Jual kereta, jalan kaki ke tempat kerja

in Edisi by


KOTA BHARU – Terpaksa menjual kereta kemudian berjalan kaki ke tempat kerja antara penderitaan yang perlu dilalui 48 pengawal keselamatan akibat daripada dakwaan tunggakan bayaran gaji sejak setahun lalu.


Wakil mereka, Roslan Kamarulzaman, 48, berkata, masalah itu bermula sejak tender yang dimiliki sebuah syarikat bertukar ke syarikat yang lain, September tahun lalu.


“Mula-mula gaji kami dibayar dengan baik, namun lama kelamaan kami dibayar secara ansuran, ada RM400, ada RM500 bermula awal tahun ini,” katanya.


Menurutnya, masalah dihadapi mereka  berlarutan sehingga kemuncak terjadi apabila gaji mereka tidak langsung dilunaskan pada dua bulan akhir-akhir ini.


“Gaji kami untuk tempoh Ogos dan September langsung tidak menerima satu sen pun dan setiap kali hal ini diajukan, mereka (majikan) memberi alasan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) belum serahkan wang gaji.


“Khamis lalu, kami buat laporan polis dan kami juga adukan perkara ini ke Pejabat Buruh. Hari ini kami datang ke SPRM untuk memberi makluman kepada mereka supaya menyiasat dan membela kes kami,” katanya yang ditemui bersama 20 pengawal keselamatan yang berkumpul di hadapan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kelantan, di sini, hari ini.


Kesemua mereka adalah pengawal keselamatan yang ditugaskan di 12 sekolah di daerah ini.


Roslan berkata, mereka sepatutnya dibayar RM1,800 sebulan menyebabkan syarikat itu tidak menjelaskan sejumlah RM88,200 dua bulan gaji bagi kesemua mereka dan mengharapkan ada pihak yang akan membantu dan membela nasib mereka.


“Dah bermacam ikhtiar kami lakukan, mengadu sana sini. Pihak SPRM juga menasihatkan kami merujuk ke Pejabat Buruh dan kami sememangnya sudah pun membuat laporan kepada mereka hampir setiap bulan.


“Kami mengadu ni pun dengan hati yang bertawakal kepada ALLAH sebab kami mencari rezeki dan masih lagi mahu bekerja dengan syarikat ini. Dalam keadaan tidak bergaji pun kami masih lagi pergi kerja kerana tanggungjawab terhadap murid dan pelajar tempat kami berkhidmat, kami tidak boleh berhenti begitu sahaja dan itu salah,” katanya.


Sementara itu, seorang daripada mereka, Abd Razak Abd Rahim, 44, berkata, dia mempunyai tanggungan isteri dan tiga anak berusia 10; 13 dan 18 tahun yang masih bersekolah dan memerlukan perbelanjaan yang banyak.


“Saya sewa rumah RM600 sebulan dan bayaran itu tertunggak kerana tidak ada gaji dua bulan ini. Hendak cari kerja lain pun sekarang nak dapat kerja sangat susah.


“Tambah perit apabila saya terpaksa menjual kereta Proton Iswara untuk menampung perbelanjaan hidup kami sekeluarga dan kini saya berjalan kaki ke sekolah tempat saya bekerja,” katanya.


Dalam pada itu, usaha Sinar Harian untuk mendapatkan reaksi dari seorang Pegawai Operasi syarikat yang terbabit gagal apabila panggilan tidak dijawab.


Syarikat pula beribu pejabat di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]