Viral saman rokok tidak benar

in Edisi by


KOTA BHARU- Kerajaan Negeri Kelantan menafikan kenyataan kononnya saman merokok di kawasan Pasar Siti Khadijah dan berhampirannya sudah pun dikuat kuasa sedangkan ia tidak benar, sebaliknya pendekatan pendidikan dilakukan pada masa ini.


Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, beliau yang mewakili Pengerusi Jawatankuasanya, Datuk Dr Ramli Mamat menyangkal tular tersebut.


“Kenyataan yang diviralkan itu tidak tepat dan tidak benar sama sekali, sebaliknya pihak kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Negeri Kelantan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak 2014/2015 memperkenalkan program yang dinamakan Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR).


“Untuk peringkat pertama sehingga Disember tahun ini, kerajaan negeri dan beberapa pihak berkaitan mengambil pendekatan kefahaman, pendidikan dan penerangan bagi membolehkan orang ramai faham sebelum pelaksanaan saman dijalankan tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Pada 23 September lalu, Sinar Harian melaporkan pengumuman yang dilakukan oleh Dr Ramli terhadap pewartaan kepada 24 kawasan IKBAR, malah semasa pengumuman berkenaan, beliau mengingatkan saman kompaun tidak dilaksanakan sehingga pada Januari 2018.


Nasruddin berkata, pada bulan Oktober ini, pihkanya bersama Jabatan Kesihatan hanya mengeluakan notis bagi kawasan terpilih atau disebut sebagai saman pendidikan.


“Tidak  timbul isu, malah Majlis Perbadaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI) tidak pernah mengeluarkan saman kompaun sebagaimana yang diviralkan.


“Bahkan, inspektor kesihatan (IK) juga adalah daripada Pejabat Kesihatan Negeri Kelantan, manakala wakil MPKB-BRI hanya beberapa orang sahaja mempunyai kuasa mengeluarkan saman notis pendidikan,” katanya.


Nasruddin berkata, pewartaan kawasan larangan merokok  itu bertujuan melindungi masyarakat daripada bahaya asap rokok.


Kata beliau, usahha itu juga  turut membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan rakyat Kelantan dengan mengehadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutama di kawasan tumpuan awam.


“Program ini melindungi orang tidak merokok untuk mendapat hak menikmati udara segar, malah masyarakat perlu menghormati hak orang tidak merokok,” katanya.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]