Persatuan penduduk Melaka digesa segera mohon geran

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA – Sebanyak 170 persatuan penduduk yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) cawangan Melaka digesa memohon geran berjumlah RM10,000 sebelum 31 Oktober ini.


Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, geran yang disediakan kerajaan persekutuan itu adalah  untuk perlaksanaan program pencegahan jenayah, dadah, aktiviti kejiranan dan pembersihan serta pembelian peralatan keselamatan.


Katanya, sehingga kini sebanyak 259 persatuan penduduk di negeri ini telah berdaftar di bawah ROS, namun hanya 82 daripadanya telah menerima peruntukan tersebut manakala tujuh lagi masih dalam proses kelulusan.


“Peruntukan keseluruhan berjumlah RM40 juta untuk seluruh negara ini telah disediakan kerajaan persekutuan seperti yang diumumkan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan bajet 2017 tetapi malangnya masih ada lagi persatuan penduduk yang tidak memohon.


“Selepas 31 Oktober depan, peruntukan ini tidak lagi boleh dimohon dan ia bukan sahaja satu kerugian besar kepada kerajaan persekutuan dan negeri kerana bagi menyediakan peruntukan berkenaan kerajaan terpaksa menanggung pelbagai bentuk caj kewangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemberian Geran untuk Perlaksanaan Program Pencegahan Dadah di Melaka di sini, hari ini.


Turut hadir anggota Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO Datuk MS Mahadevan dan Pengarah ROS Cawangan Melaka Nurhafidah Ali.


Sementara itu, Mahadevan berkata sehingga kini secara keseluruhan, sebanyak 2,135 pertubuhan direkodkan berdaftar di negeri ini manakala lebih 800 persatuan telah dibatalkan kelayakannya sejak 2010.


Beliau berkata pembatalan status persatuan atau pertubuhan tersebut disebabkan beberapa faktor termasuk tidak aktif, tidak menghantar laporan tahunan atau penyata setelah notis dan maklmuan dilakukan ROS serta ditubuhkan untuk kepentingan peribadi atau pihak tertentu. –Bernama


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]