
KUCHING – Tindakan pembalak haram menjalankan kegiatan hingga ke kawasan pedalaman dapat dipatahkan pasukan penguatkuasaan dalam operasi terbaharunya di Nanga Maramah, Batang Baleh di Kapit, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima ACP Salehuddin Mat Zaman berkata dalam operasi tengah hari itu, pihaknya dan beberapa agensi penguatkuasaan lain dapat merampas 469 kayu balak pelbagai jenis dan saiz yang bernilai RM535,500.
Beliau berkata sebelum mencatatkan kejayaan itu, pihaknya terpaksa menempuh perjalanan kira-kira lapan jam dari Pekan Kapit selain perjalanan mereka terganggu dengan ‘sekatan’ haram yang dibina bagi melambatkan perjalanan.
“Hasil pemeriksaan di kawasan berkenaan, pasukan operasi menjumpai 469 batang balak pelbagai saiz dan jenis seperti meranti, kapur dan jelutong yang disyaki telah ditebang secara haram.
“Semua balak tersebut didapati tidak mempunyai cop Jabatan Hutan Sarawak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Semua balak yang dirampas itu diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Salehuddin berkata kejayaan itu merupakan kes rampasan balak haram ke-29 oleh PPM Wilayah Lima.
“Bagi tempoh Januari hingga September ini, nilai rampasan yang dicatatkan adalah kira-kira RM6.8 juta,” katanya.- Bernama
Source: SH Edisi Sabah Sarawak
[featured-video-plus]