Pegawai bank mengaku salah pecah amanah RM2 juta

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Seorang pegawai eksekutif bank dikenakan penjara empat tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan pecah amanah terhadap barangan gadaian emas pelanggan membabitkan nilai kira-kira RM2.06 juta.


Tertuduh, Mohd Nazreen Mohd Nasir, 28 sebagai pegawai eksekutif unit pentadbiran pembiayaan sebuah institusi kewangan yang diamanahkan dengan harta berupa barang kemas hasil dari gadaian pelanggan bernilai RM2,064,360 didakwa melakukan pecah amanah ke atas harta berkenaan.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 28 Mac hingga 6 September tahun ini di cawangan sebuah institusi kewangan di Menara Ansar, di sini.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dan sebat dan boleh didenda.


Mohd Nazrin yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya dan merayu kepada mahkamah agar menjatuhkan hukuman ringan kerana perlu menanggung seorang isteri serta anak yang masih kecil selain turut menyara ibu dan bapa mertua.


Muhammad Syafiq bagaimanapun memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat selain ia turut melibatkan kerugian besar kepada banyak pihak.


Majistret Noor Aisyah Ahmad menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun ke atas tertuduh dari tarikh dia ditangkap serta dengan tiga sebatan.


Terdahulu, bapa kepada seorang anak itu ditahan pada kira-kira jam 11.30 malam, 28 September lalu selepas pihak polis menerima laporan berkaitan penyelewengan emas di sebuah institusi kewangan di bandaraya ini.


Polis berjaya menemui dan merampas barangan kemas bernilai hampir RM2 juta yang telah digadai oleh tertuduh di premis pajak gadai dan institusi kewangan sekitar Johor Bahru dan Melaka.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]