Aku 'anak cikgu'

in Nasional by


BEST tak jadi anak cikgu?”


Mungkin ini persoalan yang biasa anda dengar dalam kalangan rakan-rakan sekolah. Ada yang cakap, ‘Untunglah jadi anak cikgu, semua dapat’. Tak kurang juga, ada yang beritahu ‘kau tak payah berangan nak bertanding jawatan Ketua Pengawaslah Haris, confirm anak Cikgu Salleh tu yang menang’…


Betul ke ‘anak cikgu’ ni beruntung? Semua benda boleh dapat kat sekolah. Kalau anak pengetua pulak, lagilah, semua jawatan dia ‘sapu’.


GPSBestari mendapatkan beberapa anak guru bagi memberi komen tentang tajuk Fokus minggu ini.


Buat macam biasa


Bagi pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah (STAR), Darwisyah Zuhairah Darul Irwan, 15, memegang title ‘anak cikgu’ cukup menyeronokkan, namun kadang kala ada yang menyakitkan.


“Dulu, ada juga yang cakap ‘bestlah kau anak cikgu, semua boleh dapat’. Bila dengar macam ni, saya lebih gemar diam saja, malas nak ambik kisah apa yang mereka cakap.


“Anak cikgu ke, anak penolong kanan ke, semuanya sama saja. Jika nak berjaya dalam pelajaran, tak semestinya dia mesti ‘anak cikgu’. Cemerlang atau gemilang dalam hidup, semua bergantung pada usaha sendiri,” katanya yang merupakan anak kepada Cikgu Zubaidah Mat @ Ahmad, 39, seorang kaunselor di STAR.


Menurut Darwisyah Zuhairah, ada pelajar mengatakan ‘anak cikgu’ selalu pegang jawatan di sekolah.


“Saya pernah pegang jawatan sebagai pengawas ketika di tingkatan dua. Disebabkan terlalu sibuk dengan pelbagai program, saya undur diri dari jawatan tersebut sebab nak fokus pada pelajaran.


“Memandangkan PT3 tidak lama lagi, rasanya keputusan yang saya ambil itu tepat,” katanya yang dilantik sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) sekarang.


Walaupun dia ‘anak cikgu’, layanan di sekolah tetap sama dengan pelajar lain.


“Saya turut beratur di kantin jika mahu beli makanan. Tetap kena marah dan denda jika buat salah dalam kelas. Semuanya sama cuma yang bezanya, saya datang dan pulang dari sekolah, dengan mak dan setakat ini belum pernah lagi datang lewat ke sekolah. Jika tidak, memang kena tulis nama sama macam orang lain,” ujarnya tersenyum.   


Darwisyah Zuhairah cukup bertuah kerana dilahirkan sebagai ‘anak cikgu’. Dek rezeki ‘anak cikgu’, dia bersama rakan-rakan yang juga anak warga pendidik (termasuk anak pensyarah), terpilih mengikuti kelas tambahan yang diadakan pada hari Sabtu.


Program yang dikenali Program Anak Guru itu, membabitkan 39 pelajar tingkatan tiga dengan dihadiri ibu bapa sebagai pendorong dan pembantu kepada guru-guru STAR yang menjadi fasilitator. Di sini Sarana Ibubapa dapat dilaksanakan dan PIBG telah menyediakan hidangan makan dan minum pada waktu rehat.


Jumpa kaunselor lain


Sementara itu, Cikgu Zubaidah berkata, bila ada anak di sekolah, hati ibu tentunya gembira dan senang hati.


“Ibu mana yang tak happy bila anak-anak lalui kehidupan remaja depan mata kita.


“Saya bersyukur sangat sebab anak-anak bersekolah di tempat kita mencari rezeki. Sekurang-kurangnya saya boleh memantau pergerakan mereka dan beri nasihat jika ada yang tak kena,” kata beliau.


Kelebihan ‘anak cikgu’ tidaklah terlalu banyak. Cuma dari segi pendedahan awal, mungkin ‘anak cikgu’ akan dapat lebih.


“Contoh anak saya. Di rumah, saya akan ajar dia subjek Bahasa Melayu (BM) walaupun saya seorang kaunselor. Mungkin kepakaran saya dalam subjek tersebut dan tidak salah untuk saya ajar di rumah.


“Bila Darwisyah Zuhairah ke sekolah pada keesokan harinya, dia dah dapat ilmu baru yang mungkin kawan-kawan lain tidak dapat. Itu lebihnya ‘anak cikgu’,” katanya.


Cikgu Zubaidah mengakui yang Darwisyah Zuhairah dan adiknya, Darwisyah Miyasarah, 13, jarang berjumpa dengan dia jika berdepan masalah di sekolah.


“Walaupun saya kaunselor, tetapi mereka lebih senang berjumpa dengan kaunselor lain untuk mengadu masalah akademik, masalah rakan sebaya atau masalah lain.


“Mungkin mereka selesa dengan kaunselor lain kerana jika bercerita kepada saya, mereka jadi takut atau malu,” jelasnya.


Akhir sekali, Cikgu Zubaidah menitipkan sedikit nasihat pada anak-anak cikgu yang lain agar tidak sombong dan berlagak dalam mencari kawan.


Memang ada sesetengah ‘anak cikgu’ yang bersikap sedemikian, jadi berubahlah untuk masa depan.


“Pada saya, anak cikgu ke, anak pengetua ke atau anak siapa pun kita, title itu sekadar perjawatan tetapi dalam sudut proses mengejar ilmu, kita kena bergaul dengan semua orang kerana pergaulan itu salah satu proses belajar.


“Saya melihat proses belajar tak semestinya dalam kelas…pergaulan dengan pelajar, cara kita menghormati guru, macam mana kita menguruskan diri dan sebagainya adalah proses belajar.


“Zaman sekarang adalah zaman yang anda kena kejar ilmu jika nak berjaya. Tak boleh tunggu ilmu orang bagi, kena cari dan terus cari. Jangan kerana title tadi, anak-anak semua dah rasa berjaya dalam hidup, itu salah,” kata cikgu ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]