Pemandu lori didenda RM1,500 sembunyi wang pelajar

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana secara tidak jujur menyembunyikan atau memindahkan wang tunai RM797 milik seorang pelajar kolej, Julai lepas.


Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Kamal Safinya, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan secara tidak jujur menyembunyikan atau memindahkan wang tunai RM797 milik seorang pelajar kolej, Loke Bee Chin, 23.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu. Dia membayar denda itu.


Bapa empat anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Taman Danau Saujana, Setapak di sini pada 15 Julai lepas mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia perlu menanggung anak masih kecil selain bapanya baru sahaja meninggal dunia. – Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]