Derma organ bukan hanya tanggungjawab kementerian

in Nasional by


PUTRAJAYA – Orang ramai diingatkan bahawa tugas menderma organ bukanlah dibawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tetapi juga masyarakat.


Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata wajar sekiranya orang ramai dapat membuka mata mengenai isu ini.


“Isu derma organ bukanlah isu perubatan atau tanggungjawab KKM semata-mata tapi ia berkaitan rapat dengan masyarakat.


“Kita sendiri tidak tahu sama ada diri kita atau ahli keluarga satu hari nanti perlu derma organ atau tersenarai dalam senarai menunggu.


“Persoalannya, adakah kita akan berserah pada takdir atau sebaliknya? sebab itu kami di KKM berusaha untuk membuka mata masyarakat mengenai isu ini,” katanya ketika ucapan Forum Derma Organ: Ada Aku Kisah?, hari ini.


Malaysia masih mencatatkan jumlah terendah bagi penderma organ berbanding dengan negara- negara lain.


Dalam pada itu, Azman menjelaskan objektif forum tersebut dalam usaha perbetulkan tanggapan masyarakat mengenai pendermaan organ.


“Kami di KKM ingin mewujudkan kesedaran pada masyarakat tentang pendermaan organ seterusnya memupuk masyarakat yang prihatin dan cakna mengenai isu ini.


“Tahukah anda semua bahawa pesakit yang menerima organ seolah-olah mendapat ‘hidup’ baru apabila dapat organ tersebut?


“Sayang sekali kemudahan memindahkan organ sudah ada di Malaysia namun jumlah penderma masih lagi rendah,” katanya lagi.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]