Tak mudah buka maahad tahfiz

in Nasional by


ALOR PONGSU – Masyarakat digesa mengubah persepsi negatif terhadap usaha pelbagai pihak mewujudkan maahad tahfiz dan sekolah agama.


Pengerusi Maahad Tahfiz As-Syakirin (Masrin), Mazlan Osman berkata, di sebalik pelbagai dakwaan diterima pihaknya dan banyak pengusaha maahad tahfiz lain di negara ini, beliau menegaskan objektif utama penubuhan Masrin hanya satu, demi melahirkan golongan ‘Rabbani Al-Qurani’.


Rentetan kes kebakaran mengorbankan 23 nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur 14 September lalu, Mazlan mengakui ibu bapa sedikit sebanyak kurang yakin dengan pengurusan maahad tahfiz termasuk di Masrin.


“Bagaimanapun, ALLAH SWT menunjukkan kebenaran apabila kejadian itu sebenarnya satu perbuatan khianat dan bukan disebabkan kelemahan pengurusan maahad tersebut.


“Selain itu, maahad tahfiz dan sekolah agama turut dicemuh kerana didakwa mengambil kesempatan mengutip derma di atas nama agama.


“Buat pengetahuan semua, usaha menubuhkan maahad tahfiz dan sekolah agama di negara ini bukan mudah kerana kami bergantung sepenuhnya sumbangan dana dan wakaf orang ramai untuk memastikan operasi melahirkan insan ‘Rabbani Al-Qurani’ tercapai,” katanya pada majlis mempromosi program Karnival Cinta Ilmu Masrin 2017 di pejabat Masrin di sini, semalam.


Mazlan berkata, majoriti pengusaha maahad tahfiz di seluruh negara kini amat mengambil berat soal kebajikan dan keselamatan pelajar termasuk keperluan memenuhi spesifikasi keselamatan bangunan didiami mereka.


Menurutnya, ibu bapa dan masyarakat tidak perlu bimbang dengan keselamatan anak-anak dihantar ke maahad tahfiz kerana sistem pengurusan dan pengendalian pelajar juga kini semakin sistematik.


“Di Masrin, kita bukan sahaja mementingkan aspek pendidikan rohaniah dan al-Quran kepada hampir 100 pelajar, malah turut memastikan aspek kebajikan dan keselamatan mereka dijaga sepenuhnya.


“Soal kutipan derma berkemungkinan diselewengkan, orang ramai dan penderma boleh hadir ke Karnival Cinta Ilmu Masrin 2017 yang akan diadakan pada 27 dan 29 Oktober ini bagi menyaksikan sendiri keseluruhan pembangunan dijalankan menggunakan dana sumbangan mereka,” katanya.


Mazlan berkata, di sebalik mengadakan program pesta dakwah, penganjuran Karnival Cinta Ilmu Masrin 2017 di Dataran Masrin di sini, turut bertujuan membantu Masrin memenuhi sasaran kutipan tambahan dana pembangunan bernilai RM1.8 juta.


Menurutnya, jumlah dana RM1.8 juta itu diperlukan bagi memenuhi keperluan pembinaan asrama pelajar, kantin dan rumah guru.


“Ketika ini, bilangan asrama pelajar tidak mencukupi di samping ketiadaan kemudahan kantin dan rumah guru menjejaskan keselesaan pelajar dan tenaga pengajar.


“Dengan kehadiran lebih 13 penceramah terkemuka dan selebriti islamik termasuk kumpulan Hijjaz, Ustaz Haslin Bollywood dan Ustazah Norhafizah Musa, pihak Masrin berharap karnival ilmu selama tiga hari itu akan mendapat sambutan hangat penduduk Kerian dan daerah sekitarnya,” katanya.


Mazlan berkata, karnival yang bermula jam 6 pagi hingga 11 malam setiap hari itu turut menempatkan pelbagai pameran perniagaan dan agensi kerajaan bagi dilawati pengunjung.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]