Jangan beli barang curi

in Edisi Sabah Sarawak by


SEMPORNA – Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas menasihatkan orang ramai agar tidak membeli barang yang dijual dengan harga meragukan kerana dikhuatiri barang curi.


Beliau berkata, mereka yang membeli barang curi boleh dikenakan tindakan di atas kesalahan memiliki barangan tersebut, justeru sekiranya mengetahui sebarang urus niaga barang curi, orang awam diminta membuat laporan kepada polis.


Katanya ini berikutan sepasang suami isteri ditahan polis di kawasan terbuka di Kampung Dap-Dap di sini Rabu lepas selepas disyaki terlibat dengan kes kecurian alat kelengkapan renang di sebuah kedai skuba pada 20 September lepas.


“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek menjual barangan yang dicuri kepada beberapa individu di daerah ini serta menghantar barang itu ke Selatan Filipina,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Peter berkata, suspek berumur 32 dan 35 tahun itu ditahan pada 11.30 malam  dan pemeriksaan  terhadap kedua-duanya menemukan barangan curi yang dilaporkan hilang oleh pemilik kedai skuba.


“Barangan curi termasuk diving mask, pengecas lampu, sebuah jam dive komputer, sebuah kamera Canon ditemui dalam milikan suspek lelaki,” katanya.


Peter berkata pasangan itu ditahan reman di bawah kesalahan Seksyen 457 Kanun Keseksaan selama tujuh hari yang berakhir hari ini. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]