PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

October 2017

Kerajaan telah beri pendidikan percuma

in Nasional by


KUALA LUMPUR – “Pendidikan negara dari peringkat sekolah rendah hingga sekolah menengah boleh dikategorikan sebagai percuma kerana kerajaan membiayai kos pendidikan pada kedua-dua peringkat itu,” kata Anggota Parlimen Lenggong, Perak, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.


Shamsul Anuar berkata, rakyat hanya perlu membayar beberapa yuran yang ditetapkan oleh pihak persatuan ibu bapa dan guru.


“Cuma di peringkat pendidikan tinggi sahaja perlu mereka bayar. Itupun masih lagi bergantung kepada inisiatif kerajaan untuk memastikan bagaimana rakyat mampu meneruskan pendidikan di peringkat tinggi melalui biasiswa dan pinjaman yang diberikan.


“Tidak benar jika dikatakan tidak ada langsung pendidikan percuma di dalam negara ini. Melalui PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional)  sendiri juga mengecualikan pembayaran balik pinjaman kepada mereka yang cemerlang,” katanya ketika menjadi tetamu program khas Bicara Bajet 2018 yang disiarkan di TV1, malam tadi.


Program dihoskan Datuk Dahlan Maamor itu turut menjemput anggota Ahli Parlimen Kota Melaka (DAP), Sim Tong Him bagi membincangkan Bajet 2018 dan Bajet Alternatif oleh Pakatan Harapan yang dibentangkan baru-baru ini bagi sektor pendidikan.


Shamsul Anuar yang juga Pengerusi PTPTN berkata sehingga kini, tabung pendidikan berkenaan sudah membelanjakan RM1.3 bilion melibatkan 40,000 pelajar kelas pertama yang dikecualikan bayaran balik pinjaman mereka.


“Pengecualian itu maksudnya jika mereka pinjam RM150,000 dan layak mendapat pengecualian (bayaran balik) bermakna kerajaan telah membayar bagi pihak mereka kepada PTPTN. Kira sudah percuma sebab kerajaan yang tanggung,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berpandangan buat masa ini pendidikan percuma secara keseluruhan di semua peringkat seperti yang diperjuangkan pembangkang ia tidak begitu realistik.


“Jika mereka (pembangkang) nak bandingkan dengan negara seperti Finland dan Turki yang menyediakan pendidikan percuma di peringkat tinggi, jumlah pelajar negara itu tidak ramai yang masuk universiti. Malah individu di negara mereka juga dikenakan cukai yang begitu tinggi.


“Kerajaan sedaya upaya mahu memberikan pendidikan terbaik tanpa membebankan rakyat dengan memperuntukkan jumlah yang tinggi bagi pemberian biasiswa iaitu sebanyak RM2.2 bilion baru-baru ini.” katanya.


Menurut Shamsul Anuar, kerajaan juga telah menawarkan pelbagai bentuk potongan pembayaran mengikut terma-terma tertentu.


“Jadi janganlah politikkan soal pendidikan dan pinjaman PTPTN kerana ianya adalah kepentingan bersama, dan daripada 2.7 juta peminjam yang kita bagi kita tak pernah tengok ideologi apa, bendera apa, bangsa apa… yang penting rakyat Malaysia. Inilah kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Warga emas ditemui rentung dalam kebakaran

in Semasa by


IPOH – Seorang warga emas ditemui rentung manakala dua lagi melecur dan sesak nafas dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Bengkok, Kampung Baru Buntong, di sini, awal pagi tadi.


Berdasarkan maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, kesemua mangsa merupakan warga emas dan mangsa yang maut seorang wanita berusia 76 tahun.


Manakala seorang wanita berusia 51 melecur lima peratus dan seorang lelaki berusia 82 tahun mengalami sesak nafas.


Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan jam 1.52 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bergegas ke lokasi kejadian dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh.


Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Operasi memadam kebakaran tamat pada jam 4.24 pagi.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]

‘Kami rindukan telatah adik’

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Kami sekeluarga rindukan telatah anak kami yang bongsu ini, sebelum ini dia periang dan manja tapi sekarang semuanya berubah,” kata Mohd Esa Lamin, 44, bapa kepada kanak-kanak yang terlantar akibat penyakit leukemia, Annur Annessa Ezzarra, 5.


Annur Annessa disahkan menghidap leukemia September lalu dan kini keadaannya semakin lemah sehingga terpaksa dipangku ibunya, Zulina Borhan, 44, untuk ke mana-mana.


Mohd Esa berkata, akibat penyakit tersebut juga, anak bongsu daripada tiga beradik itu hilang selera makan menyebabkan berat badannya semakin berkurangan.


Katanya, anaknya yang mesra disapa adik itu tidak lagi seaktif dan seceria dahulu, malah emosinya juga tidak menentu.


“Ada masanya tetamu, malah saya sendiri pun dimarahinya. Tapi kami faham emosinya sekarang mudah terusik kerana dia sedang menanggung sakit.


“Hanya ibunya yang faham kehendak anak kami itu kerana dia yang menguruskan dan menjaganya setiap hari sejak disahkan menghidap leukemia. Adik tidak boleh ditinggalkan kerana memerlukan bantuan sekiranya hendak bergerak,” katanya.


Mohd Esa ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Buloh di Senggarang di sini, semasa menerima lawatan Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat diketuai Mohd Hamidi Mad Tap.


Mohd Esa yang bekerja sebagai buruh binaan berkata, kos perubatan termasuk rawatan alternatif di Kuala Lumpur dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk anaknya itu mencecah RM2,000 sebulan


Katanya, dia kini terpaksa menggunakan semua wang simpanan yang ada untuk menampung perbelanjaan itu, termasuk wang simpanan isterinya.


“Saya sebelum ini bekerja sehingga ke Johor Bahru, tapi sejak anak saya sakit saya kembali ke kampung dan ambil upah kerja kampung termasuk memotong kelapa sawit.


“Pendapatan memang tak menentu dan isteri pula hanya suri rumah sepenuh masa. Tapi dia ada jugalah buat kerja sampingan seperti menjual tudung.


“Saya sebenarnya malu untuk bercerita kerana tak mahu dianggap meminta-minta,” katanya.


Menurutnya, setakat ini sudah berbelas ribu dibelanjakan untuk rawatan anaknya dan dia bersyukur Annur Annessa ada menunjukkan sedikit perubahan.


“Kami tetap akan meneruskan rawatan hospital dan alternatif dengan harapan anak kami sembuh,” katanya.


Kesusahan yang dialami Mohd Esa turut mendapat perhatian daripada pelbagai pihak terutama ahli keluarganya.


Dia kini berharap permohonannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal dapat diluluskan segera.


“Pihak penghulu, ketua kampung dan JKM ada turun padang membantu menguruskan apa yang patut selain Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor ada menghubungi saya sebelum ini menawarkan bantuan,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]

Rumah kena rempuh lagi

in Edisi Terengganu by


SETIU – Pesara bomba dari Pekan Sungai Tong, di sini sudah tidak tahan berdepan masalah rumah dirempuh kenderaan terbabas ketika melalui selekoh tajam di hadapan kediamannya.


Terbaharu, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi kelmarin, rumah didiami Romly Ismail, 61, sekali lagi dirempuh sebuah pacuan empat roda yang hilang kawalan hingga menyebabkan sebahagian bumbung di bahagian hadapan rumahnya rosak.


Romly berkata, sebelum kejadian dia sedang berehat di ruangan belakang rumahnya namun, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.


Menurutnya, dia bergegas keluar ke hadapan rumah untuk melihat keadaan.

Kejadian terbaharu yang berlaku pagi kelmarin melibatkan pacuan empat roda terbabas dan merempuh bahagian hadapan rumah Romly.


“Syukurlah pemandu dan penumpang selamat, tapi bahagian depan rumah saya rosak, kos baik pulih cecah ribuan ringgit juga ini.


“Ini bukan situasi pertama dah banyak kali dah berlaku,” katanya.


Dia berkata, dia sekeluarga hidup dalam kebimbangan terutama ketika musim tengkujuh.


“Nak duduk depan pun takut juga, kalau-kalau ada kenderaan terbabas.


“Saya agak pemandu ni gagal kawal kenderaan sebab kat sini selekoh tajam, memang rumah saya ini jadi sasaran la kalau kereta mereka terbabas,” katanya.


Romly mengakui pihak berkaitan ada meletakkan benteng batu bagi mengelakkan kenderaan yang terbabas meluru ke rumahnya, namun ia ternyata tidak berhasil.


“Kebimbangan kami sekeluarga memang tak reda la, sebab kejadian terbabas ini masih berlaku.


“Bukan rumah saya saja, rumah orang tua saya yang dekat sebelah ini juga jadi sasaran,” katanya.


Katanya, dia terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membaiki rumahnya.


“Bukan semua pemilik kenderaan ada duit nak bayar kos kerosakan. Nak tak nak kita juga kena keluarkan duit,” kata bapa empat anak ini.


Tambahnya, sekitar awal April lalu, sebuah kereta Myvi dipandu seorang wanita terbabas ke bahagian garaj rumah dan merempuh dua kereta yang ada di situ malah turut rempuh dinding rumah orang tuanya.


“Akibat daripada itu, dinding rumah retak dan bumbung garaj tercabut.


“Kereta juga alami kerosakan, saya terpaksa buat tuntutan insurans sebab nak baiki,” ujarnya.


Memandangkan dia sekeluarga terus diselubungi kerisauan, Romly berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan risiko kenderaan terbabas di kawasan selekoh tajam seperti banyakkan papan tanda amaran agar pemandu tidak memandu terlalu laju dan lebih berhati-hati.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Latihan keras tiga bulan bawa tuah

in Sukan by


PELUMBA basikal trek para negara, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais tidak menyangka pengorbanan menjalani latihan keras selama tiga bulan sebelum menyertai Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 memberi tuah buatnya merangkul anugerah atlet para wanita terbaik negara.


Nur Azlia Syafinaz menerima anugerah berkenaan pada majlis penyerahan skim hadiah kemenangan (Shakam) yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Lebih manis, Nur Azlia Syafinaz yang membuat penampilan sulung pada Sukan Para ASEAN berjaya meraih empat pingat emas dan satu perak, sekali gus  membawa pulang insentif tertinggi berjumlah  RM53,000.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan rakan sepasukan yang banyak memberi  sokongan moral kepada saya selama ini.


“Mengenai imbuhan yang diterima ini, saya belum fikir lagi…mungkin saya akan simpan dan gunakan duit ini pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah berkenaan di Axiata Arena di sini, malam ini.


Atlet olahraga para negara, R. Thavanesvaran pula dinobat sebagai atlet para lelaki terbaik selepas menghadiahkan tiga pingat emas dan satu perak pada Sukan Para ASEAN, September lalu.


Atlet dari Segamat, Johor itu yang beraksi dalam acara 100m, 200m dan 400m kategori T44 menerima insentif sebanyak RM40,750.


Sementara itu, perenang negara, Welson Sim dan gimnas, Koi Sei Yan masing-masing dipilih menerima anugerah atlet terbaik lelaki dan wanita negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Welson memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa serta mencipta dua rekod baharu kejohanan dalam acara 200m dan 400m gaya bebas, untuk menerima insentif sebanyak RM33,000.


Koi Sei Yan pula cemerlang meraih empat pingat emas iaitu dua dalam acara aparatus gelung dan belantan, selain emas berpasukan dan emas individu keseluruhan untuk menerima insentif berjumlah RM49,500.


Pada Sukan SEA Ogos lalu, kontinjen negara muncul juara keseluruhan selepas meraih 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa, manakala di Sukan Para ASEAN, Malaysia muncul naib juara dengan 90 emas, 85 perak dan 84 gangsa. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Bapa perlu RM2,400

in Edisi Utara by


JITRA – Seorang bapa memerlukan kira-kira RM2,400 bagi membeli sebuah power bank bagi mengecas mesin sedut kahak yang digunakan anak sulungnya.


Lew Kai Chun, 25, berkata, anaknya, Lew Yi Jie, 19 bulan bergantung kepada mesin sedut kahak selama 24 jam sejak dilahirkan.


“Anak saya tak normal seperti kanak-kanak lain, tumbesaran dia pun terbantut, susu pun terpaksa minum melalui tiub,” katanya ketika ditemui di rumah ibu mentuanya di Taman Indera, di sini, semalam.


Menurutnya, power bank terbabit diperlukan untuk memastikan mesin kahak tetap berfungsi biarpun ketika bekalan elektrik terputus.


“Bila elektrik tak ada, anak saya tak dapat bernafas dengan baik dan mula sesak nafas. Jadi, saya terpaksa bawa anak ke Hospital Jitra atau Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk sedut kahak.


“Kalau hari saya cuti tak apa lah, kalau hari saya kerja, macam mana nak bawa pi hospital, sebab kadang-kadang saya kerja luar kawasan,” katanya.


Kai Chun berkata, isterinya juga tidak dapat bekerja kerana terpaksa menjaga anak mereka di rumah.


“Yi Jie memerlukan penjagaan rapi sebab dia bergantung pada susu khas yang diberi minum lapan kali sehari.


“Isteri saya pula baru melahirkan anak kedua kami sebulan lalu, jadi sekarang sebelum saya pergi kerja, saya hantar dia dan anak-anak ke rumah ibu dulu,” katanya yang bekerja di sebuah kedai cermin dan aluminium di sini dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.


Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kepada Kai Chun boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 0200241000182542 atas nama Lee Ai Li dan Lew Yi Jie atau terus menghubungi Kai Chun di talian 018-9466538.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Tak dapat sijil lahir

in Edisi Utara by


KUANTAN – Seorang ibu tunggal buntu apabila permohonan untuk memperoleh sijil kelahiran anak angkatnya gagal sejak 12 tahun lalu.


Noraini Ibrahim, 60, berkata, banyak pihak yang tampil membantunya namun masih menemui jalan buntu untuk mendapatkannya.


Katanya, disebabkan kegagalan tersebut kanak-kanak yang diberi nama, Noralia Syafira Abdullah tidak dapat bersekolah.


“Saya ambil dia jadikan anak angkat di Hospital Mentakab, Temerloh sejak dilahirkan dan dijanjikan untuk diberi sijil kelahiran tapi tak ada berita.


“Saya ada juga berusaha dapatkan sendiri tapi gagal. Permohonan saya sentiasa ditolak sampai jadi buntu.


“Tapi saya tetap berusaha dapatkan sijil kelahiran sebab sekarang dia dah 12 tahun dan dah sampai masa ada kad pengenalan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Deraka, Tanjung Lumpur, di sini, semalam.


Dalam pada itu, menurut ibu tunggal itu, disebabkan tiada sijil kelahiran, kanak-kanak terbabit tidak dapat bersekolah dan mengambil peperiksaan termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu.


“Saya hanya dapat tumpangkan dia di sekolah saja tapi dia tak boleh ambil sebarang peperiksaan.


“Sebelum ini, kami menetap di Kuala Lumpur sempat juga hantar dia ke sekolah agama. Sekarang semenjak tinggal di Kuantan selama dua tahun tak ada sekolah yang boleh terima Noralia jadi dia belajar sendiri di rumah,” katanya.


Sementara itu, katanya, kanak-kanak itu berhasrat untuk terus mendapat pendidikan yang sempurna memandangkan dia semakin meningkat usia.


“Kalau tak dapat sekolah pun, dapat masuk kelas kemahiran atau agama pun tak apa, yang penting dapat sijil kelahiran dulu,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]

Tak ubah seperti budak 10 tahun

in Edisi by


TOK DERPAH – Walaupun usianya sudah menjangkau 23 tahun, namun seorang pemuda di Kampung Tok Derpah, di sini, masih kelihatan seperti kanak-kanak berusia 10 tahun.


Zaitun Abd Rashid, 44, berkata, anaknya, Mohamad Shafiz Jamri, menderita penyakit saraf selepas diserang demam panas ketika berusia lima bulan.


Katanya, tumbesaran anak kedua daripada lapan beradik itu turut terhenti selain tidak mampu berkomunikasi, malah tangan serta kakinya membengkok.


Menurutnya, dia tidak sanggup melihat anaknya itu menderita setiap kali diserang sawan.


“Saya mula risau jika dia sakit teruk, sebab kami tak ada kemudahan nak bawa dia ke hospital.


“Lagipun, dia tak sesuai guna kerusi roda sebab tak boleh tampung badan dan hanya boleh berbaring,” katanya.


Zaitun berkata, berbekalkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, dia berusaha menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan, namun tidak mampu membeli katil khas untuk keselesaan anaknya.


Katanya, hasil upah suami, Jamri Che Omar, 51, yang bekerja kampung digunakan untuk keperluan harian, termasuk empat anak yang masih bersekolah.


“Shafiz tak pernah bercakap apatah lagi mengeluh, dia hanya tersenyum setiap kali memandang wajah saya.


“Dia hanya bergantung pada susu formula dan nestum selain terpaksa pakai lampin pakai buang sepanjang masa,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

1MDB: Siasatan lanjut berikutan kekurangan bukti

in Nasional by


PUTRAJAYA – Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali berkata siasatan lanjut terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dilakukan berikutan kekurangan bukti dalam beberapa perkara tertentu.


Beliau berkata kertas siasatan berkaitan 1MDB sentiasa dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), bagaimanapun, terdapat kekurangan bukti dalam beberapa perkara tertentu.


“Apabila kertas siasatan dirujuk kepada kami, kami akan menelitinya. Kami dapati wujud kekurangan bukti. Jadi, kami arahkan supaya siasatan dilakukan dalam beberapa perkara tertentu. Saya tidak dapat mendedahkan perkara itu. Siasatan masih dijalankan.


“Antara 20 hingga 25 peratus daripada kertas siasatan perlu dikaji semula,” katanya pada sidang akhbar di sini.


Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata Apandi telah mengarahkan supaya siasatan lanjut berkaitan 1MDB dijalankan dan sebarang butiran berkaitan kes itu tidak boleh didedahkan oleh kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis selain menyebabkan prejudis kepada kes itu.


Azalina menjawab soalan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo  di Dewan Rakyat dalam jawapan bertulis bertarikh 24 Oktober.


Pada 20 September, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis telah melengkapkan siasatan mereka terhadap 1MDB.


Terdahulu, Apandi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada anggota keluarga 23 mangsa kebakaran yang terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara pada 14 September. Sejumlah RM32,500 dikumpul daripada kakitangan AGC.


Mengenai kedaulatan ke atas Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge, Apandi pengurusan kes dilakukan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague pada 11 September.


“Mahkamah telah bersetuju dengan permohonan kami. Pendengaran bersama akan diadakan, satu permohonan bagi semakan dan satu lagi bagi tafsiran penghakiman. Jadi ia akan merupakan perbicaraan bersama.


“Mahkamah turut menyetujui permintaan kami. Kami memohon untuk memfailkan lebih banyak dokumen. Kami sekarang sedang dalam proses memfailkan dokumen tersebut. Itulah yang terkini,” katanya.  – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Kesusahan hidup jadi motivasi

in Edisi by


MACHANG – Kesusahan hidup dan status Orang Asli menjadi penguat semangat kepada Marina Long Yon, untuk ke menara gading, seterusnya memberi suntikan semangat kepada anak-anak muda bangsanya.


Kesungguhan itu berbaloi apabila dia berjaya bersama-sama 1,619 graduan lain menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen ke-87 UiTM Kampus Kelantan, baru-baru ini.  


Marina, 25, berkata, walaupun sukar, namun dia berusaha bersungguh-sungguh dan menjadikan bapa saudaranya yang bergelar pensyarah sebagai idola serta sumber inspirasinya.


Katanya, kejayaan tersebut bukan sahaja mampu membanggakan keluarganya tetapi juga diharapkan menjadi penyuntik semangat kepada kaumnya untuk gigih menuntut ilmu dalam usaha mengubah tahap ekonomi keluarga.


Ujarnya, sebagai anak perempuan, dia  bertuah apabila keluarga sentiasa menyokong usahanya bagi menyambung pengajian ke peringkat menara gading.


“Kejayaan pakcik menjadi kekuatan untuk saya keluar daripada kampung, berjauhan dengan keluarga demi mencari ilmu.


“Majlis konvokesyen ini menjadi saat yang cukup menggembirakan apabila saya berjaya menamatkan pengajian, menggenggam diploma sekali gus membuka mata orang ramai tentang kebolehan Orang Asli.


“Saya berharap ibu bapa Orang Asli sentiasa menyokong hasrat anak-anak mereka untuk menyambung pengajian dan memberi dorongan kepada mereka untuk mengubah kehidupan keluarga dengan ilmu,” katanya.


Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, pelbagai peluang disediakan kepada Orang Asli dan mereka dilihat semakin berjaya dalam pelbagai bidang  termasuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

1 2 3 445
Kembali UTAMA