Terengganu yakin kutipan tabung Rohingya lebih RM1j

in Edisi Terengganu by


KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Terengganu yakin kutipan Tabung Terengganu For Rohingya ‘Sekampit  Beras Untuk Rohingya’ akan melebihi sasaran awal iaitu RM1 juta sebelum hujung bulan  ini.


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata tabung yang digerakkan sejak 19 Sept lalu berjaya mengutip lebih RM600,000 dalam tempoh kurang dari dua minggu.


“Alhamdulillah, sambutan untuk tabung derma bagi membantu Rohingya ini agak luar biasa…kita yakin kutipannya akan melebihi sasaran kerana jumlah yang kita peroleh hingga hari ini belum termasuk kutipan daripada badan berkaitan kerajaan dan pihak korporat lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan tabung itu bagi peringkat Perantau Terengganu Lembah Klang di sini, hari ini.


Beliau berkata tabung berkenaan akan digerakkan ke seluruh negara menerusi persatuan anak perantau Terengganu di setiap negeri.


Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata pihaknya juga sedang berunding dengan Mercy Malaysia dan Wisma Putra bagi menghantar 50 sukarelawan ke Bangladesh bagi melaksanakan misi kemanusiaan membantu pelarian Rohingya.


Pada majlis tersebut, Ahmad Razif turut mengagihkan bantuan Persediaan Pelajar kepada 126 mahasiswa peringkat ijazah dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga seorang mangsa kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini yang berasal dari Terengganu.


Mohd Shahir Sharifuddin, 11, kini masih dirawat di Unit Kebakaran Hospital Kuala Lumpur ekoran kejadian yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru pada 14 Sept lepas.-Bernama


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]