Sokong pembinaan jambatan Tamelang – Bukit Kayu Putih

in Edisi Utara by


KANGAR – Kerajaan Perlis menyokong cadangan kerajaan Thailand untuk membina  jambatan menghubungkan Tamelang dalam Wilayah Satun ke Bukit Batu Putih di Perlis sepanjang 13 kilometer.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani serta Hubungan Sempadan Perlis/Thailand, Ahmad Bakri Ali berkata, kerajaan Perlis tiada halangan malah mencadangkan kerajaan Thai membincangkan perancangan projek itu dengan kerajaan Pusat.


“Projek ini menelan belanja agar besar namun kita telah menyediakan tapak seluas 17 hektar di Bukit  Batu Putih, dekat Kuala Perlis untuk membina Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin,” katanya.


Ahmad Bakri mengulas penularan berita cadangan projek tersebut serta lakaran artis mengenainya di media sosial baru-baru ini.


Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan o-cha ketika membuat lawatan ke Wilayah Satun bulan lepas, dilaporkan meluluskan projek tersebut setelah mengadakan perbincangan dengan gabenor wilayah berkenaan.


Ahmad Bakri berkata walaupun kerajaan Thai akan menanggung sepenuhnya pembinaan jambatan itu yang menelan belanja berbilion ringgit, ia bergantung kepada keputusan kerajaan Pusat.


“Kita tetap kena bersedia sekiranya projek ini menjadi kenyataan dan Perlis akan mempunyai satu lagi pintu masuk selepas Padang Besar dan Wang Kelian di samping jalan laut melalui Kuala Perlis,” katanya.


Gabenor Wilayah Satun, Sumeth C. Vitnakul membangkitkan semula pembinaan terowong pada 2009 itu setelah cadangan asal terhenti kira-kira 10 tahun akibat dibantah pencinta alam Thailand kerana jajaran lebuh raya melalui kawasan pantai dan bakau.


Cadangan itu kemudian diganti dengan rancangan membina jambatan menghubungkan Tamelang ke Bukit Batu Putih sejauh 13 km.


Ahmad Bakri berkata, kerajaan Perlis dan Thailand kemudian mengadakan beberapa siri perbincangan  bagi merealisasikan projek tersebut kerana ia memendekkan perjalanan sejauh 187 kilometer bagi lori kontena dari  Bangkok ke Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam di Kedah, yang pada masa ini terpaksa melalui Satun-Songkhla-Hatyai-Sadao-Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam.


Beliau berkata dengan adanya jambatan itu, lori membawa kargo tidak perlu lagi memasuki Songkhla dan Sadao sebaliknya terus ke Tamelang dari Hatyai.


Katanya, kerajaan Perlis merizabkan tanah bagi pembinaan jalan menghubungkan Bukit Batu Putih dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) sejauh 18km supaya kargo dari CVIA boleh dihantar ke pelabuhan Pulau Pinang atau Klang dengan kereta api atau lori melalui lebuh raya.


“Projek ini dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi Perlis dan kemajuan PIP di samping CVIA yang akan dibangunkan untuk industri teknologi hijau dalam Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya sambil menambah eksport dari Myanmar turut dihantar melalui Bangkok.  – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]