Monthly archive

July 2018

Sepakat cegah bahaya dadah dalam komuniti

in Edisi Utara by


JITRA – Program Rondaan Bersepadu Skim Rondaan Sukarela (SRS) Taman Seri Nyior dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kubang Pasu diadakan di Taman Seri Nyior bagi membanteras gejala dadah dalam kalangan komuniti.


Pegawai Perpaduan Daerah Kubang Pasu, Muhammad Farid Bakar berkata, program berkenaan mendapat kerjasama daripada 30 ahli SRS Taman Seri Nyior. di sini.


Katanya, pada program berkenaan juga SRS diberi taklimat oleh Penolong Pegawai AADK Kubang Pasu, Ahmad Hisham Daud.


“Peronda SRS diberi penjelasan bagaimana mereka boleh membantu AADK dalam hal berkaitan penguatkuasaan, pemulihan serta pencegahan dan ini adalah suatu usaha memberi kesedaran kepada komuniti di sini,” katanya.


Menurutnya, pada program berkenaan, mereka mengadakan rondaan bersepadu dan juga sekatan jalan masuk ke kawasan perumahan.


“Penerapan Inisiatif Bertegur Sapa (IBS) turut digunakan secara praktikal kepada semua komuniti di sini untuk melahirkan komuniti harmoni,” katanya.


Muhammad Farid berkata, kerjasama padu daripada semua pihak terlibat sekurang-kurangnya dapat menjamin komuniti selamat serta terkawal.


“Insya-ALLAH program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang bagi membantu meringankan tugas pihak berkuasa lain di daerah ini,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Mawar Rashid hamil?

in Hiburan by
Mawar Rashid dan suami

Mawar Rashid hamil?


PELAKON Mawar Rashid berkongsi berita gembira bakal menyambut ‘orang baharu’ dalam hidupnya dan suami, Raf Yaacob pada tahun depan.


Meski tidak menyebut secara jelas, namun status yag dimuat naik Mawar dan suaminya di laman Instagram masing-masing pada petang itu seperti menggambarkan heroin drama Suamiku Paling Sweet ini sedang hamil cahaya mata pertama pertama mereka.


“Keluarga #MawaRaf akan bertambah tahun depan, Insyaa’Allah. Semoga dipermudahkan. Kita doa yang baik-baik ya? Amin Allah Humma Amin Ya Mujiba Sahilin 💛 #BabyRadenR,” tulisnya pada kapsyen fotonya bersama suami.


Perkongsian yang sama turut dibuat Raf di laman Instagramnya dengan memuat naik gambar dan kapsyen yang sama.


Ruangan komen status yang dimuat naik pasangan ini mula dibanjiri dengan ucapan tahniah dan doa kesejahteraan buat keduanya.


Mawar selamat bergelar isteri kepada Raf atau nama sebenarnya, Raden Ahmad Faizal Yaakob pada 9 Novermber 2017. Menerusi perkahwinan terdahulu, Raf mempunyai dua orag cahaya mata iaitu Raden Ahmad Rayyan, 7, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 3.

 


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]

Empat terbunuh di selatan Yaman

in Global by


SANAA – YAMAN. Sekurang-kurangnya empat orang awam terbunuh dalam serangan udara di wilayah Hudaydah, lewat petang semalam.


Jet pejuang Arab Saudi melakukan serangan udara terhadap Pejabat Pelanjutan Pertanian di daerah al-Durayhimi, menyebabkan dua lagi mangsa turut cedera, lapor stesen penyiaran al-Masirah memetik sumber tempatan.


Terdahulu, jet tempur Saudi menyasarkan bangunan kediaman di kawasan Bani Sa’ad di daerah al-Dhaher di wilayah barat laut Sa’ada.


Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kematian atau kerosakan harta benda diterima. – Press TV


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Seorang diri tinggal rumah usang

in Edisi Utara by


PENDANG – Seorang warga emas yang tinggal seorang diri terpaksa menoreh getah bagi menyara kehidupannya sendiri.


Lebih menyedihkan, Siti Romlah Salleh, 71, hanya tinggal di sebuah rumah usang yang sudah dimakan anai-anai selain tidak dilengkapi bekalan air yang sempurna dan hanya menggunakan telaga.


Katanya, setiap pagi dia akan keluar menoreh getah seawal jam 7 pagi demi sesuap nasi.


“Dengan duit itulah makcik gunakan untuk beli barang makan seperti beras, gula, minyak masak dan lauk.


“Alhamdulillah duit tu cukup, cuma makcik tak mampu lagi untuk membaiki rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Tambak Mukim Air Puteh, kelmarin.


Menurut Siti Romlah, sejak lima bulan lalu dia hanya tinggal di rumah berkenaan pada waktu siang manakala sebelah malam dia akan menumpang tidur di rumah sepupu.


“Makcik takut nak tidur sorang sebab rumah sering dimasuki ular dan binatang berbisa,” katanya.


Siti Romlah berkata, dia sangat berharap dapat tinggal di rumah yang lebih selesa setelah berpindah dari Kampung Tekai, Padang Terap berikutan kematian suaminya empat tahun lalu.


Katanya, dia dikurniakan seorang anak namun meninggal semasa kecil.


Sementara itu, kisah kedaifan hidup Siti Romlah mendapat perhatian Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) yang turun padang ke rumahnya serta membantu mempermudahkan proses memohon rumah baharu untuknya.


Pengurus Komunikasi Korporat dan Multimedia MBI, Cik Embun Majid berkata, pihaknya telah mengutarakan keperluan Siti Romlah kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), baru-baru ini.


Hadir sama, Pegawai Zakat Daerah Pendang, Mohd Nasri Abdul Ghani dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pendang, Syaffrey Ibrahim.


Mohd Nasri berkata, sebuah rumah baharu yang mempunyai kelengkapan sebuah bilik tidur dan bilik air akan dibina dalam masa terdekat dengan peruntukan RM25,000.


“Rumah ini akan dibina di tanah milik Siti Romlah sendiri berikutan rumah yang didiami sekarang adalah di atas tanah adiknya,” katanya.


Selain bantuan rumah, Siti Romlah turut menerima Bantuan Orang Tua (BOT) daripada JKM sebanyak RM350 sebulan sejak Oktober 2017.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Awas Umno, tangan saya ada besi sekarang: Anwar

in Politik by


KOTA RAJA – Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi membuat kemunculan istimewa selepas pulang dari Turki sesudah berehat setelah selamat menjalani pembedahan.


Katanya, meskipun masih kurang sihat sepenuhnya susulan pembedahan berkenaan, namun atas dasar ‘susah senang bersama’ beliau tetap gagahkan diri untuk hadir memberi ceramah.


“Walaupun saya baru balik dari Turki tapi saya rasa bertanggungjawab untuk bersama dengan rakan pastikan calon kita menang,” katanya ketika memberi ceramah khas di sini malam tadi.


Dalam pada itu ketika berseloroh berkempen beliau mengingatkan Umno/BN agar berwaspa dengannya sekarang.


“Alhamdullillah pinggang nampak baik boleh lari dah… bahu ambil masa sikit sebab letak besi jadi saya nak beri amaran kepada Umno dan BN jaga baik-baik, tangan saya besi sekarang, dulunya nak lesing biasa sekarang lesing dengan besi… itu gurau sahaja,” katanya disambut gelak tawa hadirin.


Pada 8 Julai lalu, Anwar menjalani pembedahan tulang belakang dan menjalani pembedahan lain di bahu kanannya pada 12 Julai.


Beliau sebelum ini mengalami ‘lumbar central stenosis’, keadaan di mana saluran tulang belakang sempit sehingga menyebabkan rasa sakit dan kebas.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Tonjolkan ulama dalam teks sejarah, bukan komunis

in Edisi Terengganu by


JERTIH – Lajnah Kebudayaan dan Kesenian (Lestari) Pas Pusat menyifatkan usaha pihak tertentu untuk menulis kembali sejarah tanah air dengan memasukkan jasa komunis adalah pengkhianatan kepada perjuangan umat Islam mengusir penjajah.


Pengerusinya, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, perjuangan komunis bukan bertujuan memerdekakan Tanah Melayu sebaliknya untuk mewujudkan Wilayah ke-19 Republik Komunis China.


Menurutnya, setelah gagal dalam Rundingan Baling pada tahun 1955, Parti Komunis Malaya (PKM) terus melancarkan pemberontakan di Tanah Melayu.


“Walaupun Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1958 namun PKM terus melancarkan serangan bersenjata sehingga mengorbankan dan mencederakan ribuan nyawa membabitkan anggota keselamatan dan orang awam.


“Terlalu besar jenayah yang dilakukan komunis kepada negara ini termasuk juga memusnahkan harta benda, bahkan menjarakkan hubungan antara kaum Melayu dan Cina untuk tempoh yang panjang,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, perjuangan bersenjata PKM hanya tamat pada tahun 1989 setelah ideologi komunis mengalami kegagalan di seluruh dunia.


Menurutnya, generasi muda hari ini tidak mengenali sejarah komunis dan cabang ideologi mereka.


“Di rantau ini juga mereka menumpahkan kezaliman sehingga membunuh ratusan ribu nyawa di Indonesia, Cambodia, Vietnam dan lain-lain wilayah,” katanya.


Sebaliknya beliau mencadangkan adalah lebih baik pejuang kemerdekaan terdiri tokoh ulama dijulang dengan lebih mendalam tentang perjuangan mereka menuntut kemerdekaan di era penjajahan British Haji Hassan Munas (Tok Janggut), Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh, Dr Burhanurddin Al Helmi dan ramai lagi.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Pemilihan PKR: Setiap ahli berhak memilih

in Edisi by


SEREMBAN – Setiap ahli PKR berhak membuat keputusan berdasarkan prestasi dan kemampuan calon yang akan bertanding dalam pemilihan parti kali ini dan bukannya mengikut kelompok tertentu.


Itu pandangan yang dilontarkan Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang merupakan antara pengasas PKR pada 1999 yang juga kini bertanding dan mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Cabang Seremban.


Menurutnya, pada masa sama sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, setiap ahli juga mempunyai hak menawarkan diri untuk bertanding.


“Anggota parti berhak buat pilihan berdasarkan prestasi calon, tak bermakna mereka perlu pilih menurut kelompok tertentu.


“Kita nak pilih pemimpin besar yang tentukan hala tuju parti dan bagi saya tak semestinya yang dicadangkan dlm kumpulan perlu diikut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Dun Ampangan di sini, semalam.


Ditanya adakah akan wujud perpecahan dalam parti jika berlaku pertembungan antara Rafizi Ramli dan Mohamad Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden, Mohamad Rafie yakin keduanya mampu bertindak matang.


“Ini bergantung kepada kewibawaan pemimpin dan saya yakin keduanya mampu bertindak matang.


“Mungkin orang suka lihat kita berpecah, tapi secara dasarnya, saya yakin mereka bersedia untuk bersama sebaik saja keputusan pemilihan diumumkan kelak,” katanya.


Dalam perkembangan lain, ditanya pandangannya mengenai Menteri Besar, Aminuddin Harun yang bertanding di kawasan Tampin pada pemilihan kali ini, beliau berkata, semua ahli parti perlu bersangka baik dengan keputusan berkenaan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Cacing hidup semula selepas 42,000 tahun

in Global by


MOSCOW – RUSIA. Saintis berjaya menghidupkan semula cacing prasejarah yang beku dalam permafrost selama hampir 42,000 tahun.


Cacing nematod (cacing bulat) itu adalah dua sampel yang ditemui di Siberia.


Salah satu sampel itu berusia kira-kira 32,000 tahun dijumpai dalam teras glasier pada kedalaman 30 meter (m) di bawah permukaan deposit permafrost manakala sampel kedua berada pada kedalaman 3.5 m berusia 41,700 tahun.   


Saintis dari empat institusi di Rusia dengan kerjasama Universiti Princeton Amerika Syarikat menganalisis lebih 300 sampel deposit permafrost Artik dan menemui kedua-dua sampel nematod yang masih dalam keadaan baik.


Ia kemudiannya diletakkan dalam piring petri pada suhu 20 darjah celsius yang mana ia mula menunjukkan tanda kembali hidup, bergerak dan makan selepas beberapa minggu.


“Data kami menunjukkan keupayaan organisma multisel untuk bertahan dalam tempoh jangka panjang (puluhan ribu tahun) di bawah keadaan semula jadi,” kata saintis terbabit.


Difahamkan, mekanisme penyesuaian cacing tersebut mungkin boleh menjadi kepentingan saintifik dan praktikal termasuk untuk bidang astrobiologi iaitu kajian hidupan luar angkasa.


Kajian tersebut diterbitkan dalam jurnal Doklady Biological Sciences pada Mei lalu dan kini boleh didapati secara atas talian. – Xinhua


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Mazlan, Zubaidah dinobat Tokoh Pendidik Negeri Pahang

in Edisi by


JERANTUT – Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mazlan Mohamad, 64, dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik Negeri Pahang sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajah Afzan Pahang, semalam.


Ikon Guru Inovatif pula milik  guru pra sekolah, Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, Kuantan, Zubaidah Mohaidin.


Mazlan berkata, anugerah itu satu penghormatan selepas 35 tahun sebagai pendidik.


Mazlan menyifatkan anugerah berkenaan yang tertinggi di peringkat negeri walaupun sebelum ini beliau pernah menerima pelbagai penghargaan.


“Saya melakukan banyak perkara untuk membantu melonjakkan pendidikan negara terutama membantu golongan yang kurang berkemampuan serta masyarakat Orang Asli untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya kepada media selepas menerima anugerah berkenaan semalam.


Hadiah disampaikan Pengarah Bahagian Sukan KPM, Dr Mehander Singh Nahar Singh.


Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Dr Tajuddin Mohd Yunus; Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, Ali Afandi Abdul Majid dan Pegawai Daerah, Tengku Nur Asmaliza Ku Lah.


Pada majlis itu, Mazlan dan Zubaidah menerima wang tajaan Bank Islam dan Bank Simpanan Nasional (BSN), masing-masing  RM3,000 dan RM2000.


Mazlan memberitahu, warga pendidik kini berdepan cabaran besar untuk melahirkan bangsa Malaysia yang mampu bersaing dengan masyarakat global.


“Kita tidak mahu golongan kurang berkemampuan dan masyarakat Orang Asli ini terus ketinggalan. Jadi usahauntuk membantu mereka telah dijalankan sebelum ini sehingga ramai yang sudah berjaya,” katanya.


Sementara itu bagi penerima anugerah Ikon Guru Inovatif 2018, Zubaidah Mohaidin, 49, akui teruja dengan pengiktirafan yang memberi nilai tersendiri buatnya.


Berkhidmat di sekolah itu sejak 25 tahun lalu, Zubaidah nekad menabur bakti dan mencurahkan idea demi pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.


“Saya merancang untuk terus berkarya dan berinovasi untuk anak-anak yang memerlukan bantuan dalam pembelajaran,” katanya yang pernah menerima pelbagai anugerah.


Zubaidah menghasilkan tiga inovasi iaitu kaedah NIBT (Nyanyi, ingat, baca, tulis), NIBT Jawi dan NIBT Sayangku yang digunakan untuk kanak-kanak sekolah dan pemulihan.


Menurutnya, kaedah secara santai bagi lebih efisien dan mudah diterima.


“Malah menerusi kaedah ini,tempoh penerimaan dan pemahaman mereka lebih cepat, kira-kira dua bulan berbanding sebelum ini.


Zubaidah juga berharap golongan guru diberi peluang untuk berinovasi.


“Pendidik di negara ini sebenarnya kreatif dan mempunyai banyak idea cuma mereka mungkin tidak tahu platform untuk mengembangkannya,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Cubaan bunuh karier politik

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Beberapa pemimpin Umno bahagian menepis dakwaan bahawa pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Umno Selangor tidak mendapat persetujuan oleh kebanyakan kepimpinan peringkat bahagian negeri ini.


Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, beliau melihat dakwaan berkenaan sebagai satu usaha untuk memecah belahkan Umno Selangor.


Armand juga tidak menolak dakwaan itu mempunyai motif untuk membunuh karakter politik Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno.


“Itu (dakwaan)tak betul, satu tuduhan yang tidak berasas dan permainan politik persepsi yang cuba menganggu gugat pentadbiran Umno Selangor.


“Mesyuarat Perhubungan Umno Selangor telah pun diadakan dan semua ketua-ketua Umno bahagian di Selangor sebulat suara menyokong kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Pengerusi Umno Selangor.


“Laporan tersebut jelas bertujuan untuk menjatuhkan imej dan kredibilti Datuk Seri Ismail Sabri. Saya melihat ini adalah gerakan tangan ajaib pihak lawan untuk membunuh karakter beliau sebagai Naib Presiden Umno,” katanya.


Menurutnya, selepas berakhirnya PRU14, kepimpinan tertinggi Umno telah memutuskan bahawa perlunya ada pembaharuan di dalam kepimpinan Umno negeri dan Ismail Sabri dilihat mempunyai kapasiti yang cukup untuk memberikan nafas baru kepada kepimpinan.


“Bagi saya lantikan Datuk Seri Ismail Sabri adalah satu pendekatan untuk stabilkan politik Umno di Selangor dan kita mengambil pendekatan yang baru sebagai strategi agar Umno terus maju ke hadapan.


“Umno Selangor diakui memerlukan nafas baru dari segi strategi dan gerak kerja bagi memastikan Umno terus kekal relevan di bumi Selangor, dan beliau memenuhi kriteria yang diperlukan.


“Tentang kenyataan Setiausaha Agong Umno, Tan Sri Annuar Musa yang kata lantikan tiga naib presiden umno termasuk Ismail Sabri adalah bersifat sementara, itu kita serahkan pada keputusan Presiden Umno,” katanya.


Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari turut menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan ia sebagai laporan yang tidak berasas.


“Mana timbul cerita ini? Tidak betul, kita di peringkat bahagian sentiasa menyokong penuh keputusan kepimpinan tertinggi Umno.


“Hal ini termasuklah soal lantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Ketua Umno Selangor, malah saya kira beliau berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik setakat ini,” katanya.


Mengulas prestasi sokongan dan komitmen yang diberikan oleh Ismail Sabri sepanjang membantu kempen BN untuk PRK Sg Kandis, Armand menegaskan Naib Presiden Umno itu menjalankan tugasnya dengan baik.


“Sepanjang tempoh kempen PRK Sg Kandis beliau telah jalankan tugas dengan baik khususnya dalam menggerakkan jentera parti dan membantu kempen.


“Beliau juga turun ke kawasan Pusat Daerah Mengundi yang ada untuk bertemu ahli peringkat akar umbi, jentera dan pengundi-pengundi di Dun Sg Kandis sejak awal hingga kini,” katanya.


Terdahulu,sebuah portal berita tempatan melaporkan bahawa majoriti ketua bahagian Umno di Selangor menolak pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Umno Selangor.


Memetik sumber, portal  berkenaan melaporkan seorang ketua bahagian Umno sebagai berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya memanggil semua 22 ketua bahagian untuk berbincang serta meminta pendapat sebelum membuat keputusan.


Sebelum ini Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan meletakkan tiga naib presiden Umno sebagai Pengerusi Umno negeri termasuk Ismail Sabri di Selangor, adalah bersifat sementara.            

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]

1 2 3 412
Kembali UTAMA