21 jambatan kritikal dikenal pasti

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


ALOR GAJAH – Kementerian Kerja Raya telah mengenal pasti 21 jambatan kritikal di negara ini termasuk lima yang sudah ditutup sejak bulan lalu.


Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, lima jambatan yang ditutup termasuk Jambatan Buloh, Jambatan Sungai Rambai Kecil dan Sungai Rambai Besar di Selangor serta Jambatan Sultan Yusof di Teluk Intan, Perak setelah didapati tidak selamat untuk dilalui pengguna selain kerja pembaikan seperti ‘bailey bridge’ sedang giat dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan terlibat.


Menurutnya, pemantauan dan penyelenggaraan yang dilakukan juga mendapati jambatan yang dikategori kritikal punca utamanya bukan disebabkan bencana alam ataupun perubahan cuaca.


“Majoriti kerosakan kerana kekerapan kenderaan berat yang banyak menggunakan jambatan itu, selain faktor usianya yang sudah lama dan dibina selepas zaman pemerintahan British dahulu.


“Lima ditutup sebab tak selamat dan akan buat jambatan baru, kaedah pembinaannya akan dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi JKR Malaysia 2017 di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR Malaysia (CREatE) di sini, semalam.


Hadir sama, Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Roslan Md Taha; Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan Pengarah JKR Melaka, Zulkifly A Ghani.


Pihaknya menganggarkan kos naik taraf dan menggantikan jambatan baharu itu menelan belanja sehingga RM88 juta bagi fasa pertama dan tidak mustahil jumlah itu bertambah dari semasa ke semasa.


Tambah Fadillah, beliau berharap pengguna dapat bekerjasama dan bersabar dengan kesulitan yang terpaksa ditempuhi akibat penutupan jambatan itu.


Dalam perkembangan lain, Fadillah berkata, dua projek persimpangan bertingkat di Melaka iaitu di Ayer Keroh dan Peringgit dengan kos kira-kira RM286 juta bagi melancarkan laluan trafik, sepatutnya dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun tahun depan dijangka berlaku sedikit kelewatan.


Ujarnya, ini disebabkan projek persimpangan Peringgit, iaitu kesilapan syarikat pemaju meneliti jumlah sebenar utiliti menyebabkan projek berkenaan terjejas sehingga tempoh pelaksanaannya dilanjutkan.


“Kita perlu berunding dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan itu bagi pengambilan tanah tambahan, selain penambahan kos pengalihan utiliti dan projek itu telah siap 51 peratus berbanding 69 peratus sebelum ini,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]