Suami isteri ditahan bersama 18 kilogram dadah

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri ditahan polis bersama 18 kilogram dadah jenis Ganja bernilai RM45,800, malam tadi.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 23 dan wanita 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.50 malam di rumah mereka di Kampung Sinaran Kempas, di sini.


“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menyerbu rumah berkenaan yang membawa kepada penemuan lebih 18 kilogram ganja yang dibungkus dalam bentuk 19 ketulan mampat.


“Hasil siasatan awal juga mendapati kesemua bekalan dadah ini mampu menampung kegunaan sekurang-kurangnya seramai 9,483 penagih,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.


Mohd Taib berkata, hasil semakan juga mendapati kedua suspek masing-masingnya mempunyai rekod lampau bersabit kes penyalahgunaan dadah.


“Masing-masing mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah yang sama, selain seorang dari suspek didapati positif dadah jenis Ganja menerusi ujian air kencing yang dijalankan,” katanya.


Katanya, pasangan berkenaan kini ditahan reman selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]