Yakin kemampuan skuad negara

in Sukan by


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) yakin kemampuan skuad negara menghadapi Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2017 yang akan berlangsung dari 22 hingga 29 Oktober di Stadium Hoki Taman Daya, Johor.


Pengerah teknikalnya, Terry Walsh percaya pasukan yang turut digelar skuad pembangunan 2020 itu bersedia dan meletakkan keyakinan bahawa pemain akan memberikan persembahan berkualiti.


“Saya yakin skuad yang sedia ada kini telah bersedia untuk mengambil cabaran SOJC dan sedang dalam fasa untuk memperbaiki corak permainan agar menjadi lebih baik.


“Tenaga kejurulatihan melakukan tugas sebaiknya untuk mencantikkan lagi corak permainan pasukan dan bagaimana hasilnya adalah sangat menarik untuk disaksikan,” katanya.

MHC yakin pemain negara sudah bersedia memberi saingan di pentas Piala Sultan Johor 2017 kali ini.


Untuk rekod pasukan negara hanya pernah muncul juara pada 2011 dan pada tahun lalu menduduki tempat kelima.


Sementara itu, kata Terry seramai 36 pemain dipanggil untuk menjalani sesi latihan dan jumlah tersebut akan dikecilkan kepada 18 pemain seminggu sebelum kejohanan bermula.


“Dengan kredibiliti yang dimiliki oleh Nor Saiful Zaini dan Wallace Tan, mereka bekerja keras untuk mempersiapkan pasukan ini dan satu lagi fasa latihan akan berlangsung seminggu sebelum kejohanan bermula di Johor, di mana pemain akan dikumpulkan di Johor untuk fasa latihan terakhir sebelum kejohanan bermula dan semestinya kami memiliki pasukan yang terbaik untuk menghadapi cabaran tersebut,” katanya.


Ketika ditanya mengenai sasaran yang ditetapkan MHC, Terry menjelaskan mereka cuba menggunakan kedudukan ranking pasukan senior sebagai penanda aras bagi skuad 2020 ini menamatkan cabaran.


“Sasaran merupakan sesuatu yang cukup menarik untuk diperkatakan. Kami cuba untuk menjadikan kedudukan ranking pasukan senior sebagai kayu pengukur di mana skuad ini patut menamatkan kejohanan dan mereka pastinya akan mencuba untuk menamatkan kejohanan di kedudukan terbaik.

Skuad negara hanya menduduki tempat kelima pada edisi lalu.


“Bagaimanapun, kami realistik di mana kedudukan kami dan perlu diingatkan kami kini sedang mempersiapkan pasukan ini bagi menghadapi kejohanan Piala Dunia Remaja 2020.


“Selain itu, Kami juga cuba untuk melakukan sedikit perubahan dalam pemilihan pemain kerana salah satu kelemahan yang dikenal pasti dalam arena hoki di Malaysia adalah kebolehan untuk memimpin di atas padang dan jika kami memilih pemain yang berada dalam lingkungan usia yang sama ia mungkin sedikit rumit.


“Kami memilih pemain dari lingkungan 17 hingga 21 tahun jadi pemain yang lebih muda dapat belajar sifat kepimpinan di atas padang daripada pemain yang lebih senior,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]