Permohonan bantuan sekolah atas talian dibuka

in Nasional by


KUALA TERENGGANU –  Permohonan bantuan sesi persekolahan 2018 akan dibuka secara atas talian bermula 5 sehingga 31 Oktober ini melalui laman sesawang danattb.terengganu.gov.my.


Exco Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang berkata, syarat permohonan bagi pendapatan keluarga daripada RM2,000 sebelum ini, dinaikkan kepada RM2,500 ke bawah dan setiap pelajar layak menerima RM100 dengan maksimum dua pelajar setiap keluarga.


Menurutnya, bagi tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM14 juta untuk diagihkan kepada lebih 120,000 pelajar pada Disember atau sebelum sesi persekolahan 2018 bermula.


Katanya, peruntukan RM12 juta tahun lalu, melibatkan 109,880 pelajar meningkat kepada RM14 juta tahun ini.


“Ia antara usaha kerajaan Terengganu membantu meringankan beban keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persediaan setiap kali tibanya  musim persekolahan baharu.


“Manakala RM9.5 juta diperuntukkan kepada 94,966 pelajar pada 2014, RM10.2 juta, 101,984 pelajar (2015) dan sejumlah RM10.4 juta diagihkan kepada 104,021 pelajar pada 2016.


“Bantuan akan diagih mengikut kawasan Dun melalui wakil rakyat atau pegawai pembangunan parlimen di kawasan terlibat,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.


Beliau berkata, bantuan yang memasuki tahun ke-13 pelaksanaan sejak 2005 hingga tahun lalu itu diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, dengan membeli kelengkapan sekolah, alat tulis dan bukannya berbelanja kepada perkara tidak berfaedah.


“Seboleh-bolehnya saya mahu melihat anak-anak yang mendapat bantuan ini mengenakan pakaian baharu pada sesi persekolahan akan datang.


“Tidak wajar sekiranya ibu bapa memberi alasan tidak berduit untuk beli pakaian baharu kerana bantuan sudah diberi,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]