Monthly archive

January 2018

Kerajaan tak sekat kebebasan bersuara rakyat

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menyekat kebebasan bersuara rakyat jika ia hanya sekadar hal-hal mengkritik kerajaan atau berbeza  pendapat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Katanya perkara yang dipantau kerajaan adalah berita berbentuk  fitnah, perkauman, menjejaskan keselamatan negara dan melanggar undang-undang negara.


“Begitulah sikap kerajaan tentang kebebasan bersuara sekarang. Bagaimana boleh kita katakan kerajaan sekarang menyekat kebebasan bersuara jika pembangkang masih bebas menulis blog mengkritik kerajaan, menerbitkan portal berita yang antikerajaan, dan membenarkan akhbar pembangkang dan media sosial terus beroperasi?,” katanya dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, hari ini.


Katanya terdapat perbezaan antara kebebasan suara dan menghormati undang-undang negara.


Beliau menjelaskan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kebebasan bersuara kepada rakyat, namun kebebasan tersebut tidaklah ‘mutlak’.


Namun, Salleh berkata Parlimen juga mempunyai hak untuk menetapkan had kebebasan bersuara berdasarkan keperluan dan kepentingan negara seperti keselamatan negara dan orang awam, mengawal penyebaran fitnah, melarang persoalan tentang kedaulatan dan kuasa Raja-Raja Melayu, dan kedudukan dan hak istimewa  Melayu dan Bumiputera.


Bendahari Umno itu berkata undang-undang tersebut bukan baharu tetapi wujud sejak begitu lama dan bukan semasa zaman perdana menteri sekarang.


“Akan tetapi kerajaan sekarang pula yang dikatakan tidak bebas dan menyekat kebebasan bersuara,” katanya.


Salleh menegaskan, dahulu kerajaan menjustifikasikan had kebebasan itu perlu untuk mengawal perpaduan rakyat disebabkan kemajmukan masyarakatnya bagi menjamin kestabilan negara dan bagi menghalang penyiaran laporan yang boleh memberikan imej buruk tentang negara.  


“Tetapi sekarang ini, jika kerajaan mengenakan kawalan, mereka yang dahulunya menjustifikasikan sekatan dengan sebab di atas berhujah pula kerajaan menyekat kebebasan bersuara.


“Inilah yang tidak betulnya apabila mempolitikkan semua perkara untuk tujuan politik,” katanya, – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Penari klasik Ramli Ibrahim dapat anugerah di India

in Hiburan by
Datuk Ramli Ibrahim

Penari klasik Ramli Ibrahim dapat anugerah di India


PENARI dan koreografer tarian klasik India terkenal Malaysia, Datuk Ramli Ibrahim, dinobatkan sebagai antara penerima anugerah sempena Hari Republik India tahun ini, sebagai pengiktirafan di atas sumbangannya selama ini.  


Ramli satu daripada 10 individu dari negara anggota Asean yang akan menerima anugerah Padma Shri sempena meraikan 25 tahun perkongsian dialog antara India dengan blok Asia Tenggara.


Anugerah itu juga sebagai menghargai kerjaya selama 40 tahun Ramli sebagai penari dan jurulatih tarian klasik  Oddisi, Bharatnatyam serta penubuhan Teater Tarian Sutra di Malaysia.


Ramli,64, banyak menyumbang dalam mempersembahkan tarian Odissi dan telah menerima pujian untuk persembahannya di India.


Sebelum ini, beliau pernah menerima Anugerah Akademi Sangeet Natak India pada 2011, pertama kali diberikan kepada rakyat Malaysia.


Anugerah Padma Shri, penghormatan awam tertinggi keempat di India, diberikan setiap tahun kepada individu di atas kecemerlangan dalam pelbagai bidang.


Sambutan tahun ini istimewa kerana 10 pemimpin Asean turut menghadiri istiadat perbarisan Hari Republik India, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, di mana ketua negara dan kerajaan menjadi tetamu terhormat.


Jurucakap Kementerian Luar, Raveesh Kumar berkata, kerajaan India mengumumkan penghargaan itu diberikan kepada seorang individu untuk setiap negara Asean.


Antara penerima lain ialah Malai Haji Abdullah Malai Haji Othman dari Brunei dalam bidang perubatan, pengukir Indonesia I Nyoman Nuarta, diplomat Singapura Tommy Koh dan putera tertinggi Thailand, Somdet Phra Ariya Wongsa Khottayan.


Turut tersenarai Setiausaha Agung Vietnam Buddha, Sangha Nguyen Tien Thien, ahli perniagaan Filipina, Jose Ma Joey Concepcion III, sejarawan Myanmar, Thant Myint-U, Bounlap Keokangna dari Laos dan Hun Many dari Kemboja. – Bernama


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

Kubah masjid bocor, saf terputus dengan besen

in Edisi by


SETIU – Saf solat di Masjid Bandar Permaisuri terpaksa dipisahkan dengan besen berikutan mengalami masalah kubah bocor.


Masjid Bandar Permaisuri berusia 19 tahun kini berdepan masalah kubah bocor yang menjadi kebimbangan jemaah di masjid berkenaan.


Masalah itu mula berlaku pada 2004 dan bertambah buruk sejak lima tahun kebelakangan ini, masih lagi tiada penyelesaian dibuat pihak berwajib.


Timbalan Pengerusi AJK Pengurusan Masjid, Razali Yaacob berkata, perkara itu mengundang kerisauan para jemaah di masjid berkenaan yang mampu memuatkan 800 hingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa.


Menurutnya, disebabkan kubah bocor, air hujan masuk ke beberapa bahagian dalam masjid yang turut menyebabkan air bertakung sekaligus merosakkan karpet masjid.


“Pihak masjid terpaksa meletakkan lebih 10 besen untuk menakung air apabila hujan di beberapa kawasan kubah bocor.


“Paling menyedihkan saf solat terputus kerana adanya besen ini yang diletakkan di tengah kawasan utama solat,” katanya.


Malah ada jemaah yang terjatuh ketika melalui lantai yang licin berikutan masalah itu.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Polis ambil keterangan pelakon lepaskan tembakan senapang

in Semasa by


SERI ISKANDAR – Seorang pelakon lelaki berusia 30 tahun dipanggil polis, hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes melepaskan tembakan dengan menggunakan senapang patah orang lain dalam satu kejadian di Kampung Parit Jerman, Sitiawan, Julai tahun lepas.


Polis menerima laporan berhubung kejadian itu setelah video menembak terbabit tular di laman sosial sejak tiga hari lalu menunjukkan aksi lelaki yang telah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata itu melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan ke udara.


Video berdurasi hampir 48 saat itu menunjukkan dua individu dimana seorang daripadanya pelakon terbabit sedang menembak sementara seorang lagi lelaki berusia 70 tahun, dipercayai pemilik senjata api terbabit.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemilik senjata api terbabit telah hadir ke balai polis semalam untuk memberi keterangan.


“Video ini dirakam pada Julai tahun lalu, namun baru saja tular dalam YouTube dua tiga hari lalu. Kita sedang menunggu pelakon lelaki berkenaan tampil memberi keterangan berhubung kes ini,” katanya pada sidang media, hari ini.


Beliau berkata, senapang patah jenis SK500 yang digunakan telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 Akta Senjata Api 1960.


“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 8 dan Seskyen 39 akta yang sama,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

Miliki lima anak dalam masa tiga tahun

in Global by


STAFFORDSHIRE – ENGLAND. Lapan bulan selepas melahirkan anak pertama, Elwood, pada Julai 2014, Leanne Shelton, 37, mendapati dia hamil sekali lagi dan kini ibu subur itu memiliki lima anak dalam tempoh hanya tiga tahun.


Kali ini, Leanne dan suaminya, Graham, dari Cheadle menanti kehadiran anak kembar. Pada Disember 2015, Hendrix dan Axl kini berusia dua tahun dilahirkan.


Belum reda kegembiraan pasangan suami isteri itu, Leanne disahkan hamil 14 minggu selepas melahirkan bayi kembarnya dan imbasan awal menunjukkan dia bakal menimang cahaya mata kembar kedua.


Pasangan kembar kedua Bowie dan Phoenix dilahirkan pada Disember 2016 melengkapkan kehidupan Leanne dan suaminya yang kini mempunyai lima orang anak dalam masa hanya tiga tahun.


“Kami tahu kehidupan akan menjadi sangat sibuk apabila memiliki anak kembar dan langsung tidak menjangkakan akan dikurniakan sepasang lagi anak kembar,” kata Leanne.


Kelima beradik itu menggunakan kira-kira 150 lampin seminggu dan Leanne membelanjakan 220 pound (RM1,219) seminggu untuk makanan tujuh beranak. –


Mirror


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Thailand akan rancakkan pembangunan di sempadan

in Global by


SONGKHLA – Kerajaan Thailand akan berusaha mempercepatkan pembangunan di sempadan negara mereka bagi menyediakan kemudahan terbaik kepada pelancong Malaysia.


Gabenor Songkhla, Dondej Phatnarat berkata, setiap kali tibanya musim cuti di Malaysia, ramai pelancong akan mengunjungi Songkhla bagi melawat tempat-tempat menarik di situ.


“Kita lihat sempadan Malaysia juga lebih maju berbanding Thailand, dan sudah pasti kerajaan Thailand akan lebih komited untuk memastikan pembangunan kami seiring dengan Malaysia,” katanya,ketika menerima kunjungan delegasi dari Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di pejabatnya, di Songkhla City Hall, baru-baru ini.


Menurutnya, negeri Kedah dan juga Songkhla adalah negeri bersempadan yang mana corak ekonomi dan politiknya hampir sama.


“Banyak perkara yang kita boleh berkongsi dan bertukar-tukar fikiran selain bersama-sama membangunkan industri pelancongan dan juga perniagaan,” katanya.


Mengulas mengenai isu kenderaan Malaysia yang dihalang masuk melebihi jarak sepatutnya, Dondej berkata, perkara itu tertakluk pada undang-undang dalam negeri.


“Bagaimanapun, kerajaan Thailand dalam perancangan untuk memeterai sebuah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya yang turut menjelaskan kemasukan kargo ke Malaysia meningkat berikutan banyak produk dari selatan Thailand dieksport ke luar negara melalui Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar ke pelabuhan Pulau Pinang.


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Gerakan undi rosak musuh Harapan

in Politik by


IPOH – Pemuda Harapan tidak menganggap gerakan undi rosak sebagai musuh.


Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya sedia bertemu dengan wakil gerakan tersebut bagi mendapatkan penjelasan lanjut.


“Kita yakin mereka tidak mahu Datuk Seri Najib Tun Razak berkuasa. Cuma mungkin di pihak kita mereka tidak bersetuju dengan beberapa perkara.


“Jadi kita akan bertemu dan berbincang dengan mereka untuk pujuk mereka beritahu merosakkan undi akan beri kesan besar,” katanya pada sidang media, malam tadi.


Beliau terdahulu ditemui pada Majlis Pelancaran Pemuda Pakatan Harapan Perak, di Pejabat Bersatu Perak, Bandar Meru Raya, di sini.


Nik Nazmi berkata, berdasarkan tinjauan yang dibuat melalui program-program turun padang, rakyat khususnya orang muda memberi maklum balas yang baik menyatakan mereka tidak sabar mengundi.


Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beberapa rakyat Malaysia di luar negara juga sudah tidak sabar mengundi dan sanggup untuk membelo tiket pulang membuang undi.


Katanya, semangat itu perlu dicontohi anak muda di negara ini dan kempen undi rosak yang dibuat akan merugikan anak muda.


“Jangan rugikan peluang kali ini untuk ubah kerajaan yang lebih baik kerana kalau anak muda tak mainkan peranan dengan mengundi, siapa yang akan mencorakkan masa depan negara,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Rab Khalid: Sukarelawan Taman Laut yang tiada ganti

in Edisi Pahang by


KUALA ROMPIN – Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang turut merasa kehilangan atas pemergian Allahyarham Rab Khalid atau nama sebenarnya Khalid Shamsuri, 47.


Ketika hayatnya, beliau rapat dengan agensi kerajaan itu yang kerap bekerjasama menjalankan program memulihara terumbu karang di Pulau Tioman.


Pengarah JTLM Pahang, Mohd Fazli Long, berkata, Allahyarham merupakan seorang sukarelawan yang sukar untuk dicari ganti.

Mohd Fazli (kiri) bersama kumpulan sukarelawan yang turut disertai Rab Khalid (tiga,kanan) dalam satu program memulihara terumbu karang di Pulau Tioman, tahun lalu.


Menurutnya, komitmen yang diberikannya dalam setiap program begitu hinggakan keadaan kesihatan kurang baik tetapi tetap berada di lokasi.


“Dia bukan sekadar sukarelawan tetapi seorang sahabat, abang dan saudara bersama team Brudu Diver yang telah banyak menyumbang kepada program-program sukarelawan khususnya di Taman Laut Pulau Tioman dan Taman Laut Malaysia lain di negara ini.


“Semoga ALLAH membalas jasa dan budi baiknya yang tidak terhitung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.


Mohd Fazli berkata, berita tentang kematian seniman yang terkenal dengan watak Yeh Sekupang oleh rakan dan peminatnya itu begitu mengejutkan.


“Sebelum ini kita tahu ada masa dia sakit dan tidak boleh menyelam, tak sangka dia pergi dahulu meninggalkan kami,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]

Bantuan kepada rakyat bukan gula-gula politik

in Edisi Utara by


KOTA SARANG SEMUT – Pemberian sumbangan bersempena Tahun Baru Cina kepada rakyat khususnya masyarakat cina bukanlah gula-gula politik bagi menghadapi PRU-14 akan datang.


Menteri Besar Kedah,  Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan bantuan kepada penduduk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) itu demi membantu meringankan beban menyambut perayaan.


“Jadi, saya minta tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan cuba mempolitikkan pemberian sumbangan musim perayaan ini sebagai gula-gula pilihan raya nanti.


“Tak kira, sambutan musim perayaan sekalipun kita selama ini akan memberi sumbangan kepada penduduk memerlukan demi membantu mereka,” katanya.


Beliau berkata sedemikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah kepada orang tua kurang bernasib baik dan kurang upaya pada Tahun Baru Cina 2018 di Bangunan Persatuan Pendidikan Akhlak Ji Yan Ge, di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin dan Pengerusi Persatuan Pendidikan Akhlak Ji Yan Ge, Ang Ah Boo.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Ahli Geng Jeff Klon ditahan bersama lima buah kenderaan

in Semasa by


BALIK PULAU – Lapan Geng Jeff Klon ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket mengklon kenderaan, petang Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 33 hingga 56 tahun itu ditahan sekitar negeri ini dan Kedah.


Menurutnya, susulan tangkapan itu, lima kenderaan dirampas iaitu Toyota Estima; Toyota Camry; Honda Accord, Nissan Sentra dan Proton Waja.


Tambahnya, tiga daripada kenderaan itu tidak dapat dikesan pemilik asal dan ia dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.


“Sindiket ini disyaki beroperasi lebih tiga tahun lalu. Modus operandinya, menyeludup atau memperolehi kenderaan dari negara jiran. Selain itu, kita percaya mereka menggunakan kenderaan yang gagal membayar ansuran pinjaman bank dan telah disenaraihitamkan berikutan ada di kalangan ahli sindiket ini, merupakan agen penarik kereta.


“Polis turut mengesan dua lelaki yang merupakan suspek atau dalang utama sindiket ini iaitu Ahmad Nazrul Hassan, 41, yang beralamat di Permatang Damar Laut, Bayan Lepas.


“Dia mempunyai satu rekod jenayah membabitkan dadah manakala rakannya, Mohd Redzuan Ahmad Redza, 30, yang beralamat di Relau, Bayan Baru,” katanya kepada media tadi.




 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

1 2 3 49
Kembali UTAMA