Bantuan SINAR4ROHINGYA berjaya diagih

in Nasional by


TEKNAF, BANGLADESH –  Seramai 150 keluarga pelarian Rohingya di kem pelarian di sini, menerima set kebersihan dan penjagaan diri.


Set yang mengandungi tiga bungkusan  tuala wanita, dua sabun mandi, lima berus gigi, satu ubat gigi, satu cerek dan besen atau periuk itu disampaikan oleh Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan).


Ketua Biro Misi Kemanusiaannya, Dr Baharuddin Suri berkata, set itu diagihkan di Kem Nayapara 1 dengan bantuan beberapa sukarelawan daripada  NGO tempatan.


“150 keluarga pelarian Rohingya ini baru tiba di Bangladesh dari Rakhine, Myanmar,” katanya menerusi kiriman berita kepada Sinar Harian.


Haluan adalah antara NGO dalam gabungan NGO yang menerima bantuan awal daripada dana SINAR4ROHINGYA.


Katanya, set kebersihan sangat penting dan diperlukan memandangkan pelarian yang baru tiba dan tinggal di kem sementara hanya berbumbung plastik dan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit.


“Diharapkan dengan adanya set penjagaan diri ini akan membantu mereka sekeluarga menjaga kebersihan dan mencegah penularan penyakit berjangkit dalam kalangan mereka,” katanya.


Bantuan  set kebersihan dan penjagaan diri itu adalah salah satu bantuan keperluan segera yang akan diberikan kepada pelarian Rohingya selain pembinaan khemah perlindungan (shelter),  makanan dan tandas  seperti yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Sekretariat Penyelaras SINAR4ROHINGYA, minggu lalu.


Sejak akhir Ogos lalu, kem itu  telah menerima tidak kurang 450 keluarga pelarian yang baru tiba dari Myanmar. Program agihan itu akan diteruskan lagi di beberapa kem pelarian di Teknaf, di Balukhali dan Tengkhali dalam masa terdekat.


Menurut laporan terkini mengenai pelarian dari agensi bantuan kemanusiaan Bangladesh, sehingga 28 September lalu, terdapat 501,800 pelarian Rohingya yang terpaksa melarikan diri dari kampung halaman mereka di Rakhine.


Ini menambahkan lagi beban Bangladesh yang sudah pun memberi perlindungan kepada hampir 500,000 pelarian sedia ada sejak tahun 2012.


Dr Baharudin berkata,  keadaan khemah yang dijadikan rumah  oleh pelarian Rohingya amat daif dan hanya mampu sekadar berlindung daripada panas serta hujan.


“Salah satu keluarga, seorang ibu muda dengan tiga anak kecil yang ditemui di kem Nayapara 1, bercerita, mereka anak beranak terpaksa berjalan selama 10 hari melalui lurah dan bukit serta menyeberangi sungai sebelum tiba di Teknaf.


“Katanya lagi,  dia dan ribuan etnik Rohingya terpaksa lari dari kampung setelah rumah mereka dimusnah dan dibakar serta diugut untuk dibunuh sekiranya terus tinggal di kampung kelahiran mereka.


“Inilah sebahagian daripada situasi dan suasana yang dilalui oleh etnik Rohingya di wilayah Rakhine, yang terus menerus ditindas, diugut dan dibunuh kejam oleh regim tentera  dan ekstrimis Buddha Myanmar,” katanya.


Selain Haluan, tiga NGO lain  yang bergabung untuk menyalurkan bantuan khusus untuk pelarian ini ialah Yayasan Amal Malaysia, Serantau Muslim, dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (Mapim).


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]