Hanya mampu dipapah

in Nasional by


KUANTAN – Seorang warga emas reda dengan dugaan yang menimpa dirinya, apabila dia terpaksa dipapah setiap kali mahu bergerak selepas menghidap penyakit saraf.


Selain mengalami masalah saraf, Faridah Haidir, 61, turut mengalami komplikasi penyakit lain seperti kencing manis dan darah tinggi.


Dia yang tinggal di Kampung Kolek Sungai Lembing, di sini memberitahu, kesemua penyakit itu dihidapinya sejak enam tahun lalu dan kesannya membuatkan dia tidak mampu berjalan.


Menurutnya, setiap kali mahu bergerak dia terpaksa dipimpin sama ada mahu berada di dalam rumah mahupun di luar rumah.


“Sakit tu kadang kala rasa tak tertanggung dek badan.. Makcik rasa seluruh badan makcik seolah-olah keras untuk bergerak.


“Makcik sedih dan kesian juga lihat orang di sekeliling makcik berusia bantu makcik untuk bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.


Meskipun dia hidup dalam serba kepayahan, nasib Faridah mendapat perhatian daripada Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah melalui anjuran Program Ziarah Kasih Dun Sungai Lembing.


Faridah mengakui gembira menerima kunjungan tersebut, malah paling menggembirakan apabila mendapat sumbangan kerusi roda.


“Kerusi roda yang dihulurkan Datuk (Md Sohaimi) memudahkan pergerakan Makcik dan tak perlu lagi makcik susahkan orang di sekeliling untuk makcik bergerak ke mana-mana.


“Terima kasih atas sumbangan ini dan semoga ALLAH membalas segala budi dan jasa baik Datuk,” katanya.


Sementara itu, Md Sohaimi berharap sumbangan kerusi roda dan susu khas kepada Faridah untuk meringankan beban yang ditanggungnya.


“Saya yakin sumbangan ini memudahkan pergerakan Faridah untuk ke mana-mana.


“Tambahan pula, kerusi roda ini juga boleh menjadi terapi kepadanya untuk bergerak dengan mudah sama ada di dalam atau di luar rumah,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]