Warga emas rayu anak pulang ke pangkuan

in Nasional by


KLANG – Meskipun sudah tujuh tahun berlalu, seorang warga emas masih menaruh harapan supaya anaknya berjaya ditemui atau kembali ke pangkuan keluarga jika masih hidup.


Aminah Letchumi Salleh, 66, berkata, dia benar-benar rindukan anaknya, Kamaruddin Ramly yang kini berusia 37 tahun.


“Pulanglah Kamaruddin, emak rindukan kamu. Adik beradik pun rindukan kamu juga.


“Sejak kehilangannya tujuh tahun lalu, hingga kini kami tak terima sebarang berita daripadanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini hari ini.


Dia mengakui berlaku sedikit perselisihan faham antara anaknya itu dengan anak-anak lain menyebabka, Kamaruddin bertindak keluar rumah dan tinggal bersama rakannya di Bukit Raja pada 2010.


“Beberapa bulan kemudian, berdasarkan makluman teman wanitanya, dia dikatakan  diculik oleh lima lelaki dengan menaiki sebuah kereta berdekatan sebuah kedai runcit di Batu Belah.


“Dia buat laporan di Balai Bukit Raja namun tiada khabar berita daripadanya, sekaligus menyebabkan kami tertanya-tanya di mana dia sebenarnya dan apa yang telah menimpanya,” katanya.


Menurutnya, polis juga memaklumkan kepadanya dan keluarga yang mereka juga gagal menjejaki Kamaruddin.


“Jika dia masih hidup, kami harap dia dapat kembali kepada keluarga.Sebaliknya jika dia sudah tiada saya harap rakan-rakannya menyalurkan maklumat kepada kami,” katanya.


Pada masa sama, menurutnya, tiga laporan polis dibuat sejak kehilangan Kamaruddin.


Orang ramai yang mengenali Kamaruddin atau mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi Anita di talian 011-33370083 atau Sharifah, 010-2123909.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]