Monthly archive

May 2018

Padah gagal patuhi peraturan

in Edisi by


TANJUNG MALIM – Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) mengeluarkan lima notis kepada peniaga bazar Ramadan di kawasan seliaannya selepas didapati melanggar peraturan ditetapkan.


Yang Dipertuanya, Faizal Nizam Md Nor berkata, peniaga yang dikenakan notis itu adalah di bazar Ramadan Slim River dan Behrang Stesen hasil pemeriksaan anggota penguatkuasanya.


Katanya, peniaga yang diberikan notis ini didapati ada sebahagian pekerjanya tidak mengambil suntikan selain tidak memakai apron dan topi ketika meniaga.


“Kegagalan peniaga ini mematuhi peraturan yang kita tetapkan menyebabkan kami mengeluarkan notis amaran kepada lima orang peniaga bazar Ramadan di bawah seliaan kami.


“Jika mereka ini gagal mematuhi arahan selepas beberapa kali notis amaran dikeluarkan, tindakan tegas akan diambil,” katanya kepada Sinar Harian kempen pengurangan penggunaan bekas polisterin dan beg plastik inisiatif pembangunan kejiranan hijau MDTM 2018 di Bazar Ramadan Tanjung Malim, semalam.


Dalam pada itu, Faizal Nizam turut mengingatkan  peniaga bazar Ramadan tidak menggunakan dawai kokot pada bungkusan makanan yang bimbang beri kesan buruk kepada pengguna.


“Setakat ini,  pihak kami amat berpuas hati dengan kerjasama dalam kalangan peniaga bazar Ramadan dalam seliaan MDTM yang tidak menggunakan dawai kokot pada bungkusan makanan yang dijual kepada pelanggan.


“Sekiranya ada peniaga yang masih menggunakan dawai kokot pada bungkusan makanan, orang ramai boleh maklum pada kami untuk diambil tindakan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Mesin judi haram RM3.4 juta dilupus

in Edisi Selangor KL by


BANGI – Polis melupuskan 14,300  mesin judi dalam talian dianggarkan bernilai RM3.4 juta susulan serbuan ke atas premis judi yang beroperasi secara haram di Kajang.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, semua mesin terbabit adalah hasil serbuan polis daerah ini antara 2016 hingga tahun lalu.


“Secara keseluruhan sebanyak 9,101 serbuan ke atas premis judi yang beroperasi secara haram di Selangor sejak 2016 hingga Mei 2018, jumlah rampasan pula adalah sebanyak 99,079 unit mesin judi.


“Sepanjang tempoh itu juga, kita menahan 12,168  individu merangkumi penjaga premis pusat judi haram dan pelanggan, selain merampas 7,834 unit mesin judi,” katanya.


“Mesin judi berkenaan dilupuskan selepas kes selesai dibicarakan di mahkamah,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pelupusan Barang Kes Komputer Perjudian di Balai Polis Bandar Baru Bangi di sini, semalam.


Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dan Majistret Mahkamah Kajang, Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.


Fadzil berkata, pihaknya sentiasa berusaha membanteras kegiatan judi yang beroperasi secara haram.


“Gejala sebegini, kita tidak dapat menghapuskan secara sepenuhnya, namun kita sentiasa berusaha melakukan serbuan tanpa mengira masa bagi memastikan gejala jenayah ini dapat dihapuskan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]

Pencuri tabung masjid serah diri

in Edisi Pahang by


KUALA LIPIS – Kuasa tular!. Gara-gara takut gambar dan video curi wang tabung Masjid Penjom di sini tersebar di media sosial, seorang pencuri bertindak memulangkan semula hasil curian kepada pengadu yang juga imam masjid berkenaan.


Gambar wajah suspek dan video berdurasi 1 minit 56 saat itu yang memperlihatkan suspek memecah tabung masjid dengan menggunakan tukul berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.38 pagi Selasa lalu, CCTV masjid berkenaan berjaya merakam tindakan suspek berusia 47 tahun dan beralamat di Shah Alam, Selangor yang mengopak tabung sebelum membungkus wang yang dicuri dengan menggunakan sejadah.


Pihak pengurusan masjid kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Penjom.


Ketua Polis daerah, Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, bertindak daripada maklumat yang diterima daripada pengadu, pada hari Rabu kira-kira jam 4 petang sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di ketuai oleh Inspektor Razali Ismail dan Ketua Polis Balai Penjom telah menahan suspek di hadapan Balai Polis Penjom.


“Kita juga merampas wang tunai berjumlah lebih kurang RM446 yang diserahkan oleh pengadu yang merupakan Imam Masjid Penjom.


“Suspek datang berjumpa pengadu dan menyerahkan sejumlah wang tersebut yang dikatakan dicuri dari tabung masjid berkenaan kerana takut setelah mendapati gambarnya tular,” katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.


Tambahnya, suspek turut didapati memiliki enam rekod lampau bersangkutan dengan kesalahan di bawah Seksyen 454 kanun keseksaan kerana pecah rumah dan curi dan Seksyen 379 kanun keseksaan kerana mencuri.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]

Saya tak curi duit rakyat

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


JEMPOL – Adun Jeram Padang, Datuk L Manickam kesal apabila ada pihak yang sengaja melontarkan fitnah terhadapnya sehingga menjejaskan nama baiknya.


Menurutnya, perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku susulan fakta tepat boleh diperoleh melalui agensi terlibat sepertimana yang mendakwanya mencuri duit rakyat melalui projek pembersihan Sungai Bahau yang melibatkan empat kawasan.


“Saya ingin memberi penjelasan tentang fitnah yang dilemparkan kepada saya berkenaan kos RM56,000 yang diperuntukkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk pembersihan sungai berkenaan.


“Duit itu adalah wang kerajaan yang hanya akan dibayar terus oleh JPS kepada kontraktor yang membersihkan sungai tersebut secara berjadual,” katanya kepada Sinar Harian.


Katanya, jumlah yang didakwa tersebut hanya melibatkan pembersihan berjadual untuk sungai Bahau melibatkan kawasan simpang Kampung Taman Jaya (jalan Era Golf), Taman Desa Puteri, Taman Bahau, Taman Kasih Putera dan Taman Cempaka.


“Ia bukan melibatkan Kampung Taman Jaya, susulan parit dan sungai di Kampung Taman Jaya semuanya terletak di atas tanah milik persendirian. Pemilik tanah tidak mahu memberi kebenaran, berikutan mereka bimbang jika jentera JCB masuk lokasi itu akan menyebabkan parit sedia ada menjadi lebar dan dalam hingga menjadi sungai besar.


“Manakala program NBOS melalui Majlis Daerah Jempol di Kampung Taman Jaya juga tidak melibatkan pembersihan dalam kawasan persendirian,” katanya.


Manickam berkata, pihaknya sudah membuat permohonan peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk membuat pengambilan tanah daripada pemilik berkenaan untuk projek tersebut.


Menurutnya, selaku Adun BN, beliau tidak pernah sentuh satu sen pun wang kerajaan selain hanya bertanggungjawab untuk membuat permohonan dan merayu sahaja.


“Penentuan kos perbelanjaan dan pemilihan syarikat untuk pembersihan sungai adalah di bawah urusan JPS dan bukan kerja Adun.


“Oleh demikian saya akan terus membuat laporan polis terhadap pihak ataupun individu yang tidak bertanggungjawab ini yang memfitnah sehingga menjejaskan nama baik saya,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Dua remaja perempuan terperangkap di ladang sawit

in Edisi Selangor KL by


KUALA KUBU BHARU – Dua remaja perempuan yang dilaporkan terperangkap di ladang kelapa sawit Paya Lebar Felda Soeharto akibat semua laluan keluar dinaiki air, berjaya diselamatkan pasukan bomba dan penyelamat, malam tadi.


Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, kedua-dua remaja berkenaan, Nurul Izzah Amir Hashim, 13, dan Noressyarenny Shariff, 13, dipercayai terperangkap di kawasan ladang itu selepas hujan lebat sejak petang semalam.


“Pasukan bomba dan penyelamat termasuk polis serta sukarelawan seramai 24 orang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 6.49 petang dan membuat pencarian pada jarak dua kilometer di kawasan berhampiran.


“Sekitar jam 8.04 malam, kita menerima maklumat daripada anggota penyelamat yang menjumpai mangsa berhampiran kandang lembu di ladang sawit berkenaan.


“Kemudian kita teruskan dengan operasi mengeluarkan mangsa ke kawasan selamat. Kira-kira jam 8.50 malam, semua anggota penyelamat bersama kedua-kedua remaja tersebut selamat dikeluarkan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]

Siapkan jambatan gantian Sungai Plentong ikut jadual

in Edisi Johor by


PASIR GUDANG – Projek pembinaan jambatan gantian Sungai Plentong, Jalan Masai Lama, di sini, diminta untuk disiapkan sepenuhnya mengikut jadual yang ditetapkan bagi memastikan tiada lagi tundaan projek seperti sebelum ini.  


Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, ekoran daripada pembinaan yang tertangguh itu, pihaknya telah menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat terutamanya berhubung isu kesesakan jalan raya yang serius.  


Menurutnya, pihaknya turut meminta kontraktor dilantik untuk menyediakan lampu tambahan di beberapa laluan projek terbabit, berikutan timbul aduan pengguna jalan raya mengenai keadaan jalan gelap dan membahayakan.


“Melalui pertemuan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor telah saya maklumkan kepada kedua pihak ini apa masalah yang sering dihadapi orang awam. Jadi saya minta tindakan susulan dapat dibuat.  


“Ia adalah termasuklah penambahan lampu jalan sementara sepanjang projek dilaksanakan kerana ia melibatkan keselamatan pengguna. Isu di jambatan ini adalah sebab kelewatan daripada kontraktor di mana sebenarnya projek ini harus siap pada Februari tetapi ditangguh kepada Ogos.


 “Jadi dalam masa dua bulan ini saya harap kontraktor dapat siapkan projek dalam masa tangguhan ini lah, bagi saya yang paling penting tidak kira apa projek dijalankan aspek keselamatan perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek berkenaan, di sini, semalam. Hadir sama, Adun Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh dan Pengarah JKR Johor, Ir Mohamad Salleh Abu Bakar.


Cai Tung berkata, amaran tindakan denda yang akan diambil juga telah dimaklumkan kepada kontraktor dan pihak bertanggungjawab sekiranya mereka tidak menyiapkan projek dalam masa yang ditetapkan.


“Kontraktor juga telah berjanji untuk tambah lampu dan akan segera melakukan pembinaan mengikut tempoh ditetapkan, amaran juga telah diberikan kepada pihak mereka.  


“Kalau tidak disiapkan dalam masa ditetapkan, kontraktor akan dikenakan denda iaitu RM5,234 setiap hari bermula daripada tarikh wajar ditetapkan iaitu 17 Ogos,” katanya.  


Untuk rekod, projek membina jambatan konkrit sepanjang 40 meter itu difahamkan pihak kontraktor terpaksa melalui kelewatan berikutan beberapa faktor.


Antaranya adalah membabitkan isu kekurangan tenaga kerja, pemindahan utiliti terutamanya kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan juga kemudahan syarikat-syarikat telekomunikasi yang terdapat di sepanjang laluan tersebut.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]

Lelaki warga Indonesia ditemui mati

in Edisi by


JELI – Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dalam kejadian di Kampung Dalam Reka, Chegar Bedil di sini, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikenali sebagai Tarmizi, 43, (berdasarkan pasport yang ada bersamanya) ditemui tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung yang kebetulan melewati kawasan berkenaan.


“Difahamkan, kira-kira jam 12 tengah hari mangsa dikatakan menahan kereta penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan.


“Ketika itu mangsa dikatakan dalam keadaan lesu, dia dibawa ke bangsal berhampiran untuk berehat sebelum ditinggal di situ,” katanya kepada media di sini.


Menurutnya, penduduk kampung berkenaan kemudian meneruskan perjalanan untuk mengutip getah skrap di kebun getah berhampiran.


“Bagaimanapun ketika keluar dari kebun getah berkenaan, mereka tergerak hati untuk melihat keadaan mangsa sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri,” katanya.


Menurutnya, penduduk berkenaan kemudian keluar mendapatkan bantuan di Klinik Kesihatan Kuala Balah dan melaporkan kejadian kepada pihak polis.


Mohd Yusoff berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.


“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Konsep satu malam satu masjid

in Edisi Terengganu by


KUALA BERANG – Ramadan kali ini pastinya memberikan senario berbeza buat Adun Ajil, Maliaman Kassim yang menyambut dan melalui perjalanan bulan puasa sebagai  wakil rakyat buat pertama kalinya.


Mengakui baharu sekali sahaja sempat berbuka bersama keluarga dalam tempoh dua minggu Ramadan ini, beliau berlapang dada kerana separuh kehidupannya kini adalah bersama rakyat.


Berkongsi cerita, Maliaman berkata, dia gunakan pendekatan ‘satu malam satu masjid’ untuk solat tarawih bagi membolehkannya beliau dampingi rakyat di kampung-kampung dalam Dun Ajil.


“Tidak dinafikan perjalanan Ramadan ini begitu berbeza, kalau dulu waktu berbuka banyak di rumah. Solat tarawih pula cuma di surau di Kampung Pela ataupun di Masjid Bukit Diman kerana bertugas sebagai imam.


“Ramadan kali ini banyak dapat undangan berbuka puasa terutamanya pihak masjid dalam Dun Ajil. Biasanya saya pergi yang jemput lebih awal, jemputan lain akan diwakili seseorang.


“Bagi solat tarawih pula, saya pusing ke masjid seluruh kampung, ‘satu malam satu masjid’. Saya akan cuba santuni masyarakat di keseluruhan kampung sepanjang Ramadan ini,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambah beliau, peluang berbuka puasa atau tarawih bersama orang kampung satu ruang masa terbaik untuk dirinya untuk lebih dekat dengan rakyat yang telah berikannya mandat sebagai Yang Berhormat Ajil pada PRU14 lalu.


Katanya, bagi menghargai dan ucapan terima kasih kepada semua pihak sekaligus memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri nanti, beliau juga akan turut adakan Majlis Sambutan Hari Raya yang dijadualkan pada 3 Syawal.


Sementara itu, untuk rekod pada PRU14 lalu, Maliaman memenangi kerusi yang merupakan kubu kuat BN itu dengan kelebihan empat majoriti undi.


Maliaman yang merupakan calon muka baharu mendapat 8,132 undi, manakala penyandang, Dr Ghazali Taib (BN) menerima undian 8,128 dan calon PKR, Zamani Mamat memperolehi undian 679.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Cukai tanah, pintu tidak naik

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Tiada sebarang kenaikan cukai tanah dan pintu selama tempoh lima tahun.


Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata pihaknya telah sepakat untuk memutuskan bahawa tiada sebarang kenaikan cukai akan berlaku di negeri ini.


Katanya, keperluan itu bagi membantu meringankan beban masyarakat dan tidak mahu rakyat dibebani dengan kenaikan cukai lain.


“Bagi tempoh lima tahun ini saya berjanji tiada sebarang kenaikan cukai tanah dan cukai pintu di Negeri Sembilan.


“Kadar sedia ada akan dikekalkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat.


“Ini juga ( tiada kenaikan cukai pintu dan tanah) merupakan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan yang telah pun kita tunaikan,” katanya.


Tambahnya, rakyat tidak perlu bimbang, walau pun pentadbiran kerajaan negeri kini bertukar, tetapi misi dan matlamat untuk membantu mensejahterakan rakyat serta membangunkan Negeri Sembilan tetap akan diteruskan.


Sementara itu, Aminuddin berkata setakat tempoh ini, pihaknya memutuskan agar tiada sebarang potongan gaji dilakukan kepada barisan exco.


Katanya, gaji yang diterima barisan exco di negeri ini adalah pada paras sederhana, tidak terlalu tinggi berbanding negeri lain.


“Buat masa ini saya rasa tiada keperluan lagi untuk kita potong gaji barisan exco mahu pun kepimpinan tinggi yang lain, kerana gaji yang diterima adalah diparas sederhana.


“Kalau potong nanti kita bimbang ia tidak mencukupi dan boleh menyebabkan berlakunya perkara lain nanti,” katanya.


Terdahulu, Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim  meminta supaya semua exco di negeri yang ditadbir Pakatan Harapan memotong gaji bagi membantu memulihkan hutang negara.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Lanyak itik semata-mata mahu ke pandu lalu

in Global by


LONDON – BRITAIN. Seorang pemandu wanita bertindak kejam apabila melanggar dan menggilis sekumpulan itik, semata-mata mahu membuat pesanan di mesin pandu lalu sebuah restoran segera.


Kejadian berlaku di Skegness, Linconshire, semalam menyebabkan dua ekor anak itik mati dan insiden itu sempat dirakam pemandu lain.


Menurut Vicky Smith, selepas melakukan perbuatan itu, pemandu dihadapannya tidak menunjukkan sebarang penyesalan malah dengan selambanya membuat pesanan di mesin pandu lalu.


“Saya dan anak-anak terkejut.Wanita itu dengan senang hati membuat pesanan tanpa menghiraukan perbuatan kejam yang baru saja dilakukannya.


“Saya fikir dia ada banyak masa untuk membiarkan itik-itik itu menyeberangi jalan,” katanya.


Menurut Vicky lagi, insiden itu menyebabkan emosi anak lelakinya Saul yang berumur tujuh tahun terganggu.


“Saul memang cepat beremosi. Dia keluar dari kereta dan memaklumkan kepada kakitangan restoran segera itu mengenai dua anak itik yang mati digilis berhampiran mesin pandu lalu.


“Saya tidak percaya ada manusia sanggup bertindak kejam, semata-mata mahu membuat pesanan makanan di mesin pandu lalu,” katanya. – metro.co.uk


Source: SH Global

[featured-video-plus]

1 2 3 450
Kembali UTAMA