Sasar penanaman kenaf 10,000 hektar setahun

in Edisi Utara by


JITRA- Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN)berhasrat memperluaskan penanaman kenaf dengan sasaran 10,000 hektar dan nilai jualan melebihi 10 juta setahun menjelang 2020.


Pengerusinya, Datuk Mohd Adhan Kechik berkata, ketika ini skala tanaman kenaf masih kecil dan kurang mendapat sambutan dalam kalangan pekebun kecil.


“Sekarang ini, kita hanya mampu tanam antara 2,000 hingga 2,500 hektar setahun dan dari hasil jualan eksport hanya melebihi RM1 juta sahaja.


“Bagi saya jumlah ini masih kecil sebab kita turut gunakan untuk produk tempatan seperti pembuatan tilam dan kraftangan,”katanya, pada majlis pelancaran Pusat Khidmat 1Komoditi (1CSC) di Pejabat LKTN di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Datu Nasrun Datu Mansur.


Menurutnya, kenaf juga mendapat permintaan tinggi pasaran dunia memandangkan sifatnya yang semula jadi sesuai dengan penggunaan teknologi hijau pada masa kini.


“Sebab itu, lembaga dan kementerian menggalakkan penanaman kenaf kerana setakat ini, keluasan terbesar kenaf hanya terdapat di Kelantan dan Pahang dengan masing-masing seluas 800 hektar,”katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]