Naib Presiden Ecuador dipenjara sebelum perbicaraan

in Nasional by


QUITO – ECUADOR. Naib Presiden Ecuador Jorge Glas pada Isnin berkata beliau menerima ”dengan bantahan’ keputusan mahkamah tertinggi di negara itu, yang memerintahkannya diletak di bawah tahanan pencegahan sementara menunggu kemungkinan didakwa atas tuduhan rasuah.


“Tanpa bukti dan dengan dokumen palsu…saya akan merayu kepada pihak berkuasa di peringkat nasional dan antarabangsa untuk mempertahankan diri saya,” katanya di Twitter selepas mengetahui keputusan itu.


Perintah mahkamah itu turut terpakai kepada bapa saudara Glas iaitu Ricardo Rivera, yang dikenakan penahanan dalam rumah berhubung siasatan kes rasuah yang didakwa dibayar oleh syarikat pembinaan gergasi Brazil iaitu Odebrecht untuk mendapatkan kontrak kerja awam atau infrastruktur.


Menurut peguamnya, Franco Loor, Glas tidak bercadang untuk melepaskan jawatan sebagai naib presiden.


Mahkamah membuat keputusan itu beberapa jam selepas menerima permohonan daripada Peguam Negara Carlos Baca.


Sepanjang tempoh antara permohonan dan keputusan berhubung perkara itu dibuat, Glas menyelar idea bahawa beliau berisiko melarikan diri serta mencabar pihak pendakwaan mendedahkan bukti yang dimiliki terhadapnya.


“Jangan bimbang, anda tidak perlu mencari saya, saya sentiasa berada di tempat biasa. Saya tidak akan melarikan diri. Orang yang tidak bersalah tidak pernah melarikan diri,” tulis Glas di Twitter.


Naib presiden itu turut merujuk kepada pendapat peguam dan hakim, termasuk musuh politiknya, dan berpendapat bahawa permohonan untuk meletakkan beliau di bawah penahanan pencegahan dalam kes ini adalah satu “penyimpangan kehakiman.”


“Apa lagi bukti yang anda mahukan bagi menunjukkan bahawa ini bukanlah proses kehakiman sebaliknya bermotifkan politik?” kata Glas.


Presiden Lenin Moreno menggantung tugas Glas dalam bulan Ogos selepas naib presiden itu mengkritik beberapa polisi ketua negara Ecuador berkenaan.


[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Naib Presiden Ecuador dituduh terlibat rasuah]


Glas, yang turut menyandang jawatan naib presiden di bawah Presiden Rafael Correa, menuduh Moreno cuba menghapuskan legasi pentadbiran pemimpin terdahulu bagi tempoh 2007-2017. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]