Lagi nelayan asing ceroboh perairan Terengganu

in Nasional by


KUALA TERENGGANU – Tidak sampai dua minggu, perairan Terengganu sekali lagi dicerobohi nelayan asing susulan penahanan dua bot nelayan Vietnam membabitkan rampasan bernilai RM3 juta, kira-kira 100 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, semalam.


Dalam tangkapan kira-kira jam 6.20 pagi dan 7.15 pagi itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) turut menahan 18 nelayan Vietnam yang berusia antara 19 hingga 60 tahun.


Pengarah Maritim DM9 Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, kehadiran dua bot yang berada di kedudukan berbeza itu disedari kapal Maritim yang sedang menjalankan Operasi Perkasa Timur dan Operasi Marikh.


Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, nelayan asing itu cuba melarikan diri, namun cubaan mereka gagal, sebelum ditahan dan pemeriksaan terhadap bot pertama mendapati 13 nelayan Vietnam termasuk tekong manakala lima lagi dalam bot kedua.


“Pemeriksaan selanjutnya mendapati kedua-dua bot ini tidak mempunyai sebarang lesen serta permit yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara, selain itu sebahagian mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.


“Hasil tangkapan dianggarkan lebih kurang lima tan ikan baja, 100 kilogram ikan campur dan anggaran 22,000 liter minyak diesel dengan rampasan dianggarkan mencecah RM3 juta.


“Semua yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam sidang media di pejabat Maritim di Kuala Terengganu, di sini, hari ini.


Sebelum ini, tiga tangkapan berjaya dilakukan iaitu pada 2 Ogos, 4 September dan 21 September lalu di perairan Terengganu.


Rahim berkata, pencerobohan yang kerap oleh bot nelayan asing terutama dari Vietnam di perairan negara ini adalah berpunca daripada kepupusan ikan di perairan negara mereka akibat tiada pengawalan sistem penangkapan ikan.


“Disebabkan tidak menghalang rupa bentuk pukat dan kaedah menangkap ikan di negara mereka yang boleh menyebabkan kepupusan benih-benih ikan daripada terus membiak.


“Jadi, jika tiada penguatkuasaan yang dilakukan di perairan kita, saya bimbang suatu hari nanti kita juga menghadapi masalah sama kerana nelayan Vietnam menggunakan kaedah menangkap ikan secara tunda ganding.


“Kaedah itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan tempatan tetapi juga dipercayai boleh menjadi punca kerosakan terumbu karang,” katanya.


Jelasnya, bukan itu sahaja, bot nelayan asing dipercayai mengadakan transaksi di tengah laut bagi membolehkan mereka mengaut keuntungan daripada hasil laut negara.


“Kita percaya ada kapal induk yang mengambil hasil serta bekalan, sebelum hasil laut dihantar ke negara asal mereka.


“Susulan itu, Maritim sentiasa membuat rondaan, pemantauan di sempadan perairan dan dalam masa sama meminta masyarakat lebih-lebih lagi komuniti laut dapat bekerjasama dengan menyalurkan maklumat dalam menangani isu jenayah maritim serta keselamatan di laut,” katanya.


Jika berlaku sebarang kejadian, boleh hubungi terus melalui talian MERS 999 atau 09-6224357 Pusat Operasi (PUSOP) DM9 Terengganu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]