Solat Jumaat tidak sah: Mufti

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Status solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Rawa, di sini, pada 11 Ogos lalu diputuskan sebagai tidak sah kerana tidak memenuhi rukun khutbah mengikut Qaul Muktamad Mazhab Al-Syafie.


Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati khutbah yang disampaikan oleh khatib jemputan di masjid itu tidak berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, tidak menyebut bertakwa kepada ALLAH dan tidak membaca doa untuk umat Islam.


“Pihak Masjid Jamek Kampung Rawa telah memohon pandangan saya mengenai perkara tersebut dalam surat bertarikh 17 Ogos 2017 menerusi pegawai tadbir agama daerah Timur Laut.


“Rakaman video juga telah diperlihatkan dan diperdengarkan kepada pegawai tadbir agama daerah berkenaan dan penolongnya. Perlu diperjelaskan bahawa fokus diberikan kepada khutbah yang disampaikan, bukan kepada khatib terbabit,” katanya, semalam.


 Menurutnya, keputusan itu dibuat mengikut Qaul Muktamad Mazhab Al-Syafie seperti mana yang dikehendaki oleh Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang.


 Terdahulu, Wan Salim dalam satu surat rasmi kepada pihak masjid berkenaan bertarikh 17 September menjelaskan bahawa solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Rawa pada 11 Ogos lalu adalah tidak sah mengikut hukum syarak.


Menurut Qaul Muktamad Mazhab Al-Syafie tiga rukun iaitu memuji ALLAH, selawat ke atas Nabi dan pesan takwa hendaklah dibaca pada kedua-dua khutbah Jumaat, selain dua rukun lagi iaitu membaca satu ayat daripada al-Quran pada salah satu daripada dua khutbah dan berdoa untuk orang mukmin.


Sehubungan itu, pihak Masjid Jamek Kampung Rawa perlu mengisytiharkan kepada seluruh jemaah yang telah melaksanakan solat Jumaat pada tarikh berkenaan supaya melaksanakan solat qadha fardu Zohor.


Sementara itu, tinjauan di masjid berkenaan mendapati satu notis pemakluman mengenai perkara itu telah dipamerkan di papan kenyataan masjid berkenaan.


Surat yang ditandatangani Pengerusi Qaryah Masjid Jamek Kampung Rawa, Ahmad Azhari Hamzah memaklumkan bahawa khutbah yang disampaikan oleh khatib jemputan iaitu Zamri Vinod pada 11 Ogos lalu di masjid berkenaan adalah tidak memenuhi rukun khutbah mengikut Qaul Muktamad Mazhab Al-Syafie.


“Maka dengan ini, saya mengisytiharkan bahawa seluruh para jemaah yang melaksanakan solat Jumaat pada tarikh berkenaan supaya melaksanakan solat qadha fardu Zohor dengan seberapa segera,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]