Jasa Nuri terpahat dalam ingatan Hock Sun

in Edisi Utara by


BUTTERWORTH – “Dari jauh saya ternampak Nuri, hati saya lega” kata seorang pesara tentera, menceritakan peristiwa kaki kirinya terpaksa dipotong setelah mengalami kecederaan parah dalam Ops Gubir sekitar 1979.


Menceritakan detik hitam yang dilaluinya, Mejar (B) Lee Hock Sun berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.30 petang pada Oktober 1979.


“Ketika itu, saya bersama platun sedang menjalankan rondaan bagi memburu pengganas komunis sekitar kawasan sempadan Kedah dan Thailand.


“Kami melalui denai berhampiran lereng berbukit di lokasi kejadian. Orang pertama dan kedua lepas, bila tiba giliran saya, saya tak ingat apa masa itu.


“Sedar saya dah terpelanting hampir 10 meter dari tempat kejadian, rasa kebas di bahagian kaki kiri,” katanya.


Beliau berkata, seingatnya ketika itu senjata yang dipegangnya terpelanting agak jauh.


“Ketika itu, saya dilengkapi dengan M-16 berserta ‘launcher’, kena jerangkap samar, dengan senjata dan saya terpelanting namun mujurlah tak mati.


“Cuaca ketika itu agak berkabus, jadi memang susah helikopter nak kesan kedudukan kami,” katanya.


Menurutnya, beliau amat berterima kasih kepada juruterbang Nuri yang berusaha menyelamatkannya.


“Memang depa payah nak cari kami, dengan keadaan cuaca yang tak menentu, ditambah pula dengan agak berkabus.


“Dalam beberapa jam selepas kejadian tu, saya terdengar bunyi Nuri semakin hampir.


“Hati saya lega, saya kemudiannya diterbangkan ke Padang Polo di Pulau Pinang dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut,” katanya.


Hock Sun berkata,  biarpun hampir 38 tahun peristiwa itu berlalu, namun beliau tidak sesekali akan melupakan peristiwa itu.


“Saya terlantar hampir dua bulan di Hospital Kinrara, Puchong dan Hospital Pulau Pinang manakala kaki kiri saya terpaksa dipotong.


“Memang saya takkan lupa, terutamanya kepada burung besi besar ini. Kalau tak kerana Nuri ni, tak tahulah bagaimana nasib saya,” katanya.


Menurutnya, biarpun usia Nuri mencecah puluhan tahun, jasanya sentiasa terpahat dalam ingatannya.


“Memang juruterbang yang datang selamatkan saya masa tu berani, sebab hutan tebal ditambah pula dengan keadaan cuaca berkabus.


“Kalau tanpa burung besi ni, tak tahulah nasib saya bagaimana, memang saya akan kenang sampai bila-bila jasa Nuri dan juruterbangnya,” katanya.


Hock Sun ditemui ketika majlis ramah mesra anggota yang cedera sempena Hari Ulang Tahun ATM ke-84 di Pangkalan Udara Butterworth, semalam.


Seramai 83 warga ATM diraikan dalam majlis ringkas yang turut dihadiri Panglima ATM, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.


Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan dan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.


Difahamkan, sumbangan sebanyak RM500 turut diberikan kepada anggota terlibat yan merupakan dana daripada Tabung Angkatan Tentera (TKAT).


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]