Enam petani tanggung kerugian

in Nasional by


ALOR SETAR – Enam petani terpaksa menanggung kerugian apabila sawah padi mereka di Kampung Alor Pak Ngah, Titi Haji Idris, di sini, tenggelam akibat  banjir pada September lalu.


Petani, Mohd Harishi Ariffin, 40, berkata, sawah padi seluas 3.2 hektar diusahakan bagi musim kedua 2017 sejak beberapa bulan lepas rosak akibat ditenggelami air.


“Jika diikutkan, kami hanya tunggu masa untuk tuai padi. Tapi dugaan kami bila hujan lebat berlaku dan air naik hingga melimpah ke bendang.


“Kami hanya mampu berputih mata. Hati memang hampa sebab tak boleh buat apa-apa lagi bila sawah padi dipenuhi air dan padi tenggelam,” katanya.


Menurutnya, duit hasil tuaian padi itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarga.


Bagaimanapun, katanya, dia kini terpaksa mencari jalan lain berikutan sawah padi yang tenggelam tidak dapat diselamatkan lagi kerana telah berendam air sebanyak tiga kali untuk musim ini.


“Saya tanggung kerugian cecah RM6,000 sebab dah keluarkan duit untuk kos beli benih, baja dan upah membajak,” katanya.


Manakala, Siti Fatimah Hussain, 39, berkata, dia juga kecewa dan sedih memikirkan kerugian ditanggung selepas sawah padinya ditenggelami air.


“Walaupun bendang akak tak besar tapi kita memang harap hasil tuaian ini untuk tampung kehidupan kami anak beranak,” katanya.


Katanya, sawah padinya seluas 0.5 hektar di kawasan Alor Pak Ngah itu, didapati sudah masak dan kekuningan, sekali gus menunggu masa untuk dituai sahaja.


Bagaimanapun, katanya, banjir hampir seminggu menjejaskan sawahnya.


Katanya, dia buntu memikirkan situasi dialami dan mengharapkan nasib petani terjejas banjir mendapat perhatian sewajarnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]