Jalan Lingkaran Dalam lokasi tumpuan basikal lajak

in Nasional by


JALAN Lingkaran Dalam, Johor Bahru yang mengorbankan lapan remaja berbasikal dalam satu tragedi kemalangan pada 18 Februari lalu merupakan port lazim yang menjadi lokasi utama bagi penggemar aktiviti berbasikal lajak sekitar bandaraya ini sejak lebih 15 tahun lalu.


Lokasi itu kebiasaannya disebut sebagai Hyatt oleh penunggang basikal lajak yang mengambil nama sempena sebuah hotel yang pernah beroperasi berhampiran kawasan itu sebelum ini.


Seorang pengusaha bengkel di Larkin yang dikenali sebagai Wan, 28, berkata, dia sebelum ini turut aktif dalam aktiviti berbasikal lajak ketika seawal usia 12 tahun dan berlarutan hingga ke usia 16 tahun.


“Aktiviti ini sudah lama wujud dan kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah sebagai hobi pada waktu hujung minggu atau musim cuti sekolah.


“Biasanya kami gunakan basikal jenis chopper dan diubahsuai menjadi basikal lajak. Ada beberapa bahagian diubahsuai antaranya pada bahagian pemegang, rim basikal dan menebuk pada bahagian badan untuk dimasukkan simen supaya lebih berat.


“Ubahsuai ini biasanya dilakukan sendiri di rumah mengikut kreativiti masing-masing menggunakan barangan terbuang atau terpakai,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, Jalan Lingkaran Dalam menjadi lokasi pilihan kerana keadaan jalannya yang tinggi dan landai memberikan cabaran dan keseronokan kepada mereka melakukan aktiviti basikal lajak.


“Kalau di Hyatt memang lokasi biasa untuk game (perlumbaan) sebab jalan yang menjunam manakala lain-lain lokasi seperti Pantai Lido hanya untuk melepak.


“Memang tidak pelik mengapa ramai remaja melakukan aktiviti berbasikal di situ kerana ia lokasi strategik di pertengahan antara penunggang dari sekitar Permas Jaya, Johor Bahru dan Tampoi untuk bertemu dan berlumba.


“Ketika di zaman saya, kami berlumba hanya untuk suka-suka, tiada habuan mahupun hadiah. Pada waktu itu juga keadaan jalan raya tidak terlalu sibuk dan belum ada laluan bertingkat (fly over) di situ, dan kurang berisiko untuk melakukan aktiviti berbasikal,” katanya.


Wan turut meluahkan rasa kesal, apabila penunggang-penunggang basikal lajak pada masa ini didapati tidak mempedulikan soal keselamatan dan tidak mengambil pengajaran daripada tragedi yang berlaku.


“Anak-anak ini perlu cari lokasi lebih selamat dan bersesuaian supaya tidak mengganggu pengguna jalan raya lain dan paling utama tidak bahayakan keselamatan sendiri.


“Aktiviti ini sekadar hobi pada masa lapang, namun ada antaranya mempunyai bakat dan mampu pergi lebih jauh sekiranya diberikan peluang namun mereka juga perlu berhati-hati dan bijak memilih tempat yang selamat.


“Seperti saya sendiri, daripada suka-suka mengubahsuai basikal dan kemudian terlibat dalam aktiviti permotoran akhirnya dapat mengusahakan sebuah bengkel bersama rakan sejak lima tahun lalu tanpa mengikuti sebarang kursus dan latihan,” katanya.


Katanya, masyarakat dan orang sekeliling juga perlu mengambil peranan mendekati golongan ini menggunakan pendekatan bersesuaian agar sama-sama dapat melakukan aktiviti lebih sihat.


“Dulu saya dan rakan basikal lajak, beramai-ramai bergerak melakukan gotong-royong bersihkan surau, balai raya dan kawasan komuniti di tempat kami,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]