Monthly archive

March 2018

Pihak bank tak boleh tersasar

in Bisnes by


SEBARANG perbincangan mengenai topik teknologi kewangan (fintech) dan pengubah digital sewajarnya tidak menjejaskan industri perbankan daripada terasnya sebagai pengurus kewangan yang dipercayai atau dijadikan alasan bagi melewatkan amalan teknologi tersebut.


Dalam satu kenyataan, Ketua Inovasi, Mudah Tunai dan Pengurusan Tunai Global HSBC Asia, Jennifer Doherty berkata, teknologi perlu berlaku dalam persekitaran yang selamat dengan data pengguna atau pelanggannya dilindungi.


Laporan Global Trust in Technology (Kepercayaan Global Terhadap Teknologi) 2017 HSBC mendedahkan, apabila membabitkan kewangan, orang ramai lebih berminat mendapatkan keselamatan serta berhati-hati terhadap pihak yang menguruskan wang mereka.


“Kepercayaan serta amanah adalah teras untuk semua bentuk hubungan. Pihak bank juga sejak berdekad lamanya telah membina infrastruktur yang luas, membangunkan penyelesaian bagi pematuhan dan keperluan kawal seliaan serta paling penting, mendapatkan kepercayaan pelanggan.


“Untuk terus kekal relevan, mereka (pihak bank) tidak boleh tersasar daripada tujuan asas iaitu menjaga dan bertanggungjawab menjaga wang milik pelanggan mereka,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]

Optimis jana RM154.84 Juta

in Bisnes by


PROGRAM Penyumberan Antarabangsa (INSP) kendalian Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bersempena Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia Ketiga 2018 (OTC 2018), berjaya menjana potensi jualan sebanyak RM154.84 juta.


Menurut Matrade, INSP disertai oleh 52 syarikat Malaysia dan 22 pembeli asing mewakili 12 negara termasuk ASEAN, Asia Selatan, wilayah Teluk, Afrika dan Amerika Syarikat.


“Sebanyak 169 mesyuarat perniagaan yang dirancang awal, turut diadakan pada acara dua hari berkenaan,” kata agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.


Kalangan pembeli asing berminat terhadap peralatan bagi kawasan permukaan (perairan), kawalan aliran, sistem perpaipan, pam dan pemampat serta peralatan keselamatan, sistem kawalan, kelengkapan komunikasi dan perkhidmatan, penjanaan kuasa, kapal tekanan dan perkhidmatan dalam aspek penggerudian, penerokaan minyak dan gas, pengangkutan darat, latihan serta perundingan.


Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Wan Latiff Wan Musa turut mengingatkan syarikat Malaysia dan asing untuk terus melakukan susulan terhadap rundingan perniagaan yang mungkin memakan masa selama dua hingga tiga tahun sebelum transaksinya dapat dimuktamadkan. – Bernama

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]

Limpahan rezeki buat penduduk Pengerang

in Bisnes by


PENGERANG, Kota Tinggi, Johor yang dahulunya sebuah kawasan perladangan dan kampung nelayan, kini berubah wajah dan semakin pesat dengan adanya projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).


Kompleks itu kelak bakal menempatkan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) yang dimajukan oleh Petronas dan dijangka siap pada suku pertama 2019.


Pembangunan PIC bukan sahaja memberi kesan menyeluruh di kawasan itu, malah limpahan ekonomi hiliran kepada komuniti setempat sekali gus memberi impak positif kepada taraf ekonomi penduduk.


Ini dapat dilihat melalui perniagaan pasar malam di tapak disediakan Petronas berhampiran PIC.


Selain itu, kewujudan projek pembangunan itu juga menggalakkan industri lain berkembang antaranya jahitan dan kraf tangan melibatkan golongan wanita dan ibu tunggal melalui inisiatif digerakkan Persatuan Peniaga dan Usahawan Kejora (PuPUK) dengan menubuhkan MyCraft.


Turut mendapat manfaat ialah belia tempatan yang memiliki peluang pekerjaan dan dividen melalui  Koperasi Pemuda Patriot Pengerang Kota Tinggi Berhad (Kopetri), yang menjadi pengedar tunggal minyak pelincir bagi kegunaan kenderaan komersil dan mesin industri berat di PIC.


Pasar malam lonjak pendapatan komuniti setempat


Pembukaan pasar malam berhampiran tapak PIC oleh Petronas melalui kerjasama Koperasi Jaya Teluk Ramunia (Kojaya) memberi peluang penduduk setempat yang terlibat dengan pengambilan tanah memperoleh manfaatnya.


Ia adalah inisiatif Petronas ke arah pembangunan sosioekonomi penduduk di kawasan operasinya selain  memberi khabar gembira buat 60,000 pekerja daripada 65 negara  yang tinggal di situ.


Diadakan tiga kali seminggu, setiap Rabu, Sabtu dan Ahad, tapak yang disediakan itu memberi ruang kepada 52 peniaga menjual pelbagai menu makanan, minuman, pakaian, gajet dan juga  perkhidmatan kiriman wang.


Menurut Pengerusi Kojaya, Syed Bahrim Syed Ibrahim, sejak dibuka pasar malam ini memberi peluang komuniti setempat untuk terlibat dalam peniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan yang menguntungkan.


“Pada awalnya,  ramai peniaga ber-mula satu khemah, bertambah dua, tiga dalam tempoh beberapa bulan.


“Ada yang hanya menyewa, tapi selepas itu mampu beli kenderaan sendiri dan purata pendapatan mereka sehari mampu menjangkau RM2,000 hingga puluhan ribu bergantung kepada jenis perniagaan,” katanya.  


Kurang hijrah ke bandar


Menurutnya, sambutan diterima amat menggalakkan sehingga membolehkan peniaga mengajikan beberapa pekerja di kalangan belia setempat.


“Untuk berniaga di sini mereka mestilah penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah dan merupakan penduduk asal Pengerang. Kita juga ambil kira keupayaan mereka menyediakan makanan memandangkan  jumlah pekerja yang ramai,” katanya.


Di sini juga  katanya, peniaga perlu mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan, di mana  ada pemantau  Petronas bagi memastikan makanan selamat dan bebas keracunan. Harga turut dipantau dan mesti dipamerkan.


Bliau menzahirkan harapan selepas projek PIC siap kelak, peniaga–peniaga ini diberikan ruang dan peluang berniaga di lokasi yang lebih strategik oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).


Belajar bahasa asing  


Seorang anak muda, berkelulusan Diploma Elektronik daripada Politeknik Pasir Gudang, Johor Bahru, Hazlami Hussin, 28, tidak menyangka akan bergelar usahawan pasar malam.


Dengan modal RM4,000 sebagai permulaan, Hazlami menjual ayam gunting, sotong dan sosej di tapak pasar malam yang  disediakan Petronas.


“Pada awalnya saya berniaga seorang diri dengan membuka satu khemah , memandangkan permintaan menggalakkan, saya mengaji lima pekerja.


“Permintaan begitu menggalakkan terutamanya pekerja daripada China. Ia seolah-olah menu baharu bagi mereka. Dalam sehari saya boleh menjual sekurangnya-kurangnya 250 ketul ayam, 250 sotong dan 250 sosej,” katanya.


“Melalui perniagaan dapat mengubah taraf kehidupan menjadi lebih baik dan membuka banyak peluang pekerjaan kepada belia lain.


“Saya juga belajar berbahasa asing untuk memudahkan komunikasi dengan pelanggan di sini,” katanya yang turut berniaga di pasar tani berhampiran.


 Peluang jana pendapatan


Mustaffa Yaakob, 35, mengakui berniaga di tapak pasar malam disediakan Petronas lebih untung berbanding berniaga  di luar.


Dia yang berniaga  apam balik dengan pelbagai pilihan inti,  asalnya menjual 15 hingga 20 kilogram apam balik tetapi kini bertambah memandangkan  permintaan yang menggalakkan.  


“Sekarang saya mampu menjual 30 hingga 35 kilogram dengan keuntungan bersih sekitar RM300 ke RM350 pada hari Rabu dan boleh mencecah RM500 pada Sabtu dan Ahad,” katanya.


Dikenali ramai sebagai Kaklong,  Raziah Bachok, 53 pula berpandangan, peluang berniaga di tapak pasar malam Petronas  memberi  pendapatan tambahan kepadanya.


Beliau yang mempunyai kedai di luar, menjual nasi ayam penyet dan lontong kering mendapat permintaan ramai terutamanya kalangan pekerja tempatan dan Indonesia.


“Saya mula berniaga di pasar malam ini pada Disember tahun lalu. Alhamdulillah sambutan menggalakkan. Saya menyediakan semuanya sendiri dibantu dengan dua pekerja,” katanya yang sibuk melayan pembeli di gerai jualannya.


Menurutnya, dia memperoleh untung kasar sekitar RM1,500 sehari.


“Biasanya kalau Sabtu dan Ahad lebih ramai pelanggan berbanding Rabu,” katanya.


 


MyCraft platform usahawan


 


Menyedari seni jahitan dan kraftangan boleh  menjana pendapatan  buat komuniti setempat, Persatuan Peniaga dan Usahawan Kejora (PuPUK)  menubuhkan MyCraft.


Pengerusi MyCraft, Norida, Dahlan berkata,  ia platform kepada komuniti di Pengerang dalam mengetengahkan produk seni supaya lebih berdaya saing di pasaran terbuka.


Beliau berkata, sebelum kewujudan Mycraft, penduduk bergerak secara individu dan mempunyai pasaran terhad untuk memasarkan produk yang dihasilkan.


“Mereka ini ada kemahiran tertentu dan mempunyai perniagaan kecil-kecilan tetapi tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


“Maka peranan kami mengumpulkan mereka ini di bawah MyCraft dengan memberi mereka latihan dan kursus melalui tenaga pengajar berkemahiran untuk mempelbagaikan lagi teknik dan kemahiran seterusnya menggalakkan mereka  menjadi usahawan mikro,” katanya.


Norida berkata, pelbagai jahitan dan kraf tangan dihasilkan antaranya pakaian, telekung, beg, patung dan kesemua itu turut dipromosikan melalui kerjasama Kraftangan Malaysia.


Sehingga kini, seramai 30 ahli yang menyertai MyCraft, di mana  40 peratus daripadanya adalah kalangan ibu tunggal dan hanya sebilangan kecil kaum lelaki.


Beliau berkata, pembangunan di kawasan Pengerang yang semakin meningkat melalui projek PIC Petronas  juga memberi tempias kepada MyCraft untuk  menjana pendapatan tambahan kepada ahlinya.


“Kami membekalkan cadar, sarung bantal dan langsir kepada pihak Petronas. Ini memberi pendapatan tambahan sehingga RM700 ke RM900 sebulan kepada setiap ahli kami,” katanya.


Selain itu, kami juga diberi peluang  untuk menyediakan pakaian sekolah dalam Program Back to School anjuran Petronas.


Kopetri pengedar tunggal minyak pelincir untuk PIC


Bagi mengukuhkan jualan bahan pelincir di Pengerang, Petronas Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) melantik Koperasi Pemuda Patriot Pengerang Kota Tinggi Berhad (Kopetri) sebagai pengedar tunggal bagi kegunaan kenderaan komersil dan mesin industri berat di PIC.


Sejak dilantik September lalu, Kopetri merekodkan jumlah jualan sebanyak RM180,000 setakat Disember dan pada tahun ini, menyasarkan jumlah jualan bernilai RM1.5 juta.


Selain itu, koperasi anak tempatan yang ditubuhkan sejak Mei 2012 itu, juga diberi kepercayaan baru-baru ini menjadi operator pembersihan kenderaan yang digunakan di dalam PIC serta menjadi pihak yang mengurus kiriman wang asing di dalam projek pembangunan itu.


Menurut Pengerusi Kopetri, Aznan Tamin, ia merupakan tanggungjawab besar dalam memberikan yang terbaik atas peluang yang diberikan oleh Petronas dalam merangsang sosioekonomi penduduk setempat.


Beliau berkata, Kopetri kini mempunyai 150 ahli yang terdiri daripada golongan belia, di mana 50 peratus daripadanya adalah mereka yang terlibat dengan pengambil tanah projek PIC.


“Di samping menjadi ahli Kopetri yang memperoleh dividen tahunan, ada juga dalam kalangan mereka ini bekerja dengan Kopetri di gudang operasi serta pembersihan kenderaan di PIC,” katanya.


Mengulas mengenai sasaran jualan pada tahun ini, Aznan berkeyakinan jumlah itu mampu dicapai dengan komitmen yang ditunjukkan oleh ahli Kopetri.


“Setakat Februari ini, kita telah mencatat jualan sebanyak RM300,000. InsyaALLAH dengan semangat 200 peratus bekerja dalam satu kumpulan serta nama besar Petronas yang dibawa mampu mencapai sasaran jualan RM1.5 juta,” katanya.


Minyak pelincir itu termasuk dalam bentuk minyak gear, enjin dan hidraulik yang menggunakan jenama Petronas Urania.

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]

Hospital Langkawi ikut SOP: Pengarah negeri

in Edisi Utara by


LANGKAWI – Sebuah video yang ditularkan oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan di Hospital Langkawi hari ini tidak menunjukkan sebarang kesilapan prosedur yang dijalankan oleh petugas hospital berkenaan.


Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail dalam kenyataan berkata pengendalian kes oleh petugas dalam video berkenaan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP).


Katanya, lelaki yang merakam video itu telah membawa isterinya yang hamil mengandung ke hospital itu pada jam 2.20 pagi dan terus diberikan layanan dan pemeriksaan awal oleh jururawat terlatih bertugas.


“(Hasil) pemeriksaan awal, saya difahamkan, ia bukan merupakan satu kes kecemasan (dan tidak memerlukan tindakan segera oleh doktor pakar),” katanya.


Bagaimanapun, lelaki berkenaan dalam video itu memarahi jururawat berkenaan ekoran diminta menunggu kerana pakar perbidanan dan sakit puan sedang mengendalikan kes seorang ibu hamil yang mengalami masalah pendarahan dan memerlukan pembedahan segera.


Dalam pada itu, Dr Norhizan memuji jururawat yang berhadapan dengan kerenah lelaki berkenaan yang bertindak merakam video dan mengeluarkan kata-kata yang keterlaluan terhadapnya.


Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat terhadap lelaki berkenaan dan pihak Hospital Langkawi sedang menyediakan laporan terperinci berhubung kes itu.


Beliau turut meminta orang ramai di sini untuk memahami sistem tugasan pakar yang dipanggil bertugas selepas waktu pejabat yang diguna pakai di semua hospital di negara ini. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Tiada penyingkiran, enam peserta mara ke final BRTM2018

in Hiburan by
Finalis Bintang RTM.

Tiada penyingkiran, enam peserta mara ke final BRTM2018


SELEPAS 10 minggu berjuang untuk menempatkan diri, akhirnya keenam-enam peserta peringkat separuh akhir Bintang RTM 2018 diumumkan layak mara ke peringkat akhir yang bakal berlangsung Sabtu depan.


Tiada penyingkiran yang dilakukan sekali gus menjadikan Hafiz, Hariz, Yasser, Heidi, Anna dan Ferona sebagai finalis Bintang RTM2018 menerusi persembahan hebat yang ditampilkan.


Pada konsert separuh akhir, setiap peserta  diberikan tugasan yang diberi nama Cabaran Skala Kuasa Dua  iaitu dengan menyanyikan lagu-lagu yang dipilih  oleh peminat pada pusingan pertama, dan pilihan juri untuk pusingan kedua.


Persembahan malam penentuan final ini menyaksikan Hafiz membawakan lagu I Won’t Give Up dan How Long, Heidi dengan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi dan Rolling In The Deep serta Anna menerusi lagu Akhirnya Kini Pasti dan Terlalu Istimewa.


Sementara Hariz pula dengan lagu Chandelier dan When I Was Your Man,  Ferona menyanyikan Never Loved A Man dan Penglipur Lara, dan diikuti Yasser dengan lagu Kasihnya Ibu serta Romancinta.


Kesemua peserta pada peringkat separuh akhir  diadili sepenuhnya oleh juri tetap yang terdiri dari Adibah Noor dan AG Coco. Manakala Datuk David Arumugam pula selaku juri jemputan.


Menurut AG Coco, pemilihan keenam-enam peserta sebagai finalis BRTM2018 adalah kerana masing-masing tampil persembahan yang sangat baik selain keaslian bakat yang ada pada setiap peserta.


“Susah kita nak singkirkan salah seorang daripada mereka kerana kesemuanya bagus dan menjadi contoh pelapis yang hadir dengan bakat dan identiti mereka yang tersendiri.


“Ia bagus dan menjadi kayu ukur terbaik untuk generasi akan datang dalam menilai bakat seseorang,” ujarnya kepada Sinar Harian sejurus program berakhir.


Sementara itu, penonton turut dihiburkan dengan persembahan daripada Nora dan Datuk David Arumugam.


Konsert Separuh Akhir Bintang RTM 2018 yang bersiaran secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri ini  dihoskan oleh Aqasha dan Jit Zulkifli.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

Road To MAHA: Sasar 70 peratus penglibatan wanita

in Uncategorized by


TELUK INTAN –  Sasaran 70 peratus penglibatan wanita dalam Pameran Road To MAHA (Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia) 2018 oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuktikan komitmen kerajaan memperkasakan peranan wanita.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata golongan wanita perlu diletakkan di garisan hadapan dalam industri berasaskan agro makanan dengan menyasarkan Revolusi Perindustrian  4.0 bagi mendokong hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Malah jelas Ahmad Zahid, pameran MAHA bukanlah sekadar keraian semata-mata malah mahu menjadikan suatu pameran untuk lihat keberadaan wanita.


“Tahun ini kita fokus kepada wanita dan ia adalah satu langkah terkehadapan untuk memperkasakan peranan wanita.


“Ia bukan sekadar komitmen tetapi menterjemahkan kerajaan dalam komitmen di mana Kementerian Pertaninan dan Industri Asas Tani menyasarkan 70 peratus terdiri dari kaum wanita untuk MAHA. Ia pencapaian yang baik dan saya fikir tak harus ketepikan golongan lelaki. Hubungan antara lelaki dan wanita saling berkaitan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Road To MAHA Zon Utara di Pekarangan Dataran Menara Condong, di sini malam ini.


Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.


Ahmad Zahid juga berkata, Road To MAHA bukan sahaja untuk memperlihatkan keberadaan wanita sebaliknya yang lebih penting produk yang dihasilkan itu bukan semata-mata untuk pasaran tempatan tetapi diperluaskan di peringkat antarabangsa.


“Tentunya slogan ‘Segalanya Wanita’ pada kali ini bukan hanya sekadar ‘tagline’ dan MAHA juga bukanlah majlis keraian sebaliknya kita mahu ia menjadi medium untuk mempromosikan peranan golongan berkenaan di dalam industri.


“Jika potensi ini dapat digali dan berikan peranan penting untuk wanita, saya yakin MAHA kali ini bukan sahaja mencatatkan kehadiran 3.7 juta pengunjung tetapi lebih 4 juta pengunjung,” katanya.


Road to MAHA bertujuan membawa kemeriahan MAHA 2018 kepada rakyat seluruh negara sebelum kemuncak berlangsungnya ekspo pertanian terbesar itu dari 22 November hingga 2 Disember depan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).


Antara yang menarik sepanjang ekspo pertanian tersebut ialah jualan pelbagai hasil tempatan, termasuk bahan segar seperti ikan, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan, jualan produk asas tani, juadah popular, trak makanan, kraftangan serta promosi destinasi agro pelancongan. – Bernama


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

Pas Perak lancar manifesto

in Politik by


IPOH – Pas Perak bersama gabungan Gagasan Sejahtera, hari ini melancarkan manifesto PRU14 merangkumi 39 aku janji termasuk tawaran satu lot tapak rumah kepada keluarga berpendapatan rendah dan yang masih belum memiliki rumah.


Kesemua gagasan manifesto bertemakan Perak Sejahtera, Rakyat Bahagia itu dibuat berdasarkan 10 bidang utama iaitu pengurusan dan pentadbiran; agama, pendidikan dan modal insan; ekonomi dan pertanian; kebajikan dan kesihatan;  pengangkutan dan infrastruktur; perumahan dan tanah; khas untuk belia; wanita; kelestarian alam sekitar serta kualiti hidup perbandaran.


Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, di bawah teras perumahan dan tanah, Pas turut berhasrat mewujudkan kemudahan skim pembiayaan perumahan tanpa faedah kepada kakitangan kerajaan negeri yang berpendapatan rendah.


Menurutnya, turut dijanjikan adalah penubuhan Tabung Amanah Burhanudin Al Helmy (Tabah) bagi membantu rakyat pelbagai bangsa dalam bidang pendidikan, kebajikan, sosial, kesihatan dan rawatan perubatan.


“Tawaran dalam manifesto kali ini merupakan penyelesaian kepada kemelut rakyat yang diselubungi kos sara hidup tinggi baik dari segi pendidikan mahupun pengangkutan.


“Kita ambil masa yang lama untuk menyediakan manifesto ini berbanding negeri-negeri lain kerana ia mengambil kira semua keperluan rakyat dan dibuat ikut kemampuan.


“Perak mempunyai tanah yang luas jadi apa salahnya kita tawarkan tanah kepada rakyat sendiri,” katanya pada majlis pelancaran Manifesto PRU14 Pas Perak di Hotel Kinta Riverfront, hari ini.


Hadir sama, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Pengerusi Berjasa Perak, Azhari Abdullah.


Razman berkata, mengambil kira keadaan politik dan krisis utama dalam negara, Pas Perak turut mengetengahkan lima teras dalam sistem pengurusan dan pentadbiran sekiranya diberi mandat mentadbir kerajaan negeri iaitu wibawa, amanah, telus, adil dan kebajikan.


“Kita nak perbaiki kerosakan yang berlaku terutama dalam amalan rasuah, memastikan rakyat mendapat keistimewaan sama rata serta tidak ada pemisahan kuasa berlaku, semuanya harus berteraskan rakyat,” katanya.


Mengulas mengenai persempadanan semula, beliau berkata, usul diluluskan Dewan Rakyat yang turut melibatkan beberapa kawasan di negeri ini memberi keuntungan kepada Pas Perak.


Menurutnya, parti itu melihat akan berlaku perubahan sokongan terutama terutama pengundi Melayu yang bakal memihak kepada Pas.


“Buat masa ini kita yakin sudahpun memiliki 30 ke 35 peratus sokongan undi dan kita harap akan peroleh 5 hingga 10 peratus lagi daripada kalangan swing voters,” katanya.


Ditanya mengenai calon menteri besar, Razman berkata, setiap calon yang bertanding semua mempunyai keupayaan dan layak memimpin kerajaan negeri.


“Pas beza dengan parti lain, kita tak berebut untuk jawatan, siapa pun yang bertanding boleh jadi menteri besar,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Industri pelancongan Langkawi jana RM4.7 bilion

in Edisi Utara by


LANGKAWI – “Industri pelancongan di Langkawi berjaya menjana pendapatan berjumlah RM4.7 bilion dalam tempoh Januari hingga  September tahun lalu,” kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah malam ini.


Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil promosi berterusan Langkawi di peringkat antarabangsa yang membolehkan ketibaan 3.67 juta pelancong ke pulau ini dicatatkan dalam tempoh berkenaan.


“Peningkatan jumlah pelancong yang berterusan ke Langkawi ini adalah kerana keistimewaannya yang tersendiri seperti Geopark dan sebagainya.


“Produk-produk ini kita mesti terus pertahankan di samping mengadakan produk-produk yang baharu,” katanya di Majlis Malam Penghargaan Pengusaha Industri Pelancongan Pulau Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini.


Menurutnya usaha membangunkan Langkawi sehingga menjadi destinasi pelancongan yang terkenal bukanlah mudah tetapi memerlukan komitmen sebuah kerajaan yang kuat dan disokong oleh semua peserta industri dan rakyat tempatan.


“Bagi memastikan keadaan ini berterusan, kita hendaklah terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang ada sekarang,” katanya.


Ahmad Bashah berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah memberikan perhatian khusus  kepada pembangunan di Langkawi selama ini dan ingin melihat tahap pelancongan di pulau ini meningkat ke peringkat yang lebih tinggi.


“Langkawi sentiasa dekat di hati Datuk Seri Najib. Selama ini Langkawi dikenali sebagai Permata Kedah tetapi Perdana Menteri ingin menjadikannya sebagai Permata Malaysia,” katanya.


Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada peserta-peserta industri  pelancongan Langkawi yang memenangi beberapa anugerah di Malam Anugerah Pelancongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Putrajaya baru-baru ini.


Turut hadir,  Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Datuk Azizan Noordin. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Pemuda kasta rendah dibunuh kerana kuda

in Global by


AHMEDABAD – INDIA. Seorang pemuda daripada masyarakat kasta rendah Dalit dibunuh gara-gara memiliki dan menunggang seekor kuda.


Haiwan berkenaan dianggap simbol kuasa dan kekayaan di India.


Susulan itu, polis telah menahan dan menyoal siasat tiga suspek lelaki dari kasta tinggi Kshatriya yang ada kaitan dengan pembunuhan tersebut.


Mayat Pradeep Rathod ditemui dengan kesan tetakan di pinggir kampung Timbi di negeri Gujarat pada lewat malam Khamis.


“Mangsa pernah diugut suspek supaya tidak menunggang kuda kerana kasta Dalit dianggap tidak layak memiliki haiwan tersebut.


“Kuda tersebut dibeli bapa mangsa lapan bulan lalu,” kata penguasa polis AM Saiyed.


Masyarakat Dalit sering berdepan diskriminasi melampau di India kerana statusnya sebagai kasta paling rendah di negara berkenaan.


Oktober lalu, seorang pemuda Dalit dibunuh sekumpulan lelaki gara-gara menghadiri persembahan tarian tradisional Hindu di Gujarat.


Perdana Menteri Narendra Modi sebelum ini pernah menggesa penduduk kasta tinggi supaya menghentikan serangan ke atas masyarakat Dalit. – The Indian Express

 


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Piala Dunia: Argentina mampu jadi pencabar utama

in Sukan by


BEKAS penyerang berbisa Argentina, Hernan Crespo, percaya negara gergasi bola sepak itu mampu bangkit semula untuk menjulang Piala Dunia pada edisi ke-21 di Rusia, bermula 14 Jun ini.


Pemain berusia 42 tahun, yang beraksi dalam tiga Piala Dunia sejak 1998, yakin jurulatih baharu, Jorge Sampaoli, mampu membentuk kombinasi terbaik antara pemain untuk muncul sebagai pencabar utama Piala Dunia 2018 selepas dimalukan 6-1 oleh Sepanyol pada pelawanan  persahabatan, Rabu lalu.


Pada aksi itu, Argentina tidak menurunkan pemain terbaik dunia, Lionel Messi kerana dihimpit masalah kecederaan.


“Skuad Argentina dalam proses membina keserasian antara pemain kerana jurulatih baru sahaja membimbing dalam 10 perlawanan sebelum menentang Sepanyol…oleh itu masih sukar untuk melihat identiti yang sinonim dengan pasukan kami.


“Saya mahu melihat skuad negara sebagai satu pasukan…kini kami mempunyai pemain individualistik. Tetapi pada masa sama, saya tidak bimbang kerana kita sedang dalam proses membentuk pasukan yang mantap,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Piala Dunia Rusia 2018 oleh Astro di sini hari ini.


Beliau percaya selain perancang pasukan, Messi, negara Amerika Selatan itu mempunyai ramai pemain berbakat untuk meningkatkan skuad negara selepas gagal meraih kejuaraan walaupun mara ke final dalam tiga kejohanan utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk pada Piala Dunia 2014 di Brazil.


Hernan mengakui bahawa juara bertahan, Jerman, Sepanyol dan Perancis merupakan pasukan pilihan pada Piala Dunia kali ini serta Belgium mampu melakukan kejutan besar.


“Saya juga ingin melihat bagaimana Iceland dan Panama melakukan penampilan sulung serta menarik melihat aksi pasukan Latin Amerika seperti Mexico dan Peru,” kata bekas penyerang kelab Inter Milan, AC Milan dan Chelsea itu.


Sementara itu, bekas penyerang Perancis, Louis Saha, yakin negaranya, mampu menjulang Piala Dunia di Rusia selepas 20 tahun ketika menjadi tuan rumah pada edisi 1998.


“Walaupun telah membuktikan sebagai pasukan kuat dan lebih baik  namun masih ada kekurangan dari segi konsisten dan kekuatan mental. Kami mungkin tidak mempunyai bintang dunia seperi Messi atau Cristiano Ronaldo, tapi pasti mempunyai pasukan yang hebat,” kata bekas penyerang Manchester United itu.


Sementara itu, Ketua Unit Sukan Astro, Lee Choong Khay mengesahkan bahawa kesemua 64 perlawanan Piala Dunia akan disiarkan secara langsung menerusi  televisyen dan telefon bimbit.


Pelanggan Astro boleh menyaksikan Piala Dunia menerusi pakej sukan/SuperPack dan SuperPack Plus manakala mereka yang tidak melanggan pakej sukan boleh menonton dalam Astro Go dengan membeli pas berharga RM100 dan RM120 bagi pelanggan prabayar Njoi.


Pas tersebut boleh dibeli menerusi laman laman sesawang di www.astro.com.my/wc2018. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

1 2 3 48
Kembali UTAMA