Empat sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

in Nasional by


PONTIAN- “Api marak begitu besar sehingga tidak dapat buat apa-apa,” kata Abdul Hadi Mohd Nasir, 24 menceritakan kembali kejadian kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Kampung Sawah Pekan Nanas, hari ini.


Kejadian pada kira-kira jam 12 tengah hari itu turut mengakibatkan sebuah kereta dan motorsikal milik keluarganya hangus.


Abdul Hadi yang sebelum itu keluar ke rumah rakannya di Pekan Nanas dikejutkan dengan panggilan telefon daripada penduduk kampung memberitahu api sedang marak di rumahnya.


Katanya, dia yang baru keluar kira-kira sejam dari rumah kemudiannya bergegas pulang.


“Sekejap sahaja api marak membakar keseluruhan rumah menyebabkan tiada apa yang dapat diselamatkan,” katanya.


Ibunya, Asma Khunaini, 52, pula berkata, dia pada mulanya seperti tidak percaya apabila seorang rakannya memberitahu berlaku kebakaran dirumahnya.


Dia yang bekerja di Pejabat Pos Pekan Nanas amat terkejut melihat rumahnya musnah dijilat api sebaik tiba di lokasi kejadian.


“Asap masih memenuhi kawasan rumah dan kelihatan barang-barang yang hangus terbakar. Mujur dua orang anak saya iaitu Abdul Hadi, 24, dan Nur Izzati, 12, tiada di rumah.


“Nur Izzati akan menduduki peperiksaan sekolah agama darjah 6 pada bulan November ini. Tetapi semua buku rujukannya sudah menjadi abu,” katanya.


Menurutnya, suaminya Mohd Nasir Abdul Rahman, 54 yang bekerja di sebuah kilang kaca di Tampoi Johor Bahru turut bergegas pulang sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian kebakaran itu.


Katanya, buat sementara waktu  dia sekeluarga akan menumpang di rumah saudara yang terletak berhampiran.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba Pekan Nanas, Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 12.11 tengahari dan bergeas ke lokasi kejadian.


“Kami tiba 12.15 tengah hari di mana ketika itu api sudah marak hampir 70 peratus, dipercayai bermula daripada bilik utama rumah yang terletak di belakang.


“Bomba ambil masa hampir setengah jam untuk memadamkan keseluruhan api. Kebakaran ini turut melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord dan sebuah motosikal Kriss.


“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]