Sambut baik langkah atur lawatan wakil PBB ke Rakhine

in Nasional by


PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyambut baik langkah kerajaan Myanmar mengatur lawatan tiga wakil badan dunia itu ke Rakhine di mana berlakunya insiden pengusiran beramai-ramai etnik Rohingya yang telah mencetus kebimbangan masyarakat antarabangsa, lapor agensi berita China Xinhua.


“Ini adalah satu langkah positif dan PBB di Myanmar percaya ia dapat membantu usaha kami untuk mencari jalan bagaimana PBB boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar bagi meringankan beban yang terpaksa ditanggung berikutan situasi meruncing di utara Rakhine,” kata Farhan Haq, timbalan jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.


Tiga wakil PBB yang mengambil bahagian dalam lawatan ke lokasi itu ialah penyelaras residen di Myanmar Renata Lok-Dessallien, wakil Program Makanan Dunia merangkap wakil timbalan penyelaras kemanusiaan Domenico Scalpelli dan pegawai kanan Agensi Pelarian PBB Cecile Fradot, kata Haq dalam satu taklimat harian.


Susulan lawatan itu, PBB berharap dapat memperkukuh kepercayaan serta kerjasama dengan semua komuniti dan kerajaan Myanmar, katanya.


“Ini penting dalam menangani punca utama dan menetapkan hala tuju yang mampan ke arah keamanan dan kemakmuran semua penduduk di negeri Rakhine, tanpa mengira etnik, agama atau status kewarganegaraan.”


Ditanya sama ada para pegawai PBB telah melihat kemusnahan yang berlaku di utara negeri Rakhine, Haq berkata badan dunia itu sedang menunggu laporan berhubung perkara tersebut.


Beliau berkata PBB siap siaga untuk memberikan sokongan penuhnya kepada pihak berkuasa sebagai maklum balas terhadap krisis kemanusiaan dan hak asasi manusia di utara Rakhine.


Lebih setengah juta penduduk etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar dan mencari perlindungan di negara jiran iaitu Bangladesh sejak pertempuran meletus pada 25 Ogos antara pasukan keselamatan Myanmar dengan Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA) di utara Rakhine.


Rohingya, etnik minoriti kebanyakannya beragama Islam tinggal di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha, telah dinafikan hak untuk mendapatkan kewarganegaraan di bawah undang-undang kewarganegaraan Myanmar 1982.


Kerajaan Myanmar mengiktiraf mereka sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh.


Haq mengulangi gesaan Guterres kepada pihak berkuasa Myanmar untuk menghentikan operasi ketenteraan, membenarkan akses tanpa sekatan untuk bantuan kemanusiaan serta memastikan keselamatan, kesukarelaan dan kelestarian kepulangan pelarian ke kampung halaman mereka. –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]