Ramai pemandu teksi, uber, grab belum carum Perkeso

in Nasional by


ALOR SETAR – Masih ramai pemandu teksi, uber, dan grab  di negeri ini tidak mencarum di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).


Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, dan Sumber Tenaga Manusia,  Datuk Norsabrina  Mohd Noor berkata, sejak skim itu dilancarkan pada 1 Jun lalu (2017), hanya terdapat 10 pemandu teksi di Alor Setar dan Langkawi telah mencarum manakala pemandu uber serta grab belum berbuat demikian.


“Saya ingin meminta kepada pemandu teksi, grab dan uber yang bekerja sendiri, datanglah ke pejabat Perkeso di daerah masing-masing atau menghubungi pejabat di daerah terdekat untuk mendaftar dan mencarum segera kerana faedahnya banyak.


“Mereka yang mencarum boleh menikmati faedah hasil caruman jika berlaku kemalangan sewaktu bekerja dengan menggantikan pendapatan mereka sehingga hilang upaya sementara atau hilang upaya kekal, malah jika meninggal dunia disebabkan kemalangan itu, isteri atau waris akan menikmati faedah secara bulanan serendah RM950 sebulan sepanjang hayat atau sehingga anak berusia 21 tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Perasmian Seminar Perlindungan Keselamatan Sosial 2017 di Wisma Perkeso Kedah di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengarah Perkeso Kedah, Basharudin Khalid.


Skim di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang memberi perlindungan kepada pencarum selama 12 bulan merangkumi  faedah tunai kepada pemandu teksi dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.


Norsabrina berkata pelbagai program diadakan oleh Perkeso untuk memberi kesedaran kepada golongan tersebut, namun sehingga kini ia masih gagal meningkatkan penyertaan pencarum.


“Kegagalan untuk mencarum bukanlah mereka tidak mendapat maklumat tetapi mereka mengambil sikap tunggu dan lihat dan tidak yakin dengan faedah yang ditawarkan Perkeso,” katanya.


Beliau berkata, pihak Perkeso juga telah mengadakan pertemuan dan taklimat dengan pihak persatuan teksi dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) bagi menyampaikan mesej tersebut.


“Jika mereka merasakan susah untuk membuat bayaran menerusi bank, atau online, Perkeso sedia menemui mereka untuk membantu mendaftar dan mencarum , mereka tidak ada alasan lagi untuk tidak berbuat demikian,” katanya dan menambah nilai caruman setahun hanya melibatkan RM157.20 sen. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]