
SINTOK – “Rakyat Malaysia dan Indonesia perlu bekerja keras mencari ilmu dan menggunakan teknologi ke arah kemajuan bangsa dan kehidupan lebih baik,” kata Pengasas Universitas Bakrie, Aburizal Bakrie.
Aburizal berkata, rakyat Malaysia dan Indonesia tidak boleh bergantung terhadap pemerintah semata-mata.
“Pemerintah bukan segala- galanya, dia hanya memberikan arahan, rakyat yang perlu berani mengambil tindakan.
“Kalau kita berfikir selalu dan menggunakan ilmu pengetahuan serta teknologi, maka segala cabaran akan dapat dilalui dalam mewujudkan kesejahteraan kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Kuliah Umum Hubungan Malaysia-Indonesia: Membangun Sinergi Dari Bisnes, Pendidikan, dan Sumber Daya Manusia di EDC Hotel & Resorts, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, dan Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar.
Aburizal berkata, Universiti Utara Malaysia(UUM) dan Universitas Bakrie juga perlu selalu bekerjasama dalam usaha membina kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.
Sementara itu, Naib Canselor UUM Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, kuliah umum disampaikan oleh Aburizal mempunyai impak yang tinggi bukan sahaja dalam konteks hubungan Malaysia-Indonesia sebagai negara serumpun, tetapi juga bagi UUM sebagai institusi pengajian tinggi yang mempunyai visi ‘Menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka’.
Katanya, pelajar dan pensyarah, berpeluang untuk mendengar sendiri tentang cara-cara, panduan, bahkan strategi untuk menjadi usahawan yang berjaya.
Beliau berkata, dengan demikian pelajar tidak hanya memahami teori-teori perniagaan sahaja, tetapi juga melihat langsung dari aspek dunia perniagaan yang nyata dan dinamik, termasuk belajar daripada pengalaman tokoh berjaya.
“Aburizal yang lebih dikenali sebagai Pak Ical, dikenali sebagai tokoh usahawan yang berjaya bukan sahaja Indonesia, tapi di Asia Tenggara dan merupakan ahli politik terkemuka di negara itu.
“Kuliah umum berkenaan mampu memberikan inspirasi dan memotivasi semua pelajar, pensyarah, dan ‘stakeholder’ UUM untuk memperoleh kejayaan kerana sebagai tokoh usahawan terkemuka, Pak Ical telah mengalami pasang surut dalam kerjayanya.
“Di sinilah pentingnya kuliah umum Pak Ical kerana sebagai tokoh usahawan terkemuka, tidak diperoleh semata-mata melalui teori-teori yang dipelajari ketika menjadi menjadi pelajar di ITB (Institut Teknologi Bandung), tetapi dari pengalaman dan terjun langsung ke dunia perniagaan dengan segala suka dukanya,” katanya.
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]