Nur Amirull gagal sarung jersi kuning

in Nasional by


WALAUPUN memenangi peringkat pertama Jelajah Malaysia 2017 (JM2017), pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki gagal menjadi pelumba terbaik keseluruhan (jersi kuning) atas kesilapan sendiri.


Pelumba berusia 25 tahun berasal dari Terengganu itu, yang memenangi perlumbaan dari Shah Alam ke Hutan Melintang di sini sejauh 161.9km dengan catatan tiga jam 52 minit dan 46 saat, gagal meraih jersi kuning kerana melanggar peraturan perlumbaan dengan mengekori rapat kereta teknikal.


Beliau dikenakan denda CHF50 (lebih kurang RM217) dan penalti tambahan masa 20 saat bagi kesalahan itu, sekali gus menyaksikan pelumba di tempat kedua, Abdul Gani dari pasukan KFC Cycling Team mewakili Indonesia, yang turut menamatkan pelumbaan dengan masa yang sama, menyarung jersi itu.


Terdahulu, ketua juri memutuskan 24 pelumba yang menamatkan perlumbaan dalam kelompok pertama, dihadiahkan catatan masa sama, iaitu 3:52:46s.


“Tadi ketika 18 kilometer terakhir, tayar belakang saya pancit, maka saya mengekori kereta  pasukan  sehingga ke pelumba terakhir. Tak lama, kurang daripada tiga minit, baharu saya tahu ia merupakan satu kesalahan.


“Memang salah saya kerana tidak membaca peraturan perlumbaan dengan jelas. Ada empat hari lagi, saya akan cuba buat yang terbaik untuk kejar balik jersi kuning itu,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah di Bangunan UMNO Bagan Datuk di sini, hari ini.


Bagaimanapun, Nur Amirull Fakhruddin yang menyertai jelajah itu buat kali ketiga mendahului saingan untuk gelaran Raja Pecut (jersi hijau) selepas meraih 26 mata, mengatasi Abdul dan rakan senegaranya, Aiman Cahyadi dari pasukan Team Sapura Cycling yang berkongsi 12 mata daripada tiga zon pecutan di Kuala Selangor, Sekinchan dan Sungai Besar.


Sementara itu, Abdul, 25, yang turut meraih gelaran Raja Bukit (jersi Polka-Dot) bagi perlumbaan hari ini yang mempunyai tiga zon pecutan di Puncak Perdana, Batu Arang dan Monkey Hill, mahu mempertahankan jersi kuningnya sehingga ke peringkat terakhir di Alor Setar, Sabtu ini.


“Saya tahu bukan mudah untuk mempertahankan jersi yang menjadi rebutan semua pelumba, tetapi saya dan pasukan saya akan cuba sedaya upaya untuk mempertahankan jersi ini,” katanya.


Gelaran pelumba terbaik Malaysia (jersi merah) menjadi milik Muhammad Zawawi Azman dari pasukan Team Sapura Cycling, yang turut mencatatkan masa sama.


Peringkat kedua esok sejauh 145.3km dari Lumut ke Kuala Kurau, meliputi tiga zon pecutan di Pantai Remis, Trong dan Bagan Serai.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]