Gesa polis, EAIC siasat segera

in Edisi Selangor KL by


AMPANG – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memohon Polis Diraja Malaysia dan  Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) segera menyiasat sebuah syarikat perumahan dan hartanah.


Aktivis PPIM, Yusuf Azmi berkata, pihaknya turut menggesa semua mangsa syarikat perumahan dan hartanah itu tampil memberi kenyataan dan membantu siasatan pihak berkuasa.


“Mereka juga boleh memberi bukti bagi membantu siasatan polis untuk tindakan lanjut. Kita bukan berasa seronok pun jika individu ini ditangkap, namun ia dapat menjadi pengajaran kepada sindiket lain yang ada di Negara ini,” katanya.


Beliau berkata, EAIC turut melakukan risikan ke atas syarikat perumahan dan hartanah itu.


“Kita telah menyerahkan aduan mangsa kepada EAIC, mereka juga akan melakukan siasatan mencari punca dan membuktikan modus operandi kumpulan ini,” katanya.


Yusuf berkata, syarikat perumahan dan hartanah itu perlu menyiapkan segera lebih 400 rumah.


“Siapa yang akan bertanggungjawab jika masalah timbul sudah tentu polis dan PPIM akan menerima aduan lagi.”


“Apa yang kita lakukan ini hanya untuk kebaikan ummah, kita tidak pernah menjatuhkan maruah pemilik syarikat itu,” katanya.


Menurutnya, PPIM sudi meminta maaf sekiranya mendapati syarikat tersebut tidak bersalah.


“Kita juga sudi menolong mempromosikan perniagaan syarikat berkenaan jika ia sah dan aktiviti perumahan itu betul,” katanya kepada media ketika ‘hadir’ dan tidak dibenarkan masuk dalam sidang media yang diadakan oleh sebuah syarikat perumahan dan hartanah, di sini, semalam.


Sementara itu, wakil peguam PPIM, Datuk Hishamuddin Hashim yang turut hadir memberitahu PPIM ‘hadir’ ke sidang media syarikat perumahan dan hartanah itu bukan mahu membuat provokasi.


“Kita dimaklumkan sidang media itu mahu mencari kebenaran. Saya menjangkakan dapat berjumpa dengan kontraktor dan arkitek serta mendapat penjelasan mengenai kos bahan, pekerja, margin keuntungan. Ini soalan yang akan ditanya, bukan mahu provokasi. Jawapan yang kami dapat adalah itu adalah rahsia syarikat,” katanya.


Menurutnya, ketika pertemuan dengan pemilik syarikat itu sebelum ini,  pihaknya memohon maklumat dan laporan lengkap berkaitan projek perumahan dengan harga RM50,000.


“Kami juga memohon syarikat berkenaan menangguhkan segala promosi sehingga PPIM menerima maklumat dan laporan daripada syarikat itu,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]