Perluas projek Sweet Latas

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu melalui Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) telah melancarkan projek penanaman ubi keledek yang dikenali sebagai ‘Sweet Latas’.


Pengerusi LATAS Pas Terengganu, Saharizukirnain Abdul Kadir berkata, projek penanaman berkenaan dilaksanakan di Pusu Tiga, Kuala Nerus, yang merupakan projek perintis dalam usaha mengembangkan tanaman ubi tersebut yang boleh memberi banyak manfaat kepada orang ramai.


Menurutnya, benih ubi keledek tersebut berasal dari Bandung dan diberi nama sempena Latas itu akan diperluaskan ke tempat-tempat lain pada masa akan datang.


“Ini merupakan projek perintis di Pusu Tiga yang belum ada lagi di tempat-tempat lain. Kita akan kembangkan ke seluruh negeri dan juga negara. Jadi penanaman ubi jenis ini di Pusu Tiga merupakan satu projek yang berjaya,” katanya.


Saharizukirnain berkata,  industri pertanian termasuk penanaman Sweet Latas mampu menjana keuntungan dan pendapatan lumayan sekiranya dijalankan secara komersial dan dilaksanakan secara komited.


Lebih-lebih lagi katanya, Sweet Latas mempunyai keistimewaan tersendiri kerana kelainan dari segi rasa yang lebih sedap berbanding ubi keledek lain.


Jelasnya, dari segi pembuatan kuih-muih berasaskan ubi keledek, Sweet Latas juga lebih mudah diproses.


“Alhamdulillah setakat yang kita dapat maklumat daripada pengusaha menyatakan bahawa ubi ini mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi daripada penduduk sekitar. Juga dikatakan ubi ini mempunyai kelainan berbanding dengan ubi keledek biasa yang kita tanam di Malaysia sebelum ini,” katanya.


Dalam perkembangan lain katanya, LATAS turut berperanan dalam mewujudkan beberapa projek perintis lain dalam usaha mengembangkan industri pertanian.


Jelasnya, golongan muda digalakkan menyertai industri pertanian dan bukan hanya melihat kepada industri perkilangan semata-mata kerana pertanian mampu melangkah jauh setanding industri-industri lain dan ia terbukti melalui industri dan teknologi pertanian di Thailand.


“Hari ini kita dapati negara kita banyak mengimport makanan dari negara Thailand yang mana mereka telah mengambil satu tindakan yang proaktif dalam menggerakkan aktiviti pertanian di sana,” jelasnya.


Di pihak kerajaan katanya, pihak terlibat perlu memainkan peranan menyediakan tanah sesuai bukan hanya membangunkan program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) namun mengambil kira keluasan serta penyertaan petani-petani kecil.


“Kita harap kerajaan negeri menyediakan kawasan pertanian untuk yang berminat dalam sektor ini untuk sama-sama turut menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]