Bajet 2018: Kerajaan akan rasionalisasikan perbelanjaan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – “Kerajaan akan merasionalisasikan sebahagian perbelanjaannya dalam Bajet 2018 demi mencapai hasil terbaik daripada  peruntukan yang dibelanjakan,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


“Kita akan memastikan setiap wang yang dibelanjakan kerajaan (akan membuahkan hasil) paling berkesan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutup di Forum KhazanahMegatrends 2017 di sini, hari ini.


Bagaimanapun, beliau berkata, butiran proses rasionalisasi itu masih lagi dirangka.


Mengenai cukai ke atas platform digital, beliau berkata, kerajaan masih meneliti beberapa pilihan untuk memastikan pengguna tidak akan dikenakan cukai.


“Ia bukan sahaja masalah negara ini, malah negara maju turut mengalami isu yang sama, berusaha​​​​​​​mencari kaedah bagaimana untuk mengenakan cukai ke atas semua platform digital.


“Mereka mahu mengenakan cukai ke atas platform digital dan bukan kepada pengguna,” katanya.


Terdahulu, dalam ucapannya, Johari berkata agenda ekonomi masa depan negara akan berasaskan ​​​​​​​pertumbuhan mampan dan inklusif.


Selain itu, katanya ekonomi digital akan berperanan penting dalam mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang.


“Kita sangat beruntung kerana dapat hidup dalam tempoh paling mengujakan, berada di ambang revolusi teknologi, Revolusi Perindustrian Keempat, yang pada asasnya akan mengubah cara hidup, kerja dan berinteraksi antara satu sama lain,” katanya.


Beliau berkata, era ini akan menyaksikan perubahan digital, automasi, kebangkitan ‘perkongsian ekonomi’ dan pembangunan inovasi lain yang dipacu teknologi.


Pada 2015, ekonomi digital menyumbang 17.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, hampir menepati sasaran kerajaan 18.2 peratus menjelang 2020, katanya.


“Berdasarkan angka yang menggalakkan itu, ekonomi digital sememangnya boleh berperanan sebagai pemangkin untuk meningkatkan pendapatan Malaysia kepada RM2 trilion dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang,” katanya.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada 27 Okt, 2017. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]