Alih motosikal terbiar

in Edisi Selangor KL by


AMPANG – Penduduk Apartmen Pandan Villa Delux berharap pihak berkuasa dapat mengalihkan 20 motosikal yang dipercayai terbiar di kawasan kediaman mereka.


Pengerusi Perbadanan Pengurusan (MC) pangsapuri berkenaan, Soon Taik Yong, 58, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak pertengahan tahun ini.


“Sampai sekarang kami tak dapat kesan siapa pemilik motosikal ini. Saya dapat aduan, ada segelintir penduduk dakwa motosikal itu dipercayai dicuri di tempat lain kemudian dibawa ke kawasan ini.


“Sebelum ni pula, kami pernah nampak ada individu cuba curi alat gantian motosikal-motosikal ini. Kami cepat-cepat telefon polis. Tapi dia dapat lepaskan diri bila tengok polis datang,” katanya.


Sementara itu, penduduk, V Morgan berkata, ada sebahagian motosikal itu milik segelintir pelajar institut pengajian tinggi yang pernah menyewa unit kediaman di sini.


“Saya dimaklumkan MC apartmen ini mahu ambil nombor pendaftaran motosikal mereka, namun pelajar itu beri alasan hanya tinggal sementara waktu di kawasan itu dalam tempoh dua bulan.


“Kemudian mereka biarkan saja motosikal di situ selepas mereka berpindah,” katanya.


Masalah itu turut mendapat perhatian Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Ben Liew Pok Boon dan Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee ketika lawatan mereka ke pangsapuri itu, semalam.


Ben Liew berkata, pihaknya telah menerima aduan  berhubung perkara itu.


“Saya akan berbincang bersama penduduk serta menyarankan mereka buat laporan polis, salinan laporan itu akan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk tindakan lanjut,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]