Lapor pihak berkuasa, bukan buat 'drama'

in Nasional by


SHAH ALAM – Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepatutnya melaporkan dakwaan mengenai cubaan untuk ‘membelinya’ dengan nilai RM5 juta untuk meninggalkan parti kepada pihak berkuasa.


Ini kerana menurut Pengerusi Alumni Kelab-Kelab Umno Luar Negara, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan,sebaliknya beliau membuat hebahan media sekaligus, dilihat hanya membuat propaganda demi meraih publisiti murahan untuk kelangsungan politik.


Tambahnya lagi, Syed Saddiq juga sepatutnya membuat pendedahan secara umum berkenaan identiti pihak yang menawarkan sejumlah wang yang besar itu.


“Tindakan ini dilihat sebagai strategi terdesak Bersatu bagi mendapatkan sokongan pengundi-pengundi muda yang menyokong kepimpinan  Dato Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Wujud rangkaian dedak sistematik: Syed Saddiq ]


Semalam, Syed Saddiq dalam sidang medianya mendedahkan bahawa wujud rangkaian dedak yang sistematik supaya beliau keluar daripada Bersatu.


Menurutnya, gerakan itu dilakukan sejak tahun lalu, supaya beliau mengikut tindakan beberapa kepimpinan tertinggi Bersatu yang meninggalkan parti itu.


Syed Saddiq mendakwa bahawa pihak tersebut menawarkan geran berjumlah RM5 juta untuk membuka sekolah debat di seluruh negara.


Syed Saddiq berkata, beliau mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaannya itu dan akan mendedahkannya kepada kepimpinan parti dalam masa terdekat.


Mengulas lanjut, Wan Md Hazlin Agyl menggesa khalayak umum agar mengambil pendekatan “Khabar jauh didengar-dengar, Khabar dekat difikir-fikir” dan menolak budaya fitnah daripada terus menular meresapi keperibadian masyarakat Malaysia.


“Seharusnya perdebatan dan perbincangan matang berkenaan polisi-polisi negara menjadi tumpuan berbanding cakap-cakap kosong sebegini bagi tujuan meraih populariti politik,” katanya.


Katanya lagi, rakyat Malaysia tidak mudah ditipu dan terpengaruh, serta bijak menilai berita-berita daripada parti pemerintah mahupun pembangkang.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]