Niat untuk sedekah

in Nasional by


TUMPAT – Usaha Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Pasir Pekan, Wan Zahari Wan Othman selama lapan bulan akhirnya membuahkan hasil apabila tanamannya mula boleh dipetik.


Wan Zahari berkata, dia mengusahakan kebun tanaman itu dengan tanaman serai, pisang, bendi, kacang botol, dan ubi badak dengan niat untuk sedekah kepada anak yatim.


“Alhamdulillah, tanaman saya telah membuahkan hasil.


“Saya mula agihkan kepada anak-anak yatim di mukim ini dan juga golongan asnaf,” katanya.


Menurutnya, seramai 10 keluarga anak yatim dan 70 asnaf di bawah jagaannya.


“Saya akan cuba agihkan hasil tanaman ini kepada mereka sama rata.


“Tapi setakat ini saya hanya agihkan hasil tanaman, jika tanaman ini dapat dijual nanti, wang itu akan disalurkan kepada mereka,” katanya.


Wan Zahari berkata, ini antara cara untuk menjana pendapatan bagi membantu golongan asnaf.


“Sama ada diberikan hasil pada mereka atau hasilnya dijual dan wang yang diperoleh itu digunakan untuk membeli barang keperluan buat mereka.


“Sebelum ini kewangan dan sumbangan barang keperluan yang diagihkan setiap bulan kepada golongan asnaf di sini adalah sumbangan daripada beberapa NGO dan usaha saya mencari sumbangan itu,” katanya.


Katanya, tanaman itu diusahakan di atas tanah seluas 0.2 hektar milik penduduk Kampung Pasir Pekan selepas mereka memberi kebenaran untuk mengusahakan tanah tersebut.


“Saya akan luangkan masa dua jam sebelah pagi dan dua jam sebelah petang untuk menanam 500 serai dan pokok pisang,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]