KPDNKK rampas barang tiruan bernilai RM385,520

in Nasional by


SENAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor Bahru merampas 5,230 unit barangan berupa kasut, sandal dan pakaian disyaki tiruan bernilai RM385,520 dalam serbuan di tiga premis sebuah pasaraya di Skudai, semalam.


Pengarah KPDNKK negeri, Khairul Anwar Bachok berkata, serbuan pada 2 petang oleh 25 anggota penguatkuasa yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Nazari Ham adalah hasil risikan selama sebulan setelah mendapat maklumat daripada orang ramai.


“Ketika pemeriksaan, dua premis sedang beroperasi menjalankan perniagaan barangan tiruan tersebut dan siasatan lanjut mendapati sebuah lagi premis yang tidak beroperasi itu adalah stor atau gudang yang menempatkan barangan tiruan mereka.


“Kami percaya barangan ini adalah untuk diedarkan bagi pasaran di seluruh Johor membabitkan pasar malam, pasar borong dan kedai-kedai kecil yang menjual barang tiruan.


“Barangan tiruan dari jenama Adidas, Nike dan Converse ini dijual pada kadar harga antara RM30 hingga RM100 bergantung pada jenis dan kualiti barangan tersebut,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Stor Ekshibit KPDNKK Senai di Taman Perindustrian Idaman, di sini, hari ini.


Khairul Anwar berkata, dua pemilik premis yang diambil tindakan iaitu seorang wanita berumur 55 tahun dan seorang lelaki berumur 41 tahun telah menjalankan perniagaan tersebut sekitar tiga tahun.


“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti sumber bekalan barangan ini diperolehi.


“Kami percaya rampasan yang terbesar pada tahun ini di Johor ini dapat melumpuhkan aktiviti penjualan dan pengedaran barang tiruan di negeri ini,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi sama ke atas mana-mana premis yang menjual barang tiruan jenama berkenaan termasuk premis-premis yang menjual barang cetak rompak pada masa akan datang.


“Oleh itu, dinasihatkan peniaga-peniaga supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan serta tidak terbabit dalam menjalankan aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan.


“Pengguna juga turut dinasihatkan supaya berhati-hati dalam membuat pembelian ke atas barangan yang terdapat di dalam pasaran,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]