‘Buli, dera bukan budaya ATM’

in Semasa by


BUTTERWORTH- Tiada kompromi terhadap sebarang amalan buli atau penderaan melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Panglima ATM, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap anggota yang mengamalkan budaya buli, termasuk tindakan dibuang kerja jika didapati bersalah.


“Sudah berulang kali saya tegaskan, buli bukan budaya dalam ATM dan dalam soal ini, ATM tidak sesekali akan berkompromi malah akan mengambil tindakan tegas.


“Ini adalah satu perkara yang luar daripada kebiasaan, bukan budaya, kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan, kerana sebelum ini pun kita pernah buang anggota yang terbukti buat perkara seperti ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Ramah Mesra ATM Bersama Anggota Cedera Sempena Hari ATM Ke-84 di Pengkalan Udara Butterworth, di sini hari ini.


Ketika ditanya mengenai perkembangan kes kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Jumaat lalu, Raja Mohamed Affandi berkata, setakat ini perkara ini masih dalam siasatan.


“ATM akan sentiasa bekerjasama dalam pihak polis dalam soal ini dan sebarang perkembangan tidak dapat dinyatakan berikutan ia masih dalam siasatan,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, pihaknya mengarahkan Inspektor Jeneral Tentera untuk menyemak masalah itu daripada pelbagai sudut, termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua peringkat.


“Semakan itu akan turut mebabitkan ketiga cabang dalam ATM, sebelum ia dinilai kembali oleh Jawatankuasa Panglima,” katanya.


Jumaat lalu, dua anggota TLDM, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, maut di dalam bilik tahanan semasa menjalani latihan fizikal.


Polis mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes bunuh berdasarkan laporan bedah siasat daripada Jabatan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.


Setakat ini difahamkan lima anggota TLDM direman bagi membantu siasatan kes itu.


 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]