Nama tiada kaitan alam semula jadi

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – Dilahirkan di perkampungan Orang Asli, ramai yang menyangka kehidupannya yang dengan persekitaran dan alam semula jadi, menyebabkan dia dinamakan Alam.


Namun, andaian itu nyata meleset, malah Alam Suhut, 63, dia sendiri tidak tahu mengapa nama itu dipilih oleh ibu bapanya.


“Ia memang tiada kaitan dengan kehidupan kami yang berada dekat dengan alam semula jadi.


“Mungkin bersempena nama Tok Batin kami, iaitu Segentar Alam. Perkataan ‘alam’ diambil mungkin untuk menjadikan saya insan yang lebih bagus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perkampungan Orang Asli Kampung Tering, Johol.


Kongsi Alam, mungkin kerana namanya itu, aura alam begitu dekat dengannya sehingga dilantik sebagai Tok Batin Mukim Johol pada 1993 sehingga kini.


“Saya tidak terbeban untuk membawa  nama Alam ini ke mana sahaja kerana nama ini pendorong untuk saya berjaya dalam kehidupan,” kongsinya.


Lulusan universiti


Menurut graduan dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM) tahun 1973 ini, dia pernah diejek dan dipermainkan oleh rakan sekolahnya kerana asal usulnya dari masyarakat Orang Asli dan bukan kerana namanya.


“Dulu biasalah, masa budak-budak, ejek-mengejek, gurau senda, adalah perkara biasa. Memang waktu kecil dulu, saya sering diejek oleh rakan-rakan, mereka memberitahu, saya tidak akan ke mana-mana.


“Bila tamat persekolahan, saya akan bantu keluarga bercucuk tanam atau mencari hasil hutan untuk menyara keluarga.


“Saya pada mulanya memang marah bila dengar mereka berkata sedemikian, tetapi bila difikirkan balik, ia tidak ke mana. Saya pegang kata-kata, biarlah orang mahu mengata, asalkan saya tahu apa yang saya lakukan dan impikan,” katanya.

Alam menunjukkan ijazah bimbingan dan kauseling yang diperolehi dari UPM.


Bukti Orang Asli boleh berjaya


Ternyata, ejekan dari rakan-rakan mahupun guru tidak pernah mematahkan semangat Alam.


Malah ia menjadi pembakar semangat buatnya sehingga menjadi Orang Asli pertama di Malaysia memegang segulung ijazah dari UPM dan berjaya melanjutkan pelajaran di maktab perguruan di Johor Bahru.


“Selama dua tahun melanjutkan pelajaran, saya ke sekolah di Terengganu untuk mendidik anak bangsa dalam semua subjek kecuali agama Islam.


“Selama lima tahun berkhidmat di Terengganu, saya pulang ke Negeri Sembilan, kemudian ke Perak. Dan menimba pengalaman sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Keningau Sabah.


“Setelah itu, saya kembali ke Negeri Sembilan dan mengajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Muhammad dan di SMK Dangi sehingga bersara pada 2010,” katanya.


Menurut Alam, Orang Asli Alam tidak harus merendah diri dan kini terbukti masyarakat itu juga berjaya menjejak kaki ke menara gading dan menjawat jawatan profesional walau bukan dari keluarga yang senang.


“Suka saya menasihatkan anak-anak, cucu serta anak buah di kampung ini, agar mengejar impian menerusi pelajaran.


“Tanpa pelajaran, kita tak akan ke mana-mana, melainkan ada ilmu kemahiran. Bagaimanapun jua, pelajaran amat penting, jika dicampak ke mana sahaja, kita mampu meneruskan kehidupan tanpa mengharapkan bantuan orang lain,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]