Taring Black Panthers

in Nasional by


PENYANDANG juara Sepak Takraw League (STL), Penang Black Panthers memulakan kempen Divisyen Premier musim ini dengan langkah kanan apabila muncul pasukan tunggal yang meraih kemenangan bersih daripada dua aksi di minggu pertama.


Dalam perlawanan pembukaan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Serdang Jaya pada 29 September lalu, wakil Pulau Pinang itu tidak berdepan masalah menjinakkan Perak Bison 2-1.


Biarpun ketinggalan 20-22 di set pertama, ternyata kehadiran tiga pemain kebangsaan, Syahir Rosdi, Zaim Razali dan Azlan Alias jelas memberi kelebihan kepada pasukan utara tanah air itu yang bangkit mencipta kemenangan 21-4 di set kedua dan 21-12 di set ketiga.


Momentum kemenangan Penang Black Panthers diteruskan apabila menjadikan Johor Tigris sebagai mangsa kedua.


Aksi Sabtu lalu menyaksikan skrip sama seakan berulang apabila skuad kendalian Mohd Helmi Ismail itu tewas di set pertama 21-23 namun bangkit pada set berikutnya 21-17 dan 21-12.


Dalam perlawanan minggu kedua Jumaat ini, Penang Black Panthers diramal mudah menundukkan Kelantan Warriors yang mencipta satu kemenangan dan satu kekalahan di minggu pertama STL.


Sehari kemudian, Penang Black Panthers bakal berdepan cabaran Terengganu Turtles dalam perlawanan yang dianggap menarik dan dinantikan peminat sepak takraw tanah air.


Ketika ini, Terengganu Turtles menghuni tangga kelima carta STL.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]