peti serta sebuah tabung kutipan Aman Palestin.


“Sebuah lagi peti besi lagi tidak berjaya diumpil dan terselamat, namun kita anggarkan kerugian lebih RM2,000 kerana tabung kutipan Aman Palestin itu tidak dibuka sejak tiga bulan lepas,” katanya ketika ditemui di Masjid al-Ehsan Limbongan di sini, semalam.


Tambah Kamarudin, yang menghairankannya apabila pencuri terbabit turut meninggalkan wang RM1 pada setiap setiap tabung seakan-akan dijadikan ‘ibu duit’ sebagaimana menjadi amalan khurafat dengan harapan wang menjadi berlipat kali ganda.


Jelasnya, kejadian itu merupakan kali kedua sejak tiga tahun lalu malah peti besi hijau seberat 60 kilogram milik masjid berkenaan pernah ditemui di tepi pantai di kawasan berdekatan selepas tidak berjaya diumpil.


“Masjid ini mampu memuatkan kira-kira 700 orang jemaah pada waktu solat Jumaat dan ramai yang bersedekah, mungkin disebabkan itu juga ia menjadi sasaran si pencuri melakukan hal terkutuk ini,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan laporan telah dibuat di Balai Polis Malim.


“Kita menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 9 pagi hari yang sama dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 547 Kanun Keseksaan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Chef diminta turun padang

in Edisi by


KUANTAN – Chef-chef di negeri ini disarankan turun padang untuk membantu memasak bagi tujuan menjamu mangsa banjir.


Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, pembabitan mereka ketika musim tersebut dilihat dapat memberikan keceriaan kepada mangsa terlibat dengan penyediaan masakan enak oleh chef-chef profesional.


Titah baginda, kerjasama antara chef dan masyarakat dalam berkongsi khidmat memasak untuk mangsa banjir sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka.


“Saban tahun, Pahang merupakan antara negeri yang akan dilanda banjir dan untuk tahun ini saya menjemput semua chef di negeri ini untuk turun padang membantu memasak untuk mangsa-mangsa banjir.


“Seperti mana kita bersama-sama hari ini memasak dalam Cabaran Kulinari Asia 2017, kita juga harus bersama-sama meringankan beban membantu untuk memasak bagi golongan memerlukan,” titah baginda semasa berucap pada Majlis Penutup Cabaran Kulinari Asia 2017 di sini, semalam.


Sementara itu, seramai 300 peserta daripada dalam dan luar negara telah menyertai cabaran tersebut tahun ini.


Cabaran yang dianjurkan sejak 2008 anjuran Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills itu menyaksikan penglibatan Tunku Azizah sebagai juri DiRaja.


Selain kelas 1-19 iaitu bawah 24 tahun dan kategori terbuka, turut dipertandingkan buat julung kalinya iaitu melibatkan pelajar sekolah menengah untuk kelas pasta, daging dan makanan laut.


Kejohanan kali ini menyaksikan wakil Universiti Teknologi Mara Cawangan Pulau Pinang merangkul gelaran juara keseluruhan menewaskan juara edisi lalu iaitu tuan rumah, Kolej Yayasan Pahang.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Layanan taraf lima bintang

in Edisi Terengganu by


KUALA BESUT – Hampir semua mangsa banjir yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini menyifatkan layanan yang diberikan kepada mereka oleh semua petugas adalah yang terbaik.


Salah seorang mangsa yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut 2, Ismail Salleh, 55, berkata, dia yang dipindahkan ke pusat itu bersama isteri dan anak lelakinya Selasa lalu berasa selesa tinggal di situ walaupun terpaksa berkongsi tempat dengan ratusan mangsa lain.


Menurutnya, dia tidak kisah sekiranya terpaksa bermalam di PPS untuk tempoh beberapa hari lagi kerana dia dan mangsa diberi layanan kelas pertama oleh semua pihak.


“Pendek kata makan tak pernah putus sehinggakan jam 12 malam masih ada makanan yang disediakan petugas bertempat di kantin sekolah.


“Kanak-kanak memang tak lapar sebab ada sahaja benda yang boleh di makan malah petugas daripada agensi berkaitan turut menyediakan bilik khas untuk kanak-kanak bermain permainan yang seperti karom, catur dan sebagainya,” katanya.


Manakala Zarina Abdullah, 38, berkata, dia yang pertama kali tinggal di pusat pemindahan banjir amat berpuas hati dengan layanan diberikan.


Menurutnya, dia sebenarnya tinggal di Johor Baharu, Johor dan pulang minggu lepas untuk menziarahi ibu bapanya di Kampung Teluk Bayu di sini.


“Kebetulan ketika saya balik kampung, berlaku banjir kilat menyebabkan saya bersama ibu dan ayah terpaksa berpindah ke sini.


“Walaupun pengalaman pertama tetapi saya amat berpuas hati kerana kami diberikan selimut tebal (toto), selimut, tikar dan keperluan asas lain. Kemudahan perubatan juga ada malah makanan lazat dan tidak putus-putus,” katanya yang ditemui ketika bersiap untuk pulang ke rumah setelah PPS itu ditutup pada jam 2.30 petang semalam.


Zarina berkata, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan juga kerap datang menziarahi mangsa di sini dan pelbagai agensi terlibat melaksanakan tugasan dengan baik.


Sementara itu, Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, PPS SK Kuala Besut 2 diberikan taraf lima bintang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang melawat pusat ini kelmarin.


Menurutnya, komitmen semua pihak yang terlibat dalam pengurusan banjir yang diketuai Pegawai Daerah Besut pada tahap terbaik.


“Terima kasih kepada semua petugas yang memberi perkhidmatan terbaik kepada mangsa banjir malah sebahagian besar mereka terpaksa berada di PPS sepanjang masa,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Huffaz terkepung dibantu

in Edisi by


TANAH MERAH – Polis daerah ini melakukan operasi membantu menghantar bekalan makanan ke sebuah sekolah tahfiz yang terkepung akibat banjir di Kampung Rong Chenok, Pasir Mas, kelmarin.


Bekalan makanan untuk kira-kira 35 penghuni tahfiz itu sepatutnya dihantar Pertubuhan Kebajikan Ummah Kemahangcare (KEMAHANGcare), namun terbantut akibat laluan tenggelam.


Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, KEMAHANGcare memohon bantuan bot dan sepasukan lapan anggota diketuai seorang pegawai, sebuah bot dan kenderaan pacuan empat roda telah dihantar.


“Bekalan makanan itu dapat diserahkan kepada warga tahfiz kira-kira jam 12 tengah hari,” katanya semalam.


Menurutnya, sehari sebelum itu, polis turut membantu menghantar soalan Sijil Pelajaran Malaysia ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kerilla dan Kuala Tiga kerana laluan ke sekolah itu dinaiki air.


“Kita menghantar anggota untuk mengiringi pegawai pejabat pendidikan daerah menghantar dan mengambil soalan peperiksaan di dua sekolah ini yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Anggota polis membantu penghantaran soalan peperiksaan SPM ke sekolah yang terjejas akibat banjir di Tanah Merah.


Jelasnya, setiap operasi menyelamat semasa banjir dipantau dan diselaraskan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang diketuai beliau sebagai komander dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dipengerusikan ketua jajahan.


“Semua operasi diselaraskan PKTK termasuk bantuan menghantar pasukan perubatan ke pusat pemindahan yang dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kelmarin,” katanya.


Sementara itu, Presiden KEMAHANGcare, Rasyiman Azmawi Abdul Rahim berkata, pengurusan tahfiz itu menghubungi pihaknya mengenai kekurangan bekalan makanan selepas terkepung hampir tiga hari.


“Kami terpaksa minta bantuan bot polis. Terima kasih polis terutama ketua polis daerah (Suzaimi) serta PKOB atas bantuan dan kerjasama,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]

Buat pembedahan untuk kelihatan seperti Angelina Jolie

in Global by


DEK kerana terlampau minat kepada aktress, Angelina Jolie, seorang wanita sanggup menjalani sekurang-kurangnya 50 pembedahan di wajahnya lapor The Daily Haze.


Sahar Tabar berasal dari Tehran, Iran menjadi ‘selebriti’ di Instagram berikutan menjadikan laman media sosial tersebut sebagai diari dia bertukar menjadi selebriti kesayangannya itu.


Menurut Jastrzab Post, Tabar juga menjalani diet khas untuk mengekalkan berat 40kg, namun tidak dapat dipastikan dari mana wanita tersebut mampu membiayai segala pembedahannya itu.


Dalam pada itu, beliau juga turut mempunyai lebih 300,000 pengikut di laman Instagramnya.


Walaupun rata-rata mengecam tindakannya itu dengan menggelarnya ‘The Corpse Bride’ berdasarkan sebuah filem animasi Tim Burton, akan tetapi ada juga yang memberikan sokongan kepadanya.


 


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Najib ucap takziah pemergian Surin

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas setiausaha agung Asean, Dr Surin Pitsuwan di Bangkok.


“Dukacita mendengar mengenai pemergian Surin Pitsuwan, bekas setiausaha agung Asean dan (bekas) menteri luar Thailand. Satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Asean tetapi juga kepada dunia diplomasi. Al-Fatihah,” menurut Najib dalam catatannya menerusi Twitter.


Allahyarham Surin, 68, meninggal dunia akibat serangan jantung.


Surin rebah ketika sedang bersiap untuk menghadiri Perhimpunan Halal Thailand  2017 dekat Bangkok dan dikejarkan ke Hospital Ramkhamhaeng sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang waktu tempatan.


Surin merupakan timbalan menteri luar Thailand dari 1992 hingga 1995 sebelum dilantik sebagai menteri luar dari 1997 hingga 2001 di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Chuan Leekpai.


Pada 1 Januari 2008, beliau dinamakan sebagai Setiausaha Agung Asean. – Bernama




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Betulkan persepsi masyarakat terhadap umat Islam

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Umat Islam perlu berbalik semula kepada ajaran agama sebenarnya supaya persepsi dan tanggapan negatif masyarakat terhadap Islam dapat diubah, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.


Beliau berkata umat Islam perlu mempersiapkan diri mereka dengan akhlak yang terpuji, diikuti dengan melakukan ibadah dan mempunyai akidah yang mantap kerana ini adalah contoh yang terbaik untuk menunjukkan jalan Islam itu sendiri.


“Maka dengan sambutan Maulidur Rasul ini seharusnya orang Islam sendiri bertanggungjawab untuk membetulkan imej agama Islam yang sering dikaitkan dengan pembunuhan dan keganasan.


“Penekanan juga harus diberikan kepada generasi muda supaya mempersiapkan diri dengan nilai-nilai Islam selari dengan arus pemodenan negara agar mereka tidak ketinggalan dalam hal keagamaan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Negeri di sini, hari ini.


Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan Datuk Selamat Paigo.


Mohamad berkata Islam merupakan kerajaan yang hebat suatu ketika dahulu dan disegani oleh pemikir-pemikir barat, dan seharusnya penganut agama Islam berusaha mengembalikan l semula kegemilangan ini.


Sementara itu, dalam majlis tersebut Mohamad turut menyampaikan Anugerah Khas Pelajar Cemerlang kepada enam orang pelajar yang mendapat pangkat mumtaz dalam pengajian sarjana muda, diploma tahfiz dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).


Kesemua mereka menerima cek sejumlah RM2,000 bagi kategori ijazah sarjana muda, RM1,500 diploma tahfiz dan RM1,000 kepada pelajar STAM dan kesemua mereka membawa pulang piala iringan serta sijil.


Kira-kira 2,000 tetamu hadir di majlis tersebut dan turut diadakan ceramah bertajuk ‘Kesatuan Ummah, Kesejahteraan Negara’ yang disampaikan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Tampin Mahyudin Aziz. – Bernama




 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Lombong pasir, batu haram sebabkan kerajaan rugi: SPRM

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor dipercayai mengalami kerugian berjuta-juta ringgit setiap tahun berikutan tindakan agresif sebuah syarikat perlombongan yang beroperasi secara gelap untuk membawa keluar pasir dan batu secara haram di Kajang sejak 2014.


Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, syarikat perlombongan itu didapati beroperasi secara berleluasa tanpa sebarang pengawasan dan sekatan oleh mana-mana pihak berkuasa bagi mengaut keuntungan dengan mengeluarkan hasil bumi menggunakan puluhan buah lori setiap hari.


“SPRM kini menjalankan siasatan setelah menerima maklumat berhubung kegiatan haram syarikat ini dan hasil maklumat terkumpul mendapati syarikat itu tidak memiliki permit dan jauh sekali daripada membayar royalti kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama hari ini.


Menurut sumber itu, SPRM sedang membuat penilaian kerugian dari segi hasil kutipan yang gagal dikutip kerajaan negeri berikutan kerja-kerja perlombongan pasir dan batu itu yang dikatakan berlaku di sebuah kawasan lapang, berhampiran Kajang.


“Agak mencurigakan apabila syarikat ini dikatakan beroperasi tanpa henti sejak sekian lama tanpa disedari oleh kerajaan negeri atau pihak berkuasa,” katanya.


Sumber itu berkata, siasatan dan risikan yang dijalankan mendapati perlombongan haram itu didalangi oleh seorang pengarah syarikat bergelar jutawan.


“Pengarah syarikat itu juga didapati memiliki keseluruhan kawasan perlombongan itu dan SPRM akan menjalankan siasatan lanjut untuk mendakwanya atas kesalahan membawa keluar hasil bumi yang sepatutnya menjadi milik kerajaan,” katanya.


Menurutnya, sekumpulan pegawai dari Pejabat Alam Sekitar dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor yang diarahkan membuat siasatan dan ujian di kawasan terbabit ekoran aduan yang diterima baru-baru ini juga menemukan bukti serta  mengesahkan berlakunya pengeluaran pasir dan batu daripada kawasan itu.


Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada proses siasatan, SPRM turut menahan sebuah lori yang sedang beroperasi membawa keluar hasil batu dari kawasan perlombongan itu.


“Apabila pegawai kita menahan lori itu, lori-lori lain yang sedang beroperasi terus menghentikan aktiviti mereka, seolah-olah mereka sedar bahawa kegiatan mereka itu menyalahi undang-undang,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan siasatan terhadap operasi dan syarikat pelombongan itu.


Katanya, sehingga ini empat individu ditahan dan dikenakan reman selama tujuh hari bermula semalam  bagi membantu siasatan SPRM.


Menurutnya, selain itu SPRM turut merakam keterangan tujuh individu lain termasuk pekerja syarikat dan pemandu lori berhubung kegiatan perlombongan haram itu.


Semalam, SPRM membekukan beberapa akaun kewangan syarikat terbabit bernilai RM4 juta yang dipercayai sebahagian daripada hasil keuntungan syarikat itu menjalankan aktiviti perlombongan secara haram di Selangor. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

1 2 3 477
Kembali UTAMA